3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Jumaat, 3 September 2010

3+1=50

Nabil memandang satu demi satu wajah di hadapannya. Senyuman kecil terukir di bibirnya. Tiga keping tiket di tangannya diletakkan di atas meja. Naila, Nazim dan Nazira hanya memandang tanpa sepatah kata yang bermain di bibir. Seketika kemudian pandangan mereka beralih pada Nabil.

“ Percutian tiga hari dua malam. Aku dapat tiket lebih dari uncle aku. So, siapa lagi yang aku nak ajak kalau bukan kau orang kan?” Nabil bersuara bersama sedikit penerangan tentang niatnya.

“ Kau pergi jugak?” Naila menyoal. Matanya tepat memandang Nabil. Nabil sekadar mengangguk. Naila mengukir senyum. Pandangannya beralih pada Nabil dan Nazira.

“ Macam mana? Kita pun memang tak ada perancangan untuk cuti sekolah ni kan?” Naila meminta pendapat. Nazim memandang Nazira. Gadis itu sekadar mengangguk.

“ Ok.” Persetujuan dari Nazim membuatkan Nabil ikut tersenyum.

“ Kalau macam tu, kita jumpa hari sabtu ni. Jangan lupa bawa baju sejuk sekali.” Nabil berpesan. Ketiga-tiga mereka sekadar mengangguk. Nabil bangun.

“ Aku balik dulu.” Nabil melangkah keluar. Naila mengikut dari belakang. Sebaliknya, Nazim dan Nazira hanya sekadar menjadi pemerhati. Nazira mengalihkan pandangan ke wajah Nazim. Wajah Nazim yang berubah membuatkan dia tersenyum kelat. Dia tahu apa yang dirasai lelaki itu.

“ Cemburu?” Nazira bersuara.

“ Hmm?” Soalan dibalas dengan riak wajah kepura-puraan.

“ Ada perasaan cemburu dalam hati kau, kan?” Sekali lagi Nazira menyoal.

“ Siapa aku nak cemburu dengan dia, Naz?” Nazim melangkah pergi. Anak-anak tangga dijijak naik.

“ Kau datang dengan apa, Bil? Tak ada kereta pun?” Naila menyoal. Lehernya dipanjangkan untuk melihat kawasan di luar rumah.

“ Jalan kaki.” Serta-merta pandangan Naila beralih. Wajah lelaki itu dipandang tepat.

“ Jalan kaki? Datang sini?” Nabil tersenyum.

“ Pergilah masuk.” Nabil menyuruh. Naila mengukir senyum.

“ Mana boleh aku biar kau jalan sorang-sorang malam-malam macam ni. Jomlah.” Nabil tersenyum. Mereka melangkah keluar. Berjalan beriringan. Masing-masing membisu buat seketika waktu. Nabil memandang Naila sekilas sebelum pandangannya dialih semula ke hadapan.

“ Hidup kau macam mana sekarang?” Soalan yang diajukan oleh Nabil membuatkan Naila mengalihkan kepalanya memandang Nabil. Senyuman kecil terukir di bibir.

“ Macam ni sajalah, Bil. Macam yang kau tengok sekarang.” Ada nada kurang memuaskan dari butir katanya.

“ Lain macam je bunyinya. Ada problem ke?” Wajah Naila dipandang lama. Naila tersenyum. Senyuman yang jelas kepura-puraan. Memang benar masalah meruntun dirinya. Masalah yang berkait dengan Nazim. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal berlaku. Sesuatu yang mendatangkan kerisauan yang besar pada dirinya.

“ Nai.”

“ Hmm?” Wajah Nabil pantas dipandang.

“ Kita duduk situ dulu.” Arah yang ditunjukkan oleh Nabil dipandang. Dia mengangguk. Mereka melangkah bersama. Melanbuhkan punggung di buaian. Naila mendongak ke arah langit. Langit yang gelap bertemankan sebutir dua bintang-bintang diperhati lama. Buaian yang menjadi tempat dia melabuhkan punggung dihayun perlahan.

“ Aku tak suka tengok kau macam ni, Nai.”

“ Hmm?” Pandangan Naila serta-merta beralih. Wajah Nabil dipandang tepat. Mereka saling berpandangan.

“ Besar sangat ke problem tu?” Nabil sekali lagi menyoal. Naila mengalihkan pandangan ke arah lain. Memandang pohon-pohon yang terbuai-buai ditiup angin. Keluahn dilepaskan.

Nothing lah, Bil.” Naila menyembunyikan perasaannya sendiri. Nabil mengeluh.

“ Aku masih sahabat kau ke Nai?” Naila terpana. Sekali lagi wajah Nabil dipandang tepat.

“ Kau dah berubah. Dah ada rahsia antara kita.” Nabil berbicara lagi. Naila memandang ke arah lain.

“ Ada ke orang yang tak ada rahsia, Bil?” Nabil terdiam. Entah apa yang harus dikatakannya lagi. Dia benar-benar merindui Naila yang dahulu. Naila yang sering kali bertikam lidah dengannya. Yang acap kali tidak berpuas hati dengannya. Dia mengeluh.

“ Kenapa? Berat keluhan tu.” Naila menyoal. Sebaliknya Nabil sekadar tersenyum kecil.

“ Dah lama kita tak sembang-sembang macam ni kan? Macam-macam dah jadi. Semuanya dah berubah.” Naila menutur kata. Sekali lagi Nabil tersenyum. Wajah gadis di sisinya dipandang sekilas.

“ Dan kau pun dah tak ada masa untuk aku.” Naila memaling kepalanya. Mata Nabil dipandang tepat. Mereka saling berpandangan.

“ Hmm??” Naila mengangkat kening. Senyuman masih tidak lekang di bibir Nabil.

“ Iya lah. Sejak Nazim muncul, masa kau cuma untuk dia. Dua puluh empat jam dengan dia.” Nabil berterus-terang. Dia tahu. Isi hati yang baru diluahkan sebentar tadi tidak akan mendatangkan syak wasangka pada gadis itu.

“ Nampaknya, dah ada orang yang terasa kehilangan. Hmm.. Jangan risau, kawan. Aku takkan abaikan kau.” Bahu Nabil dipegang. Senyuman terukir di bibir kedua-duanya. Nabil membisu. Wajah Naila dipandang tepat. Disebabkan berasa dipandang lama, Naila turut mengalihkan pandangan memandang Nabil.

“ Kenapa?” Soalan dari Naila tidak dibalas. Sebaliknya wajah Naila masih dipandang lama. Rambut Naila yang menutupi mata membuatkan Nabil mendekatkan tangannya pada wajah gadis itu. Naila terpana. Jantung yang menjadi bahagian penting dalam tubuhnya berdegup semakin kencang. Mereka saling bertentang mata. Nabil mengarahkan tangannya pada rambut Naila. Rambut yang menutupi wajah gadis itu disangkutkan ke telinga Naila. Nabil tersenyum. Sebaliknya Naila melarikan pandangan dan anak matanya ke arah lain.

*****

Seluruh biliknya dipandang lama. Berfikir sekiranya dia terlupa sesuatu untuk dibawa bersamanya nanti. Dia tersenyum puas. Yakin bahawa kesemua barangnya sudah dibawa. Bagasinya diangkat. Dia menapak menghampiri pintu. Tombol pintu dipulas seraya ditariknya pintu ke dalam. Naila tersentak. Munculnya Nazim secara tiba-tiba dihadapannya sedikit sebanyak mampu untuk meragut jantungnya. Nafasnya dihela.

“ Awak buat saya terkejutlah.” Nazim tersengih. Wajah Naila yang mula pucat dipandang bersama sengihan.

“ Biar saya tolong bawa.” Bagasi di tangan Naila cuba diambil.

“ Tak apalah. Saya boleh bawa.” Naila menolak.

“ Awak kalau tak melawan cakap saya tak boleh ke? Ada saja yang awak nak cakap kan?” Nazim menyindir. Naila mencebik. Bagasi di tangannya dilepaskan. Pada masa yang sama juga. bagasi yang seberat hampir tujuh kilogram terhempap di atas kaki Nazim. Lelaki itu menjerit. Naila yang melangkah melintasi Nazim segera menghentikan langkah. Kepalanya dipalingkan ke arah Nazim.

“ Bukan salah saya.” Selesai saja berbicara, dia berlalu. Menuruni anak-anak tangga tanpa mengeluarkan kata maaf.

“ Awak ni kan….” Nazim tidak meneruskan kata-kata. Kakinya dipegang dalam keadaan terincut-incut. Bibirnya diketap tanda geram. Bagasi milik Naila diangkat. Kakinya melangkah menuruni anak-anak tangga walaupun dalam keadaan kakinya yang masih terasa denyutan kesakitan. Dia berhenti melangkah. Nabil yang sudah berada di hadapan rumah dipandang sekilas sebelum dia meneruskan langkah menghampiri Naila. Bagasi di tangannya dimasukkan ke dalam punggung kereta.

*****

“ Ni. Kunci bilik.” Kunci di tangannya diberikan pada Naila. Naila tersenyum. Wajah Nabil dipandang bersama senyuman.

Thanks.” Nabil mengangguk.

“ Pergilah masuk bilik dulu. Nazira pun.” Pandangan Nabil beralih pada Nazira.

“ Lebih kurang pukul 6, kita turun skating.” Kata-katanya disambung lagi. Naila menunjukkan wajah terkejut.

Skating? Manalah aku tahu main benda tu, Bil.” Dahi Naila semakin berkerut. Nabil tersenyum.

“ Kalau macam tu….”

“ Eh, Zim. Kau pandai main tu kan?” Belum sempat Nabil meneruskan butir bicara, kata-katanya sudah pun dipintas oleh Nazira. Nazira memandang Nazim. Tangan Nazim disiku perlahan sebagai tanda isyarat untuk dia mengakuinya. Nazim mengangguk. Dia tahu niat Nazira berkelakuan demikian. Sudah pasti dia tidak mahu Naila bersama Nabil pada saat ni.

“ Kalau macam tu, Zim. Kau ajarlah Nai. Jadi tuk guru dia. Boleh kan?” Nazira mengangkat kening. Enam mata memandang Nazim. Lelaki kelihatan sedikit rimas dengan pandangan yang terarah pada dirinya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengangguk.

“ Ok. Dah tak ada problem kan sekarang? So, pergilah naik bilik dulu. Jangan lupa pukul enam.” Nabil bersuara. Naila dan Nazira mengangguk bersama senyuman. Mereka melangkah pergi.

*****

Tubuhnya disandarkan pada dinding. Telefon bimbit yang berada di dalam poket seluarnya dikeluarkan. Skrin telefon diperhati. Sudah menunjukkan jam enam petang. Pandangannya dilontarkan di luar tingkap. Awan mendung menguasai langit. Matanya dialih semula pada telefon bimbit miliknya. Jari- jemarinya laju menekan punat telefon. Satu pesanan ringkas dihantar. Beberapa saat kemudian, kedengaran pesanan yang dihantarnya berbalas. Nazim berdiri. Kakinya diatur setapak dua untuk keluar dari bilik. Langkahnya terhenti apabila namanya dipanggil. Kepalanya dikalih ke belakang. Wajah Nabil dipandang tepat.

“ Kau nak pergi mana?” Nabil menyoal.

“ Jalan-jalan kejap. Kau turunlah dulu. Nanti aku pergi sana.” Tanpa menunggu balasan kata dari Nabil, dia terus melangkah keluar.

*****

“ Kenapa kau buat macam tu, Naz?” Dari nada suara Nazim, jelas kedengaran dia kurang berpuas hati.

“ Apa kau ni?” Soalan dibalas soalan.

“ Apa kau tanya aku? Asal kau bagi tahu Naila yang aku tahu main benda tu?”

“ Kenapa? Memang betul pun kan.” Nazim mengeluh berat.

“ Memanglah apa yang kau cakap tu betul. Tapi apa yang kau buat ni, akan lebih rapatkan hubungan aku dengan Naila, Aku bukan minta kau rapatkan aku dengan dia.” Nazira membisu buat sementara. Mata Nazim dipandang tepat,

“ Habis, kau sanggup tengok Nabil ajar Naila main benda tu? Kau jangan bohong akulah, Zim. Aku tahu. Kalau perkara tu terjadi, kau yang akan sakit hati. Aku….”

“ Aku lebih rela aku yang sakit hati daripada biar Naila merana kerana aku!” Kata-kata Nazira dipintas. Mereka saling bertentang mata.

“ Apa bezanya, Zim? Dia mungkin tetap akan kehilangan kau. Perasaan yang mungkin akan dia rasa, sama saja. Tetap sakit dalam hati.” Nazim terdiam agak lama.

“ Aku nak dia bencikan aku. Bila perasaan benci tu ada, sayang dia pada aku akan beransur. Pada waktu tu, aku takkan rasa berat hati untuk tinggalkan dia, Naz.”

“ Apa yang kau buat tu salah, Zim!” Nazira mengeluh berat. Teramat berat.

“ Suka hati kaulah, Zim. Aku tegur macam mana pun, kau tetap dengan pendirian kau.”

*****

“ Bil. Aku rasa lebih baik kita cari dia. Dah pukul 6.30 dah ni.” Nabil mengangguk. Mereka beredar dari kawasan skating. Satu demi satu kawasan dicari. Namun, kelibat Nazim masih belum kelihatan. Jam sudah pun menunjukkan 6.50 petang. Langkah Naila terhenti. Wajahnya bertukar ceria. Nazim sudah pun dijumpainya. Berada dari jarak yang agak jauh di hadapannya.

Nazim mengalihkan pandangannya. Naila yang kelihatan jauh di hadapannya membuatkan dia kembali menghalakan pandangannya pada Nazira. Wajahnya ditundukkan sedikit ke bawah. Nazira kelihatan hairan dengan perubahan wajah lelaki di hadapannya. Kepalanya cuba dikalih ke belakang. Namun, tindakan Nazira itu pantas dihalang Nazim.

“ Kenapa ni?” Nazira menyoal tegas. Mata Nazim dipandang tepat.

“ Naila. Naz, ni masanya. Kau dah janji nak tolong aku kan?” Soalan Nazim tidak dibalas. Hanya anggukan berat yang menjadi jawapan. Nazim merapatkan bibirnya pada bibir Nazira. Hanya sekadar berpura-pura. Jika dilihat dari belakang, sudah tentu disangkanya mereka sedang bercumbuan. Namun, itu bukan kenyataannya.

Naila melangkah ke hadapannya. Dalam masa yang singkat sahaja, langkahnya terhenti. Wajahnya serta-merta berubah. Langkah Nabil ikut terhenti. Naila dipandang dari belakang. Naila terpana. Air mata mula memenuhi ruang mata. Apa yang dilihatnya kini benar-benar merentap seluruh jiwanya. Air jernih yang tidak mampu bertahan akhirnya jatuh jua.

Nabil bertindak pantas. Tangan Naila ditarik seraya tubuh gadis itu membelakangi Nazim. Wajah Naila dipandang tepat. Air matanya semakin laju mengalir menuruni pipi. Naila cuba untuk memusingkan tubuhnya semula. Tetapi, sepantas itu juga, tubuhnya ditarik ke dalam pelukan.

“ Jangan pandang.” Dua patah kata yang mampu lahir dari bibir Nabil.

0 ulasan: