3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Ahad, 1 November 2009

3+1=22

Awan hitam mula menutupi langit biru walaupun jam baru mencecah 1 petang. Matahari yang kebiasaannya memancarkan cahaya terik yang mampu mengeluarkan peluh manusia entah hilang ke mana. Sesekali bunyi petir memberitahu penghuni sekolah bahawa hujan pasti akan membasahi bumi sebentar lagi. Semua pelajar kelihatan tenang namun tidak bagi Faiqa, Farisa dan Faruq.

Faiqa melangkah laju masuk ke kelas. Beg sekolahnya dicapai kasar dari atas kerusi. Shazia dan Naila terkejut dengan tindakan Faiqa. Setahu mereka sekarang ini masih tidak dibenarkan pulang ke rumah. Shazia dan Naila pantas bangun dari kerusi masing-masing. Faiqa yang hampir melangkah keluar dari kelas cuba di halang.

“ Faiqa. Kenapa ni?” Naila berdiri di hadapan Faiqa. Shazia menyentuh bahu Faiqa lembut. Air mata Faiqa masih deras mengalir. Namun dia tidak mampu untuk bersuara.

“ Faiqa. Kenapa kau menangis?” Naila menyoal lagi apabila soalannya masih tidak dijawab Faiqa.

Faiqa hanya menggelengkan kepala berkali-kali. Tanpa mempedulikan Naila dan Shazia, Faiqa melangkah keluar dari kelas. Sekali lagi mereka terkejut dengan tindakan Faiqa.

“ Faiqa!” Shazia melaung. Namun Faiqa hanya meneruskan langkahannya. Tanpa membuang waktu, Naila dan Faiqa terus saja mengejar Faiqa. Namun langkahan kaki mereka terhalang apabila Nabil, Shah dan Nazim berdiri di hadapan mereka.

“ Kenapa dengan Faiqa?” Nabil menyoal. Naila dan Shazia dipandang silih berganti.

“ Aku pun tak tau Bil. Nanti la aku cerita.” Naila terus melangkah meninggalkan mereka bertiga kemudian diikuti Shazia. Mereka bertiga hanya termangu sebelum masuk ke kelas semula.

“ Faiqa mana Bil?” Faruq terus menyoal sebaik saja melangkah masuk ke kelas. Nabil dan Faruq saling berpandangan.

“ Dia balik rasanya. Siap bawak beg lagi.” Nabil menjawab. Faruq lantas mencapai begnya sebaik saja mendengar kata-kata Nabil. Tanpa mempedulikan Nabil yang memanggilnya, Faruq terus melangkah keluar dari kelas. Nabil kehairanan. Pasti ada sesuatu yang sudah berlaku antara Faiqa dan Faruq.

“ Naila!” Faruq melaung sebaik saja kelibat Naila dilihatnya. Langkahan Naila dan Shazia terhenti sekali lagi. Naila dan Shazia tercungap-cungap menahan keletihan.

“ Mana Faiqa?” Faruq menyoal.

“ Dia dah keluar dari sekolah. Apa yang dah jadi?” Naila bersuara dalam keadaan yang masih tercungap-cungap. Faruq terus berlari tanpa mempedulikan soalan Naila.

“ Faruq!” Shazia melaung. Namun Faruq langsung tidak mempedulikan mereka.

“ Naila. Jom la kita balik kelas. Rasanya Faruq boleh uruskan Faiqa.” Naila mengangguk. Mereka berdua lantas melangkah semula ke kelas walaupun keletihan masih bersarang.



*****


Hujan mula membasahi bumi walaupun hanya renyai-renyai buat sementara waktu. Faiqa hanya membiarkan saja air hujan menitis di bajunya. Dia tidak lagi menitiskan air mata. Namun bekas air matanya mengalir masih jelas kelihatan. Kini dia sudah pun berada di luar sekolah. Pintu pagar sekolah yang sudah sedia terbuka memudahkan dirinya untuk keluar dari perkarangan sekolah.

Faiqa terkejut apabila tangannya ditarik kasar dari belakang. Akibat daripada itu, tubuhnya ikut sama terpaling ke belakang. Faruq mengenggam erat tangan Faiqa. Kali ini tangan Faiqa pasti tidak akan dilepaskan lagi.

“ Kau nak apa lagi? Lepaskan aku.” Faiqa memandang Faruq dengan pandangan menikam. Namun Faruq langsung tidak menuruti kata-kata Faiqa. Sebaliknya wajah Faiqa dipandang tepat.

“ Terus-terang dengan aku.” Faruq bersuara. Wajah Faiqa masih dipandang. Kedua-dua anak mata mereka kini bertembung.

“ Terus-terang apa?? Tak ada benda yang aku patut terus-terang dengan kau!”

“ Kau suka aku atau tak?” Kata-kata yang keluar dari bibir Faruq membuatkan Faiqa tersentak. Tangan Faruq ditarik sekuat hati dari terus menggengam tangannya. Namun tangannya masih juga tidak dapat dilepaskan dari pegangan Faruq.

“ Jawab soalan aku.” Faruq bersuara lagi. Suaranya hanya kedengaran mendatar. Faiqa mengalihkan anak matanya dari terus memandang Faruq.

“ Aku tak suka kau. Aku tak pernah suka orang macam kau.” Faiqa menjawab walaupun dia tahu kata-kata itu bukan lahir dari hatinya.

Hujan yang tadinya renyai-renyai mula lebat. Namun kelebatan hujan sekarang langsung tidak dipedulikan mereka berdua. Hampir separuh tubuh mereka berdua dibasahi hujan. Hujan juga seolah-olah memahami perasaan mereka berdua. Hanya diselubungi kesedihan dan kekecewaan.


*****


“ Nai.” Nabil memandang Naila. Kini empat orang pelajar termasuk Nazim sudah pun berkumpul di hadapan meja Naila. Naila memandang Nabil yang benar-benar sudah duduk di hadapan mejanya.

“ Apa kena dengan diorang tu?” Nabil menyoal. Sangkaannya Naila tahu apa yang sudah berlaku di antara mereka berdua. Namun sangkaan Nabil sama sekali meleset.

“ Aku pun tak tahu la Bil. Tiba-tiba je Fai menangis. Dia ambik beg dia lepas tu dia terus pergi macam tu je.” Naila menerangkan sedikit sebanyak yang dia tahu. Shah, Nazim dan Shazia lebih suka berdiam diri daripada mencelah mencelah mereka.

Naila mengeluh. Risau benar dia dengan mereka berdua. Namun dengan adanya Faruq menemani Faiqa, kerisauannya sedikit berkurangan. Naila memandang di luar kelas. Hujan lebat.

“ Mesti diorang dah badah kuyup sekarang ni.” Naila bersuara. Pandangannya masih tidak lepas dari terus memandang air hujan yang lebat membasahi bumi. Nabil memandang Naila. Namun tiada sepatah kata yang keluar dari bibirnya.

“ Jangan la susah hati sangat pasal diorang. Diorang bukan budak-budak lagi. Diorang tahu jaga diri.” Shazia bersuara. Kata-kata Shazia membuatkan Naila mengalihkan pandangan ke wajah Shazia. Naila hanya tersenyum kelat. Kata-kata Shazia sedikit sebanyak membantu kerisauan yang bersarang di hati Naila.



*****


Faruq terdiam apabila mendengar kata-kata Faiqa. Tangan Faiqa dilepaskan perlahan dari pegangannya. Faiqa turut tergamam. Matanya tepat memandang Faruq namun Faruq hanya menundukkan wajahnya. Tiada sepatah kata yang diucapkan. Faruq membelakanginya tubuhnya dari terus menghadap Faiqa. Tanpa sepatah kata yang terbit dari bibirnya, Faruq melangkah meninggalkan Faiqa.

Faiqa tergamam dengan tindakan Faruq. Mengapa Faruq tiba-tiba bertindak sedemikian rupa? Adakah kata-kata dia sebentar tadi yang menyebabkan Faruq bersikap demikian?

Faiqa hanya memandang Faruq dari belakang. Air matanya turut mengalir bersama aliran air hujan. Adakah ini salahnya? Adakah benar Faruq juga menaruh hati padanya? Tetapi mengapa? Mengapa dia yang perlu meluahkannya dahulu? Dia tidak mahu hanya bertepuk sebelah tangan. Dia lebih rela menarik diri dari percintaan ini jika itu yang terjadi kerana cinta sebelah pihak hanya menyeksakan diri.

Faiqa turut mengalihkan tubuhnya membelakangi Faruq yang sudah jauh meninggalkannya. Air mata masih lagi mengalir tanpa suara yang terbit dari bibirnya. Seluruh tubuhnya kini sudah pun dibasahi hujan. Buku-buku yang berada di dalam begnya juga langsung tidak dipedulikan. Dia tahu pasti beberapa buah buku yang berada di dalam begnya kini sudah basah kuyup seperti dirinya. Namun dia bernasib baik kerana buku yang berada di dalam begnya hanya lah beberapa buah buku teks.

Faiqa melangkah pulang ke rumah. Walaupun dia tahu jarak antara rumahnya dengan sekolah agak jauh, namun dalam situasinya sekarang ini, dia langsung tidak berada kejauhan yang dialami. Malah, emosinya sekarang ini membuatkan dia tidak berasa keletihan untuk berjalan jauh. Insiden tadi mula bermain di layar matanya. Hatinya mula berasa terseksa. Masalah yang terpendam di hati membuatkan Faiqa sukar untuk bernafas.

Air matanya semakin laju menuruni pipi. Faiqa memegang dadanya. Kini Faiqa sudah menangis teresak-esak. Kenderaan yang lalu-lalang di sebelah jalan langsung tidak dipedulikannya. Faiqa terduduk. Kesakitan hati membuatkan dia tidak mampu untuk berdiri. Faiqa melepaskan tangisannya di situ. Dia tidak mampu lagi untuk bertahan. Mungkin dia patut melepaskan Faruq dari ingatannya sekarang. Mungkin Faruq bukan ditakdirkan untuk dirinya.


*****


Faiqa menuruni anak tangga dengan langkah yang longlai. Ruang tamu yang mewah dengan barang-barang yang bernilai hanya dipandangnya tanpa riak. Papanya yang sedang khusyuk membaca surat khabar di pandangnya. Faiqa melangkah mendekati papanya yang masih duduk di atas sofa empuk. Punggungnya dilabuhkan di sisi papanya. Faiqa menarik nafas perlahan-lahan lalu dihembuskan.

“ Papa.” Faiqa bersuara. Namun wajah papanya tidak dipandang.

“ Hmm?” Surat khabar di tangan Dato’ Halim masih menjadi perhatiannya.

“ Papa jadi pergi Australia minggu depan?”

“ Mesti la. Kalau tidak siapa yang nak uruskan cawangan syarikat kat sana?” Dato’ Halim masih lagi tidak memandang Faiqa.

“ Faiqa ikut boleh?” Faiqa menyoal. Kali ini tumpuan Dato’ Halim berada pada Faiqa pula. Surat khabar di tangannya lantas ditutup. Wajah Faiqa dipandang.

“ Dulu papa ajak kamu, kamu kata tak nak ikut. Kenapa sekarang ni tiba-tiba kamu nak ikut pula?” Walaupun suara papa Faiqa kedengaran agak tegas, namun dia benar-benar gembira apabila mendengar kata-kata dari anak tunggalnya.

“ Mungkin betul apa yang papa kata. Masa depan Faiqa lebih cerah kalau belajar kat sana. Mungkin Faiqa dah patut belajar untuk ambil alih syarikat tu sekarang.” Faiqa masih tidak melihat wajah papanya. Itu hanya lah alasan untuk dia menjauhkan diri dari Faruq walaupun hatinya benar-benar berasa berat.

“ Kamu pasti dengan keputusan kamu? Kamu masih ada masa untuk pertimbangkan semua ni. Papa tak nak kamu buat keputusan terburu-buru.” Wajah Dato’ Halim kelihatan serius. Itu adalah masa depan Faiqa. Jadi dia tidak mahu disebabkan dia masa depan Faiqa hancur.

“ Faiqa dah buat keputusan papa. Faiqa takkan ubah fikiran.” Dato’ Halim menarik nafas dalam-dalam. Wajah Faiqa masih tetap dipandangnya.

“ Kalau kamu betul-betul yakin dengan keputusan kamu, terserah lah. Esok papa akan uruskan procedure pertukaran sekolah ke sana.” Faiqa hanya mengangguk. Bibirnya langsung tidak diukir dengan senyuman.

“ Papa.” Faiqa menghentikan kata-katanya seketika. Wajahnya turut ditundukkan seketika sebelum dia kembali memandang wajah papanya semula.

“ Boleh tak kalau Faiqa tak pergi sekolah esok?”

“ Kamu sebenarnya ada masalah ke Faiqa? Sikap kamu lain sangat hari ni.” Faiqa hanya berpura-pura tersenyum. Dia tidak mahu perasaannya kini disyaki papanya. Jika itu yang terjadi, pasti dia tidak dibenarkan membawa diri ke sana.

“ Masalah? Tak ada lah papa. Faiqa cuma nak luangkan masa untuk kemas semua barang Faiqa. Lagipun kita akan menetap kat sana kan papa.” Faiqa tersenyum. Namun hanya kepura-puraan. Walaupun senyuman yang terukir di bibir Faiqa mampu melenyapkan segala prasangka Dato’ Halim, tetapi tidak pada dirinya sendiri.

“ Ikut suka kamu la Faiqa. Asalkan kamu buat persediaan yang rapi bila nak pergi sana nanti.” Dato’ Halim masih bersuara serius. Faiqa hanya mampu tersenyum. Kepalanya diangguk dua tiga kali tanda memahami kata-kata papanya.

“ Papa. Faiqa masuk tidur dulu ye.” Faiqa segera menyalami tangan papanya sebelum dia melangkah naik ke biliknya.

Faiqa melabuhkan punggungnya di birai katil. Air matanya mula merembes keluar dari kolam matanya. Faiqa menekup wajahnya. Biarlah ini kali terakhir untuk dia menangisi apa yang telah terjadi. Dia sendiri tidak yakin dengan keputusannya sekarang. Adakah dia mampu untuk meninggalkan sahabat baiknya semata-mata disebabkan Faruq. Tetapi apa yang lebih penting, adakah keputusan ini akan membuatkan dia bahagia. Dan adakah keputusan ini mampu membuatkan dia melupakan Faruq buat selama-lamanya. Benar. Selama ini tiada sesiapa yang mengetahui bahawa dia menyukai lelaki itu. Dia sendiri juga tidak mengetahui perasaannya. Namun segala-galanya telah terbukti apabila terbit perasaan cemburu apabila dia melihat Faruq bersama Farisa dua minggu yang lalu.

Dia sedaya upaya menafikan perasaan yang bermain di sanubarinya. Namun apakan daya, hatinya tidak mampu untuk berbohong. Inilah cinta yang dikatakan bertepuk sebelah tangan. Amat menyeksakan. Amat memeritkan. Dan amat menakutkan. Sungguh dia langsung tidak menyangka yang dirinya akan mencintai lelaki itu. Selama ini, Faruq diibaratkan seperti kawan dan musuh. Adakalanya mereka mampu untuk berbincang secara baik. Namun adakalanya juga mereka hanya mampu bertekak apabila bersua muka. Adakah ini tanda perpisahan bakal berlaku? Adakah ini tanda mereka tidak mampu untuk berbaik semula?

5 ulasan:

keSENGALan teserlah.. berkata...

adeehhh..
sedeynyeeeee..
faruq,,luahkan la dulu..
isk2..
faiqa pompuan..
malu lorhh..
ngeeeeee..
smbung2..

fzm2 berkata...

haish.....asl laaa
faruq blah
gi2 jew????
alaaaaaa
xkn faiqa xnk
gtw d0rank???
smb0nk..

Tanpa Nama berkata...

adeh...
farouq luahkan lah dlu..
faiqa pompuan, xkn nk jd perigi cr timba kot??
mstilah dia mlu...

epy elina berkata...

hohoooh...
btul2 napa faruq x luahkan dulu..
mstla faiqa x nak mgaku dia syg faruq..
lmbap btul la llki ni 2 pun xthu ke?
smbung2..

anggur_violet berkata...

npe msing2 terlalu ego...
luahkan je ape yg korang rse..