3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Sabtu, 30 Januari 2010

cinta sunbae 9

Tombol pintu dipulas perlahan. Pintu rumahnya ditolak masuk ke dalam secara berhati-hati. Mungkin ahli keluarganya sudah pun dibuai mimpi. Tetapi dia sendiri tidak pasti dengan kenyataan itu. Ruang tamu gelap. Tetapi jika dilihat di tingkat atas, masih ada cahaya yang menyinari. Kaki kanannya diatur masuk ke rumah dengan langkah penuh berhati-hati. Pintu rumah ditutup perlahan.

“ Adik!”

Tubuhnya sedikit terangkat. Itulah tindakan automatik dari manusia apabila mengalami kejutan yang tidak disangka. Sergahan dari seseorang membuatkan hatinya mula berdebar-debar. Apatah lagi suara itu milik Akram. Ruang tamu menjadi terang. Wajah Akram yang agak menakutkan mula kelihatan. Wajahnya serta-merta ditundukkan. Dia tahu. Pasti dia akan dimarahi.

“ Adik pergi mana?”

Walaupun hanya tiga patah perkataan saja yang keluar dari bibir lelaki itu, namun itu sudah cukup mengetarkan seluruh hatinya. Dia hanya terdiam. Dia langsung tidak punya keberanian untuk mengangkat mukanya memandang abang sulungnya sendiri. Bibirnya ikut membisu. Pipinya mula terasa panas. Kedua-dua tangannya saling berkait.

“ Along tanya! Adik pergi mana??”

Suasana mula tegang. Setegang suasana, setegang itulah riak wajah Akram. Tiada senyuman. Sebaliknya riak wajah yang terukir melahirkan perasaan marah dan terselit sifat prihatin yang tidak mungkin dapat dilihat oleh seorang manusia yang bernama Isya.

“ Ma….ma….mall.”

“ Mall?? Pergi sana dengan siapa?? Dah pukul 11.30 baru nak balik?? Kenapa tak nak tidur saja kat sana?? Ingatkan dah tak ada rumah!!”

Bergema. Tangan Isya mula menggeletar. Tetapi getaran yang dialaminya langsung tidak ditunjukkan. Bukan kali pertama dia dimarahi. Sudah berkali-kali. Tetapi dia akui. Dia dimarahi atas kesilapannya sendiri. Tetapi adakah ini juga salahnya? Bibirnya membisu. Air mata yang mula ingin mengallir keluar cuba ditahan. Dia tidak mahu kelemahannya disedari Akram. Biarlah dia kelihatan kuat dihadapan lelaki walaupun kebenaran sebenarnya langsung tidak diketahui.

“ Baru sekejap saja Along tinggal sendiri dalam rumah, dah berani merayau!! Pernahkah Along ajar jadi kutu rayau ni?? Apa kata jiran tetangga bila nampak seorang perempuan, malam-malam buta baru nak balik?? Adik nak jatuhkan maruah keluarga kita??”

“ Bukan macam tu. Adik cuma teman kawan adik saja.”

“ Oh, teman. Kalau kawan adik langsung tak nak balik rumah, adik pun ikut saja?? Jadi perempuan murahan tepi jalan??”

Tersentak. Kenapa Alongnya sanggup berkata demikian? Sedangkan dia pasti Alongnya tahu yang dia bukan perempuan sebegitu. Murah sangatkah dia? Hina sangatkah dia sehinggakan Alongnya sendiri menghinanya begitu?

“ Along! Kenapa Along cakap macam tu?” Soalan Aiman hanya dijawab dengan pandangan mata dari Akram. Isya sudah pun mengalirkan air mata. Dia tahu berlakunya perselisihan faham antara dia dan Akram. Tetapi tidak bolehkah jika mendengar dahulu penjelasannya sebelum membuat sebarang kesimpulan?

“ Tergamak Along hina Adik sampai macam tu. Seburuk-buruk Adik sekali pun, Adik tahu jaga maruah diri, Adik tak kisah kalau Along nak hina Adik. Tapi jangan sesekali Along hina Syakirah. Dia bukan yang Along sangka. Along langsung tak kenal hati budi dia. Tapi kenapa Along berani cakap dia macam tu! Adik benci Along! Siapa Adik pada Along? Hina sangatkah Adik ni???????”

Isya melangkah pergi. Aiman dan Akram yang terkunci kata-kata hanya dibiarkan begitu saja. Air matanya dikesat. Kakinya dihayun laju menaiki tangga ke biliknya. Itu saja yang dia boleh lakukan. Hanya menangis.

“ Along. Tak salah kalau Along nak tegur dia. Tapi kata-kata Along tadi dah melampaui batas.”

Akram melangkah ke arah sofa. Punggungnya dilabuhkan disitu. Kedua-dua sikunya diletakkan di atas lutut. Rambutnya dilurutkan. Tekanan mula meresap di hati. Dia mengakui kesalahannya. Memang benar dia sudah terlanjur kata. Kata-kata yang memang agak keterlaluan. Aiman turut melabuhkan punggung di sisi Akram. Bahu kanan Akram disentuh.

“ Disebabkan perkara tadi?”

“ Mungkin.”

“ Along tak patut cakap macam tu. Kalau Along fikir perkara ni menyusahkan kita, salah tu Along. Bukan kita. Tapi Adik. Dia yang jadi taruhan semua ni. Dia yang jadi titik tolaknya dalam hal ni.”

“ Bukan tu yang Along fikir. Along tahu. Kata-kata Along tadi dah melampau. Along tak maksudkan apa-apa. Dia dah besar. Dah tahu jaga diri. Along cuma tak nak dia jadi macam perempuan yang tak bermaruah. Along sayangkan dia. Tak nak kehilangan dia. Dia penyeri keluarga kita, Am.”

“ Am tahu. Semua orang sayangkan dia. Tapi kenapa selama ni Along bersikap tegas dengan dia? Selama ni Along tak macam ni. Sejak Adik lahir, Along terus tegas dengan dia, Along nak dia bencikan Along?”

“ Apa salahnya kalau dia bencikan Along? Along ketua keluarga. Along kena tegas. Along tak nak dia kecundang dalam hidup dia. Dia bencikan Along atau tak, itu belakang kira. Sudah la! Along tak nak bincang pasal ni lagi.”

Dia bangun dari sofa. Kakinya dilangkah meninggalkan Aiman seorang diri.

“ Am tahu.” Serta-merta kakinya terhenti. Tubuhnya dibiarkan membelakangi Aiman.

“ Along rasa bersalah atas kematian Amirul kan? Itu bukan salah Along. Memang dulu Adik bencikan Along sebab dia rasakan Along penyebab kematian Amirul. Tapi tak lagi sekarang!”

Wajah Akram berubah. Tubuhnya dikalih menghadap Aiman yang masih lagi duduk di sofa. Kematian Amirul yang dibangkitkan semula mula menimbulkan perasaan sayu di hati. Tetapi hatinya lebih menimbulkan persoalan mengenai Isya.

“ Apa maksud Am?”

“ Adik dah tak bencikan Along. Dia sedar. hidup, mati, jodoh, rezeki semuanya kerja Allah. Malah dia sendiri rasa bersalah sebab bencikan Along dulu. Tapi sekarang kenapa Along buat dia bencikan Along semula?”

“ Bukankah kebencian itu lebih baik dari berdendam? Along tak nak dia berdendam dengan Along.”

“ Itu semua alasan! Along sendiri tahu. Tak ada sekelumit perasaan dendam pun dalam hati dia. Dia sendiri tak tahu macam mana rasa berdendam.” Akram hanya membisu.

“ Along fikirlah sendiri. Mana baik dan mana yang buruk. Along tahu semua tu. Am tak nak masuk campur. Along boleh uruskan hal ni sendiri.”

Aiman melangkah pergi. Dibiarkan saja Akram yang masih terkunci bibir. Dia yakin Akram mampu untuk menyelesaikan masalah ini sendiri. Bukan dia mahu membesarkan masalah. Tetapi niat di hatinya hanyalah ingin meleraikan segala kekusutan yang mungkin bersarang di hati Isya. Kakinya diatur perlahan ke bilik Isya. Kedengaran esak tangis dari dalam. Tangan kanannya yang cuba untuk menolak pintu bilik Isya terpaksa ditarik kembali apabila bunyi tapak kaki seseorang yang melangkah naik ke atas singgah di pendengarannya.

Pintu biliknya dibuka pantas. Tubuhnya diboloskan di tepi pintu. Pintu bilik sengaja dibiarkan terbukan sedikit supaya memberi peluang kepadanya untuk mengintai melalui ruang yang ada. Susuk tubuh Akram mula kelihatan. Tetapi arah tujuan lelaki itu bukan pada biliknya. Sebaliknya ke arah bilik Isya.

Tombol pintu bilik Isya dipulas. Esak tangis kedengaran. Perasaan bersalah mula timbul di hati. Dia melangkah masuk. Aiman melangkah keluar dari biliknya, Pintu bilik Isya dibuka sedikit bagi memberi ruang buatnya untuk mengintai di celahan.

Akram melabuhkan punggungnya di birai katil. Isya turut berada di sisinya. Bahu Isya dipegang. Hanya tangisan kedengaran. Tiada sepatah kata yang keluar. Dia tahu gadis di sisinya kini mungkin sedang memarahinya.

“ Along minta maaf. Along sedar kata-kata Along tadi agak keterlaluan. Tapi Along tak maksudkan apa-apa.”

Tiada balasan. Hanya tangisan yang kedengaran. Bukan dia tidak mahu bersuara, tetapi tangisannya yang menjadi penghalang untuk dia bersuara. Apa yang patut dikatakannya? Wajah Akram langsung tidak dipandang. Akram melepaskan pegangannya pada bahu Isya. Wajah sembab Isya dipandang lama. Dia tahu dia yang bersalah. Tapi bagaimana caranya untuk memadamkan api kemarahan Isya padanya? Keluhan halus dilepaskan. Dia melutut di hadapan Isya.

“ Along betul-betul minta maaf. Memang Along yang bersalah. Maafkan Along. Along…..”

“ Tak. Bukan salah Along. Adik yang balik lambat. Salah Adik. Bukan salah Along.”

Adakah itu keikhlasan dari hatinya sendiri? Atau dia masih marahkan Akram? Wajah Isya dipandang. Sebaliknya Isya hanya menundukkan wajah. Tiada kekuatan untuk memandang abang kandungnya sendiri. Memang benar dia masih marahkan Akram. Tubuh Isya ditarik perlahan ke pelukannya. Tetapi pelukannya langsung tidak dibalas.

“ Marahkan Along? Memang patut Adik marah pada Along. Along kejam. Sakitkan hati Adik, marah Adik. Layan Adik macam orang asing. Teruk kan dapat abang macam ni? Disebabkan Along, Amirul terkorban. Kenapa bukan Along yang ‘pergi’? Along wujudkan kebencian dalam diri Adik. Kebencian yang Along sendiri tak tahu bilakah akan terpadam.”

Kata-katanya terhenti. Pelukan dilepaskan perlahan. Dia berdiri. Wajah Isya dipandang walaupun dia tahu mungkin sukar untuk kemarahan yang hidup dihati Isya dipadamkan.

“ Tidurlah. Esok dah bermula persekolahan.”

Kakinya diatur meninggalkan Isya. Gadis itu pantas bangun. Tubuh Akram dipeluk erat dari belakang. Air mata masih lagi mengalir. Perasaan bersalah hidup di hati.

“ Bukan salah Along. Adik tahu apa yang Along buat selama ni hanya untuk kebaikan Adik. Adik tahu semua tu. Kenapa Along nak salahkan diri pasal perkara tu? Bukan salah Along! Semuanya dah ditakdirkan. Dah ditakdirkan untuk Adik kehilangan dia. Walaupun adik kehilangan dia, tapi adik masih ada Along. Along takkan tinggalkan Adik, kan?”

Pelukan Isya dileraikan. Wajah Isya dipandang dengan penuh kasih sayang. Air mata yang masih mengalir laju di pipi Isya dikesat. Lantas tubuh Isya ditarik dalam pelukan. Tiada kata yang mampu dibalas. Namun tangisan Isya semakin kuat kedengaran. Semakin lama, tubuhnya dipeluk semakin erat. Terasa rambutnya dibelai lembut oleh Akram.

Aiman melangkah masuk ke biliknya. Tubuhnya disandar di belakang pintu. Kemalangan yang menimpa Amirul mula melayang di fikiran. Kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu. Malah kemalangan itu berlaku di hadapan matanya sendiri. Disebabkan ingin menyelamatkan Akram, Amirul yang sanggup berkorban. Dia masih ingat bagaimana tubuh Akram ditolak ke tepi. Tetapi, sebagai gantinya, tubuh Amirul yang terpelanting ke tengah jalan. Tidak cukup dengan sebuah kereta, sekali lagi tubuh Amirul digelek trailer.

Hanya satu yang bernasib baik. Perkara itu tidak terjadi di hadapan mata Isya. Kalau itu yang berlaku, mungkin kini Isya berada di pusat rawatan mental. Bukan mudah untuk membuatkan Isya melupakan segala-galanya. Apatah lagi kejadian tidak diingini menimpa abang kesayangannya sendiri. Mereka seperti isi dengan kuku. Tidak mungkin dapat dipisahkan. Namun apakan daya, mati tidak dapat dihalang. Semuanya kerja Tuhan. DIA saja yang mengetahui segala-galanya.

Boleh dikatakan, mereka sentiasa bersama. Kemana-mana saja, pasti adanya mereka berdua. Seperti belangkas. Setiap malam, Amirul yang menyelimutkan Isya, mendendangkan Isya, mencium dahi Isya, bercerita segala-galanya pada Isya. Tiada rahsia di antara mereka berdua. Jika mereka berdua keluar bersiar-siar, tangan Isya tidak pernah dilepaskan. Malah hampir setiap hari, Isya pasti diganggu Amirul. Ada saja yang mereka tengkarkan. Ada kalanya berlaku aksi kejar mengejar dalam rumah.

Namun semuanya berubah sejak ketiadaan Amirul. Walaupun dia yang menjadi pengganti Amirul, tetapi tidak mungkin dia dapat menggantikan tempat di hati Isya. Amirul segala-galanya bagi Isya. Ibarat hatinya. Hati gadis itu seolah-olah hilang apabila Amirul lenyap dari muka bumi. Dia yakin. Jika diberi pilihan antara Fitri dan Amirul, pasti Isya lebih memilih Amirul. Walaupun dia akan kehilangan cintanya sekalipun. Itu lebih berbaloi baginya.

“ Kalaulah aku tahu semuanya akan jadi macam ni, aku takkan biarkan Rul yang jadi korban. Kalaulah aku mampu untuk bertindak lebih awal, semuanya takkan jadi macam ni.” Dia bermonolog sendiri.

“ Ya Allah. Aku tahu. KAU takkan berikan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hamba-hambaMu. Tapi sudah fitrah manusia, Ya Rabb. Aku hanya mampu berdoa. Tidak mampu menghalang.”

1 ulasan:

penulis berkata...

Assalamualaikum..
new n3..[just comment]