3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Sabtu, 27 Februari 2010

3+1+38

“ Awak berdiri di sini dulu.” Nazim memberi arahan. Sebaliknya Naila hanya mengangguk bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan lelaki itu. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia dibawa ke rumah lelaki itu. Walaupun berkali-kali dia cuba untuk menolak niat baik lelaki yang baru dikenalinya itu, usahanya hanya sia-sia. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut langkah yang diatur Nazim. Dia tahu lelaki itu berniat untuk membantunya. Tetapi perasaan tidak mahu menyusahkan sesiapa lebih bersarang di hati.

Nazim melangkah masuk ke dalam rumah. Dia tahu papa dan abangnya tiada di rumah. Mungkin pada saat ini, mamanya saja yang menghuni rumah ini sekarang. Matanya meliar ke setiap pelusuk mencari kelibat mama tirinya. Kakinya pantas melangkah naik ke bilik mamanya. Tombol pintu bilik mamanya dipulas lalu ditolak ke dalam. Pada masa yang sama pandangan mereka bertemu.

“ Dah hampir pukul 11 malam baru kamu balik? Mana kamu pergi sampai lewat malam macam ni?” Aura leteran mula kedengaran. Namun pandangannya beralih semula pada lipatan kain di hadapannya.

Nazim tidak bersuara. Soalan mamanya juga tidak dijawab. Kakinya melangkah perlahan mendekati mamanya. Punggungnya dilabuhkan di atas katil di sebelah mama tirinya. Wajah mamanya dipandang lama. Perasaan berat hati menerpa. Takut jika permintaannya ditolak bulat-bulat.

“ Kamu kalau dah pandang mama macam tu, mesti ada sesuatu yang kamu nakkan. Apa?”

“ Ma. Boleh tak kalau…..” Nazim terdiam. Perasaan mula menjadi kurang enak.

“ Kalau apa? Cakap tu biar penuh. Cuba terus-terang dengan Mama. Seumur hidup Mama, Mama tak pernah makan orang.”

“ Boleh tak kalau…..kalau kawan Zim tinggal di sini buat sementara waktu?”

“ Kawan?” Matanya memandang tepat pada wajah Nazim. Lipatan kain serta-merta terhenti.

“ Kawan yang mana? Selama ni kamu tak pernah pun sebut tentang kawan kamu. Ingatkan kawan kamu tak pernah wujud.”

“ Mama tak kenal kawan Zim. Macam mana Zim nak terangkan?”

“ Kalau macam tu, Zim terangkan. Kenapa dia nak menumpang di rumah kita? Mana rumah dia? Mak dan ayah dia dah tahu ke dia nak tinggal sini?”

“ Boleh tak lepas ni baru Zim terangkan? Lagipun kawan Zim ni perempuan, Ma.”

“ Perempuan??? Ni yang Mama tak setuju ni. Mesti kes lari rumah. Tak boleh! Selagi Mama tak tahu perkara sebenar, Mama takkan benarkan kawan kamu tinggal di rumah kita!”

“ Ma. Tolonglah, Ma. Zim akan terangkan semuanya lepas ni. Mama tak kasihankan dia ke Ma? Berdiri di luar seorang diri, dalam keadaan sejuk macam ni.” Suasana sunyi buat sementara. Masing-masing mempunyai sesuatu untuk difikirkan.

“ Baiklah. Kamu panggil kawan kamu masuk. Kamu biarkan dia tinggal dalam bilik tetamu dulu.”

“ Terima kasih, Ma.” Nazim berdiri. Wajahnya jelas menggambarkan kegembiraan. Namun langkahannya terhenti apabila namanya dipanggil. Kepalanya ditoleh ke belakang memandang mama tirinya.

“ Tapi, lepas tu kamu datang jumpa Mama. Kamu perlu jelaskan apa yang dah terjadi.”

“ Baik, Ma.” Langkahannya disambung kembali dengan senyuman yang masih terukir. Lega. Tetapi selepas ini ayahnya pula yang perlu dihadapi. Bagaimana jika ayahnya membantah tindakannya?

Naila hanya berdiri di luar rumah. Dadanya mula berdetak kuat. Bimbang jika kedatangannya tidak diundang oleh tuan rumah. Jika kedatangannya ditolak, kemana harus dia pergi membawa diri? Keluhan berat dilepaskan.

“ Muda-muda pun dah mengeluh berat ke?”

Naila terperanjat. Teguran Nazim benar-benar membuatkan dia terkejut. Wajah lelaki itu dipandang. Beg yang dibawanya sebentar tadi tiba-tiba saja dibawa masuk lelaki itu. Tindakan Nazim semakin membuatkan timbulnya perasaan terkejut.

“ Apa yang awak buat ni?”

“ Awak tak nampak ke? Saya bawa masuk beg awaklah. Habis tu, awak nak tidur luar?”

“ Tapi…….mama awak. Terima saya tinggal di sini ke?” Beg Naila diletakkan di atas lantai ruang tamu rumah. Namun gadis itu masih lagi berdiri tegak di luar rumah. Nazim hanya tersenyum.

“ Cik Naila. Kalau mama saya tak terima awak, awal-awal lagi saya minta awak pergi tempat lain. Ataupun saya lempar je beg awak ni jauh dari rumah saya.” Serta-merta wajah Naila berubah. Dia tahu Nazim hanya bergurau dengannya. Tapi perasaan sedih mula menerpa diri. Entah kemana arah tujuannya selepas ini.

“ Saya minta maaf kerana susahkan awak. Kita baru saja kenal. Tapi kenapa awak……”

“ Kalau awak nak tahu mana bilik awak, lebih baik awak ikut saya sekarang.” Belum sempat Naila menghabiskan kata-katanya, Nazim memotong. Dia tidak mahu bertambahnya perasaan sedih di hati gadis itu. Biarlah gadis ini merasa lega buat sementara waktu. Naila hanya mengikut langkah Nazim dari belakang tanpa sepatah kata.

Tombol pintu dipulas lalu ditolak ke dalam. Beg yang dibawa Nazim diletakkan di tepi katil. Naila hanya berdiri tegak di belakang lelaki itu. Dia benar-benar berasa bersalah. Malah perasaan kekok ikut terselit di hati.

“ Awak berehatlah. Kalau ada apa-apa yang awak nak, awak beritahu saya. Bilik saya sebelah dengan bilik awak je. Lama-lama awak akan biasa tinggal di sini. Awak jadikan saja rumah ni seperti rumah awak sendiri. Dengan tu, awak takkan rasa kekok.” Naila hanya tersenyum kecil. Wajah Nazim dipandang tepat.

“ Terima kasih. Saya tak tahu macam mana nak balas budi baik awak.” Nazim juga hanya tersenyum.

“ Awak tidurlah. Jangan fikir banyak.” Nazim melangkah keluar dari bilik. Pintu bilik Naila ikut sama ditutup rapat. Selepas ini tugasnya adalah untuk memberikan penjelasan pada mamanya tentang kenyataan sebenar. Dia yakin, pasti mamanya akan membenarkan Naila tinggal buat sementara waktu bersama mereka.

*****

“ Papa.”

“ Faiqa, apa yang penting sangat sehinggakan kamu nak sangat bincang dengan Mama dan Papa ni? Apa yang penting sangat?” Puan Marlia bersuara tegas. Masing-masing berkumpul diruang tamu atas permintaan anak tunggal mereka, Faiqa. Dato’ Yahya hanya berdiam diri. Kerana dia tahu apa yang ingin diperkatakan Faiqa sebentar lagi. Semuanya diketahui daripada seorang anak muda yang menggelar dirinya sebagai Khai. Walaupun dia tidak pernah mengenali anak muda itu, tetapi mengikut hatinya, dia tahu setiap fakta yang disampaikan padanya adalah demi kebaikan Faiqa sendiri.

“ Mama. Papa. Sebenarnya…..Faiqa nak minta…..izin Mama dan Papa untuk….”

“ Kenapa tergagap-gagap ni Faiqa? Cubalah cakap baik-baik sikit.” Puan Marlia menegur. Faiqa menarik nafas perlahan-lahan.

“ Faiqa nak minta izin Mama dan Papa. Faiqa nak balik Malaysia.” Wajah Mama dan Papanya dipandang dengan penuh keberanian.

“ Apa?? Kamu nak balik Malaysia?? Apa yang kamu merepek ni??” Puan Marlia membentak keras.

“ Ma. Faiqa tak boleh hidup di sini. Faiqa tak dapat biasakan diri di sini.”

“ Mestilah kamu tak dapat biasakan diri. Kamu baru saja berada di sini dua minggu. Kalau kamu balik sana, siapa yang nak ambil alih syarikat Papa kamu? Kamu nak biarkan syarikat tu tanpa waris? Tanpa pengarah? Kalau kamu balik sana pun, siapa yang nak jaga kamu?” Sekali lagi Puan Marlia membentak. Faiqa hanya berdiam diri.

“ Kamu pergilah.” Keizinan Dato’ Yahya mengejutkan semua.

“ Abang!” Puan Marlia pantas membantah.

“ Faiqa, Papa dah tahu segala-galanya. Kamu baliklah. Papa izinkan.”

“ Abang! Mana boleh abang biarkan Faiqa pergi macam tu saja. Habis? Syarikat macam mana? Siapa yang nak usahakan?”

“ Marlia! Masih ada banyak masa. Lagipun Faiqa masih berada di sekolah menengah. Salah abang juga. Abang paksa dia untuk ambil alih syarikat abang."

“ Faiqa. Papa izinkan kamu balik Malaysia. Tapi kamu kena janji dengan Papa. Selepas kamu tamat belajar sana, kamu diwajibkan balik ke sini semula untuk menggantikan Papa.”

“ Faiqa janji dengan Papa. Faiqa pegang dengan janji tu.”

“ Tak! Mama tak setuju! Abang! Siapa yang nak jaga Faiqa kat sana?”

“ Kamu ni kan Marlia. Suka sangat mengongkong anak. Pak Salleh dan Mak Ani kan masih ada di rumah kita. Abang akan minta mereka jagakan Faiqa. Dan kamu Faiqa! Jaga diri baik-baik. Papa dan Mama dah tak ada di sana. Kamu kena dengar cakap Pak Salleh dan Mak Ani. Kalau Papa dapat aduan dari mereka, kamu dah tak akan dibenarkan tinggal di sana lagi. Faham?”

“ Baik Papa. Faiqa faham. Faiqa takkan kecewakan Papa dan Mama.”

“ Bila kamu bercadang nak balik sana?” Puan Marlia bersuara perlahan. Walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan Faiqa, mahu tidak mahu dia tetap perlu memberikan keizinan pada anak tunggalnya. Mungkin ini yang terbaik buatnya.

“ Esok Ma.”

“ Kalau macam tu, kamu pergilah berehat. Esok kamu dah nak bertolak. Barang-barang pun kamu belum kemas lagi.” Sayu suara Puan Marlia. Faiqa melabuhkan punggung di sisi mamanya. Tubuh mamanya dipeluk erat.

“ Ma. Maafkan Faiqa, Ma. Faiqa janji, Faiqa akan balik sini semula. Maafkan Faiqa, Ma.” Air mata mula menitis. Begitu juga Puan Marlia.

“ Kamu jaga diri baik-baik bila dah ada di sana. Ingat. Kamu anggap Pak Salleh dan Mak Ani seperti ibu dan ayah kamu sendiri. Setiap teguran mereka adalah demi kebaikan kamu sendiri.” Faiqa mengganguk dalam linangan air mata.

*****

Tubuhnya dibaringkan di katil. Jam dinding yang tersangkut kemas dipandang sekilas. Sudah menunjukkan jam 2.10 pagi. Namun matanya masih belum dapat dilelapkan. Fikirannya kini hanya dipenuhi dengan bayangan Naila. Entah apa rancangan gadis itu selepas ini. Selama ini gadis itu sentiasa bersama kemewahan. Tetapi sekarang seolah-olah dia diragut dari segala kemewahan yang pernah dia miliki. Kedua-dua tangannya diletakkan di bawah kepala. Siling bilik dipandang tepat. Namun matanya masih juga tidak dapat dilelapkan.

Nazim melangkah bangun dari katil. Kakinya diarah keluar dari bilik. Bilik di sebelahnya dipandang lama. Pintu bilik Naila didekati. Dua tiga ketukan diberikan. Namun tiada sebarang balasan. Pasti gadis itu sudah pun dibuai mimpi. Tombol pintu cuba dipulas. Wajahnya jelas kelihatan terkejut. Ternyata gadis itu tidak menguncikan pintu dari dalam. Pintu ditolak ke dalam. Beg yang dibawa masuk sebentar tadi masih lagi berada di tempat yang sama. Tetapi Naila sudah pun nyenyak dibuai mimpi tanpa selimut yang menutupi tubuh.

Pintu almari dibuka. Selimut hijau yang sudah pun tersedia ditarik keluar. Dia melangkah menghampiri gadis itu. Tanpa membuang masa, tubuh Naila ditutupi sehingga ke paras bahu. Punggungnya dilabuhkan di sisi Naila. Wajah gadis itu dipandang lama. Pasti dia letih. Letih dengan segala yang telah terjadi. Letih untuk menghadapi semuanya seorang diri. Nazim melangkah ke meja tulis. Kertas yang sudah pun tersedia dicapai. Sesuatu dicatat pada kertas tersebut. Dia kemudian melangkah ke pintu bilik. Kertas tersebut ditampal pada pintu bilik.

Nazim melangkah keluar dari bilik Naila. Pintu bilik sengaja dikunci dari dalam bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku. Kini Naila menjadi tanggungjawabnya. Keselamatan gadis itu juga menjadi tanggungjawabnya. Walau apapun yang terjadi, dia harus melindungi gadis itu. Kerana kini hatinya hanya berada pada Naila.

3 ulasan:

penulis berkata...

assalamualaikum..
new n3[just comment]

Tanpa Nama berkata...

nk tye bleh.....
bkn kerr si nazim 2 skit jantung...
knape skrg cam x skit pon....
even cam dat isu dh x diambil prhatian by the writer..
sorry juz asking n giving opinion...
sorry once again...

secret admire berkata...

betul tu kate orang di ats -,-