3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Rabu, 29 Disember 2010

cinta sunbae 25

Tanpa mendapatkan persetujuan dari Hakimi, Khairul terus menapak kepada Isya. Pintu kereta dibuka dan cuba untuk mengendong gadis itu masuk ke dalam rumah. Hakimi yang mula menyedari tindakan Khairul, pantas melangkah menghampiri mereka berdua. Tangan Khairul direntap dari terus memegang tangan ‘isterinya’. Khairul tersentak. Riak wajah Hakimi bertukar menjadi serius. Dia sendiri tidak menyedari emosi yang sedang bermain. Hakimi dan Khairul saling bertentang mata.

“ Biar aku yang bawa dia masuk! Kau pegang ni kalau kau tak nak dia kena hujan.” Hakimi menghulurkan payung yang sedang dipegangnya pada Khairul. Lelaki itu ditolak sedikit ke tepi. Isya pantas dikeluarkan dari kereta milik Khairul. Apabila Hakimi mula mengendong Isya, Khairul pantas memayungi gadis itu. Hakimi dibiarkan kebasahan.

“ Masuklah. Aku letak dia dalam bilik dulu.” Hakimi menapak masuk ke dalam rumah. Khairul mendiamkan diri. Dia tidak terus melangkah masuk ke dalam rumah, sebaliknya memerhati Hakimi sehinggalah bayangan lelaki itu hilang dari pandangan.

Hakimi merebahkan tubuh Isya di atas katil. Gadis itu diselimuti hingga ke paras bahu. Dalam keadaan yang tenang, Hakimi melabuhkan punggung di birai katil. Wajah Isya dipandang lama. Entah mengapa, semakin lama wajah itu dipandang, jantungnya semakin berdegup kencang. Walaupun begitu, dia dapat merasakan ketenangan yang mengalir dalam tubuhnya. Hatta, pada masa yang sama dia masih belum menyedari perasaan yang bermain dalam dirinya.

Hakimi melangkah keluar dari bilik. Khairul yang berada di ruang tamu dipandang sekilas sebelum dia menapak ke dapur. Selang beberapa minit berlalu, Hakimi keluar semula bersama dua cawan Nescafe panas. Dua cawan tersebut diletakkan betul-betul di hadapan Khairul. Mereka membisu buat seketika. Masing-masing dicengkam perasaan cemburu yang mendalam. Hanya perbezaan yang jelas antara mereka. Hakimi masih belum menyedari perasaannya ketika ini. Sebaliknya pada Khairul yang terlebih awal mengakui dirinya bahawa dia mencintai isteri orang.

“ Kau pergi mana dengan dia sampaikan sekarang baru balik?” Soalan dari Hakimi memecah kesunyian. Nada suaranya kedengaran mendatar.

“ Kau jumpa Hana lagi?” Soalan Hakimi tidak dijawab sebaliknya dia mengunjurkan soalan yang lain. Hakimi sedikit tersentak. Dia lebih memilih untuk mendiamkan diri.

“ Kau dah ada isteri, Kim! Takkan Hana pun kau masih tak dapat lupakan?” Riak wajah Khairul berubah serius.

“ Kau jangan campur urusan aku!” Hakimi membentak dengan nada suara yang perlahan.

“ Aku bukan nak campur urusan kau, Kim! Aku nak kau tahu yang Hana tu bukan perempuan yang baik! Dia cuma nak peralatkan kau untuk kepentingan diri dia sendiri! Lagipun.. “

“ Cukup..!!” Belum sempat Khairul menghabiskan kata-katanya, Hakimi terlebih dahulu memotong.

“ Kau jangan buruk-burukkan dia! Aku kenal dia lebih lama daripada kau! Dulu dia sukakan kau, kau tolak cinta dia. Sekarang, dia dah mula sukakan aku, kau nak buruk-burukkan dia pulak! Apa yang kau nak sebenarnya??” Hakimi meradang.

“ Apa yang aku cakap semuanya untuk kebaikan kau, Kim! Kalau kau masih sukakan Hana, mana kau nak letak Isya? Ingat! Dia isteri kau sekarang!” Khairul menjawab. Hakimi pula sekadar tersenyum sinis.

“ Dia tak kisah, kenapa kau pulak yang kisah? Kalau kau nak tahu, aku dengan Isya kahwin bukan atas dasar cinta. Semuanya disebabkan satu hutang. Kalau kau nak tahu jugak, kontrak aku dengan Isya cuma tinggal 10 bulan je lagi.. “ Hakimi bangun dari terus melabuhkan punggung di hadapan Khairul.

“ .. dan lepas 10 bulan, dah tak akan ada apa-apa hubungan antara aku dengan dia. Lepas tu kalau kau nak ambil dia, ambillah! Aku langsung tak kisah.” Hakimi menyambung kata-katanya. Khairul bingkas bangun. Tanpa sepatah kata, dia menghampiri Hakimi lalu dilepaskan satu tumbukan tepat ke pipi lelaki itu. Akibatnya, Hakimi tersungkur serta-merta. Dia tersentak.

“ Apa kau cakap? Kau tak kisah?? Kau ingat Isya tu apa? Barang yang kau boleh dagang???” Khairul mula berang. Nafasnya turun naik dengan pantas.

“ Baik! Kau jangan menyesal dengan apa yang kau dah cakap! Aku pasti akan rampas dia dari kau. Dan bila waktu tu sampai, dah tak ada guna kau menyesal!!” Khairul berlalu pergi.

Hakimi menyandarkan tubuhnya di dinding. Darah yang mengalir di celahan bibirnya dikesat menggunakan belakang tangan. Fikirannya bercelaru. Dia benar-benar tidak memahami dirinya sendiri. Mengapa dia membuka rahsia yang perlu dijaga selama ini? Mengapa senang-senang dia menyerahkan Isya pada seorang lelaki yang mungkin menjadi musuh cintanya sendiri.

*****

“ Abang Khai nak cakap apa? Selama lima tahun ni, tak pernah pun abang call Hana. Apatah lagi jumpa.” Hana memandang tepat pada Khairul. Kini, Khairul sedang duduk bertentangan dengannya. Beberapa minit yang lalu, dia mendapat panggilan telefon dari lelaki itu. Lima tahun yang lepas, cintanya ditolak. Disebabkan itu hubungan antara mereka seolah-olah terputus.

“ Kau.. masih jumpa Kim lagi kan?” Khairul terus menyoal. Riak wajahnya benar-benar serius. Hana menarik nafas dalam-dalam.

“ Memang! Memang Hana masih jumpa dengan dia lagi. Jadi?” Sebelah keningnya diangkat. Rasa cinta yang dahulunya disemai sudah tiada lagi buat lelaki itu.

“ Aku nak kau jauhkan diri dari dia. Kau jangan ingat aku tak tahu helah kau yang sebenar. Sebelum dia jadi famous, kau tolak cinta dia. Sekarang, bila nama dia dah tercatat sebagai sejarah, baru kau nak damping dengan dia?” Walaupun riak wajah Khairul kelihatan serius, tetapi nada suaranya masih mendatar. Dengan kata-kata itu, Hana ketawa kecil.

“ Sejak bila Abang Khai pandai masuk campur urusan peribadi Hana? Hana nak jumpa dia atau tak, abang tak perlu peduli. Abang tak kenal Hana sepenuhnya, jadi abang tak layak nak adili diri Hana!” Hana meninggikan suara. Ruang kafeteria yang disinggahi oleh mereka sedikit bergema dengan suara kecil gadis itu.

“ Tak kenal? 10 tahun.. kau kata aku tak kenal kau? Putri Nur Hana.. aku kenal kau lebih dari orang lain.”

“ Suka hati abanglah! Hana cakap pun tak ada guna.” Hana bingkas bangun. Tetapi belum sempat dia meninggalkan Khairul, kakinya terhenti melangkah apabila Khairul tiba-tiba bersuara.

“ Kim dah kahwin.” Hana tersentak. Dia pantas mengalihkan kepalanya memandang Khairul. Riak wajahnya benar-benar kelihatan terkejut.

“ Apa? Apa.. abang cakap?”

“ Isya.. bukan orang gaji Kim. Tapi.. isteri dia.” Sekali lagi Hana dikejutkan dengan satu fakta.

“ Macam mana.. “

“ Diorang dah kahwin dua bulan. Tapi kahwin bukan atas dasar cinta.”

*****

Mata Hana terarah pada pemanduannya. Tetapi fikiran dan mindanya berkecamuk memikirkan sesuatu yang belum pasti. Sebelum ini, dia hanya merancang untuk membuatkan Hakimi masuk ke dalam perangkapnya. Namun apabila perkara yang tidak pernah dia jangkakan terjadi, ada sesuatu yang lain di hatinya. Mengapa fakta itu membuatkan hatinya sakit?

Kontrak diorang selama setahun.. Lepas tamat tempoh tu, diorang akan berpisah. Sebab tu.. aku nak kau jauhkan diri kau dari dia.

Kata-kata Khairul masih terngiang-ngiang di telinganya. Fikirannya benar-benar bercelaru. Dia resah. Resah sekiranya Hakimi tidak dapat menjadi miliknya. Sekarang dia mula sedar, dia bukan lagi berniat untuk mempergunakan lelaki itu. Niatnya yang dahulu kini bertukar menjadi satu cinta yang tulus.

“ Kahwin? Tak.. Tak boleh! Kali ni.. aku tak akan biarkan lelaki tinggalkan aku lagi. Tak boleh!” Hana bernekad. Stereng keretanya serta-merta dipusing mengikut arah jam. Dia berpatah balik dari arah tujuannya yang sebenar. Walau apapun yang terjadi, dia mesti dapatkan Hakimi! Pasti!

*****

Hakimi menyandarkan tubuhnya di sofa. Matanya tertacap tepat pada siaran televisyen di hadapannya. Walaupun begitu, fikirannya menerawang ke arah lain. Dia sedang berfikir. Berfikir mengenai setiap kata-katanya terhadap Khairul malam semalam. Entah mengapa, jiwanya mula tidak tenteram. Isya yang sedang mengemop lantai langsung tidak dipedulikan.

“ Angkat kaki.” Isya bersuara. Hakimi sekadar mengikut apa yang dipinta gadis itu. Kali ini dia tidak banyak bersuara. Matanya masih lagi tertacap pada siaran televisyen di hadapannya.

“ Kau tak ada kerja ke hari ni? Shooting ke, perform ke?” Sambil tangannya ligat membersihkan lantai, Isya sempat lagi menyoal.

“ Hmm..? Tak ada. Next week baru start.” Hakimi menjawab. Isya pula bertindak mendiamkan diri sebentar. Dia menapak ke bilik air. Membersihkan segala kekotoran yang mungkin melekat pada tubuhnya.

20 minit kemudian, Isya menapak keluar dari bilik air. Tubuhnya terasa kembali segar. Tidak lagi berasa melekit-lekit. Matanya tertacap pada Hakimi. Lelaki itu masih lagi melabuhkan punggung di ruang tamu. Isya melangkah kaki ke biliknya. Niatnya untuk meredakan segala kepenatan terbantut apabila namanya dipanggil. Serta-merta dia beralih pada Hakimi.

“ Ambil air kosong.” Hakimi memberi arahan. Riak wajah Isya mula berubah. Dia merengus geram. Setiap kali dia ingin berehat, pasti ada saja yang diminta lelaki itu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur. Isya menapak ke ruang dapur. Selang beberapa minit kemudian, dia keluar semula bersama segelas air kosong di tangan. Gelas tersebut diletakkan betul-betul di hadapan Hakimi.

“ Hari ni tak ada kerja.. Esok pun tak ada kerja. Habis tu, kau buat apa kat rumah? Nganga je?” Isya memerli. Hakimi kelihatan tenang.

“ Tak. Aku jadi supervisor.” Hakimi langsung tidak memandang Isya. Matanya setia tertacap pada siaran televisyen.

“ Huh?” Isya kurang mengerti.

“ Kalau tak ada supervisor, siapa yang nak awasi kau buat kerja? Bukan macam tu?” Hakimi mendongakkan kepalanya. Kali ini barulah dia memandang wajah ‘isterinya’. Isya terkelu seketika. Kata-kata Hakimi tidak dibalas sebaliknya wajah lelaki itu dipandang lama.

“ Muka kau kenapa?” Isya mula menyedari sesuatu. Sepantas itu, Hakimi mengalihkan wajahnya semula.

“ Kenapa apa? Tak ada apalah!” Isya tidak berpuas hati. Dia melabuhkan punggung di sisi Hakimi. Tangannya cuba didekatkan pada wajah ‘suaminya’.

“ Betul ke tak ada apa?” Kesan lebam di pipi Hakimi ditekan agak kuat. Sekelip mata sahaja, Hakimi menjerit kesakitan.

“ Kau buat apa ni?!” Dia mula berang. Isya tidak bersuara. Dia bangun dari sisi Hakimi lalu menapak ke ruang dapur. Beberapa saat kemudian, dia keluar semula bersama satu peti kecemasan. Peti tersebut diletakkan di atas meja.

“ Sakit macam tu, kau kata tak ada apa?” Wajah Hakimi dipandang tepat. Lelaki itu cuba melarikan anak matanya tanpa menjawab soalan yang dikemukakan oleh ‘isterinya’. Isya mengeluarkan sejenis ubat dari peti kecemasan. Muka Hakimi dipegang dengan kedua-dua tangannya. Cuba untuk memaksa Hakimi memalingkan wajah ke arahnya.

“ Kan aku kata tak ada apa!” Hakimi cuba menolak.

“ Boleh tak kalau sekali ni saja kau jangan lawan cakap aku?” Isya mula geram. Mahu tidak mahu, Hakimi terpaksa akur. Keakuran Hakimi membuatkan Isya mula mengukir senyum. Bahagian muka Hakimi yang menunjukkan tanda lebam disapu dengan lembut. Tangannya tiba-tiba terhenti apabila dia melihat bibir Hakimi yang merekah. Malah, masih ada kesan darah di situ.

“ Kau.. bergaduh ke?” Isya menyoal. Ada keraguan di hatinya.

“ Huh? Tak.. Taklah.” Hakimi cuba menafikan kebenaran.

“ Kalau bukan bergaduh, apa? Pipi lebam, bibir berdarah. Bukan lagi?” Isya menyambung semula kerjanya. Kali ini, tangannya beralih pada bibir Hakimi.

.Wajah Isya dipandang lama. Jantungnya mula berdegup kencang. Tangan Isya dipegang dengan kejap. Serta-merta, Isya tersentak. Tangannya tidak lagi bergerak seperti tadi. Masing-masing bertentang mata antara satu sama lain.

2 ulasan:

Hafia Hana berkata...

hope sumthing will happen bentween them

Penulis berkata...

Assalamualaikum..hek3
agak2 ada apa2 jadi ke tak ye?