3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Isnin, 15 Mac 2010

3+1+41

Jam ditangan dipandang sekilas. Sudah menunjukkan hampir lapan malam. Sudah empat jam juga dia menunggu. Seluruh badan terasa letih. Namun bukan itu yang menjadi faktor utama. Keselamatan Naila lebih penting baginya. Pasti gadis itu lebih letih darinya. Letih dengan segala masalah yang perlu dilalui dan letih dengan setiap perjalanannya. Itulah lumrah sebagai seorang manusia. Selagi nyawa masih dikandung badan, itulah yang menjadi tanggungjawab seumur hidup.

Nazim tergesa-gesa menutupi wajahnya. Bayangan Naila sudah pun kelihatan. Gadis itu sudah pun melangkah menghampiri kerusi di perhentian bas. Nazim menoleh kepalanya ke arah lain. Naila melabuhkan punggungnya disebelah seorang lelaki walaupun dia sendiri tidak mengetahui lelaki yang berada disebelahnya kini adalah Nazim. Orang yang telah menolongnya disaat dia hidup sebatang kara. Naila tersenyum. Walaupun sudah hampir sepuluh pekerjaan dicarinya, akhirnya dia berjaya diterima sebagai seorang promoter di sebuah pasar raya. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Lega. Hatinya benar-benar terasa lega sekarang. Sekurang-kurangnya, dia mampu untuk menyara diri dan berdikari dari terus menyusahkan keluarga Nazim.

Hampir sepuluh minit berlalu, bas akhirnya muncul jua. Naila melangkah naik. Nazim ikut melangkah naik. Namun, jaraknya dengan Naila masih lagi dikekalkan. Kepalanya sengaja ditundukkan. Nazim melabuhkan punggungnya dibelakang Naila. Nasib baik kerana tiada sesiapa yang menduduki kerusi itu. Naila hanya melontarkan pandangannya diluar tingkap. Walaupun jam baru sahaja menunjukkan 8.30 malam, namun matanya sudah pun terasa berat untuk diangkat. Semakin lama, matanya semakin sukar untuk diangkat. Akhirnya dia terlena.

Nazim hanya tersenyum. Seperti jangkaannya, pasti gadis itu letih dengan setiap perjalanannya. Nazim berdiri pantas. Seorang lelaki berumur 30-an yang baru ingin melabuhkan punggung disisi Naila segera dihalang.

“ Minta maaf. Dia teman wanita saya.” Nazim memberi helah.

Belum sempat lelaki itu menjawab, Nazim sudah pun melabuhkan punggungnya di sebelah Naila. Lelaki itu hanya berlalu ke kerusi lain tanpa sepatah kata. Nazim tersenyum. Kepalanya ditoleh memandang Naila. Bas yang sentiasa bergerak ikut mengerakkan kepala Naila yang terhuyung-hayang. Bagi mengelakkan kepala gadis itu dari terhantuk di cermin, perlahan-lahan kepala Naila ditarik ke bahunya. Sekali lagi Nazim tersenyum. Wajah Naila dipandang lama. Senyuman tidak pernah luntur di bibir. Hatinya kini berbunga gembira. Gembira kerana dia mampu untuk berada di sisi gadis ini. Mampu untuk menjadi peneman di kala susah. Hanya satu yang membuatkan dia terseksa. Tidak mungkin cinta di hati Naila miliknya.

Bas berhenti. Pada masa yang sama, kepala Naila ikut terdorong ke hadapan. Sepantas itu juga, Naila terjaga dari tidurnya. Kewujudan seorang lelaki di sebelahnya masih tidak disedari. Kepalanya ditoleh ke sebelah kiri. Persekitaran disekelilingnya membuatkan dia tahu, dia sudah pun sampai ke destinasi. Kepalanya ditoleh kembali sebelah kanan. Dia tercengang. Wajah lelaki disebelahnya dipandang dengan penuh pandangan hairan. Nazim mengangkat tangan dengan senyuman yang masih mekar di bibir.

“ Kenapa awak boleh ada kat sini?” Pandangan hairan masih tertacap pada wajah Nazim.

“ Kenapa? Saya tak boleh ada kat sini? Bas ni untuk orang awam. Bukan untuk awak saja.” Nazim melangkah turun. Naila mengekori dari belakang. Dia mencebik. Kakinya melangkah laju mengatasi Nazim yang sudah pun berada di hadapan.

“ Asal diam? Selalunya, asal saya cakap saja, ada saja yang nak dibangkangkan.” Nazim menyoal. Langkahan kakinya semakin diperlajukan supaya dia mampu untuk berjalan seiringan bersama Naila.

“ Saya diam pun salah, saya cakap banyak pun salah. Awak nak saya cakap apa? Dah memang betul pun cakap awak. Bas tu untuk orang awam. Bukan untuk saya seorang.”

“ Akhirnya awak faham juga.” Langkah Naila serta-merta terhenti. Wajah lelaki di hadapannya dipandang dengan pandangan hairan.

“ Faham apa?” Naila menyoal.

“ Faham dengan apa yang saya dah sampaikan. Akhirnya awak akur juga dengan kata-kata saya.” Naila mengeluh.

“ Saya rasa otak awak ni ada masalah. Saya cadangkan lebih baik awak pergi jumpa doktor gila esok. Sebab saya tak nak, saya ikut jadi gila macam awak juga.” Naila meneruskan langkahannya. Hanya beberapa meter saja untuk mereka tiba di rumah.

“ Kesian awak kan? Saya dah kecewakan awak. Otak saya masih berfungsi dengan eloknya. Bahkan lebih baik daripada awak. Bukannya otak tiga suku macam awak.” Naila mencebik. Kemarahannya cuba ditahan. Nazim dipandang tajam.

“ Awak ni kan. Mulut sama busuk la dengan kaki!” Nazim tersenyum.

“ Awak pernah bau kaki saya ke? Ah, saya tahu. Awak pernah curi-curi bau kan?” Naila menarik nafas dalam-dalam. Bibirnya diketap penuh geram. Langkahannya terhenti. Beg galas yang disilangkan di tubuhnya dikeluarkan. Sepantas mungkin, beg di tangannya dihayun ke tubuh Nazim. Namun nasib tidak menyebelahinya apabila hayunan yang dilakukannya sempat dielak lelaki itu. Nazim ketawa. Ketawa mengejek. Kemarahan Naila semakin meningkat.

“ Lebih baik awak jauhkan diri awak dari saya!! Haishh! Tak habis-habis nak sakitkan hati saya!!” Beg di tangannya disilangkan semula ke tubuhnya. Langkahannya diteruskan semula. Nazim hanya tersenyum. Langkah kaki Naila diekori dari belakang walaupun jarak antara mereka tidak begitu jauh. Rumah teres dua tingkat yang sudah pun tersergam di hadapannya dimasuki. Kasut yang dipakainya ditanggalkan.

“ Assalamualaikum.” Naila memberi salam. Riak wajahnya serta-merta berubah. Dua orang lelaki serta seorang perempuan yang cukup dikenalinya dipandang satu demi satu. Nazim ikut terhenti. Arah pandangan Naila turut menjadi arah pandangannya. Riak wajahnya turut berubah. Lima manusia yang berada di ruang tamu hanya mengarahkan pandangan mereka pada Naila. Nabil melangkah menghampiri Naila. Naila hanya terpaku.

Mengapa ayah kandungnya berada di sini? Tidak mungkin. Tidak mungkin segala-galanya telah diketahui. Tidak mungkin secepat ini. Mengapa dia harus berhadapan dengan lelaki ini pada masa yang tidak sesuai? Bukan pada masa ini. Selama ini, identiti lelaki itu hanya dikenali sebagai gurunya. Bukan sebagai bapa kandungnya.

“ Naila.” Nabil bersuara. Tetapi pandangan Naila tidak berubah. Hanya tertacap pada seorang lelaki yang pada masa ini merupakan bapa kandungnya.

“ Segala-galanya dah terungkai. Semua orang dah tahu perkara sebenar. Mungkin dah sampai masanya untuk kau selesaikan perkara ni.” Naila hanya berdiam diri. Begitu juga Nazim. Masing-masing terdiam buat sementara.

“ Berikan aku masa. Aku masih tak dapat terima semua ni. Tolong, Bil. Berikan aku masa.” Air matanya mula bertakung. Naila melangkah laju meninggalkan rumah. Selama ini dia di bawah jagaan Tuan Syazman. Sudah menjangkau tujuh belas tahun. Mampukah dia menerima secara mendadak bahwa bukan Tuan Syazman ayah kandungnya. Sebaliknya Cikgu Yahya. Seorang guru yang telah pun dikenali selama lima tahun. Namun guru itu seolah-olah memusuhinya. Dalam sekelip mata sahaja, guru itu yang menjadi ayahnya. Mengapa? Mengapa ini yang harus terjadi?

“ Naila!” Nabil memanggil namun tiada sebarang balasan dari gadis itu. Dia ikut melangkah. Mengekori setiap langkah Naila dari belakang. Nazim hanya bertindak sebagai pemerhati. Kakinya seolah-olah kaku. Hatinya sakit.

Tangan kanan Naila ditarik. Akibat daripada itu, tubuh Naila terdorong ke belakang. Masing-masing saling berpandangan. Gadis itu sudah pun mengalirkan air mata. Wajah Naila dipandang tepat.

“ Kenapa dengan kau ni?? Bersusah-payah Cikgu Yahya datang sini semata-mata nak berjumpa dengan kau. Tapi, macam ni yang kau buat??” Nabil meninggikan suara.

“ Kenapa kau buat aku macam ni? Tak bolehkah kau beri aku masa untuk selesaikan masalah ni sendiri. Aku tahu apa yang patut aku buat.”

“ Kau kata kau tahu apa yang kau buat?? Sampai bila kau nak mengelak?? Sampai bila kau nak menghukum seorang manusia yang juga merupakan seorang ayah bagi diri kau??” Nabil membalas.

“ Aku tak pernah mengelak dalam hal ni!”

“ Kalau kau tak mengelak, kenapa kau larikan diri?? Macam tu kau kata kau nak selesaikan sendiri??”

“ Sebab aku perlukan masa! Kau langsung tak faham! Kau tak ada hak nak campur urusan aku!”

“ Memang aku tak ada hak! Tapi disebabkan kau kawan aku, itu yang membuatkan aku terpaksa ikut campur!”

“ Stop it! Aku tahu apa yang aku buat! Kau tak faham apa yang aku rasa, Bil. Selama tujuh belas tahun aku hidup, selama tujuh belas tahun aku bernyawa, Tuan Syazman yang jaga aku. Bukan dia! Kau cuba beritahu aku, macam mana aku nak hidup dengan dia sedangkan sudah tujuh belas tahun aku menumpang kasih bawah jagaan Tuan Syazman. Orang yang selama ni aku sangka ayah kandung aku!” Nabil terdiam.

Shazia menghampiri Nazim yang masih lagi terpaku. Dia tahu apa yang sedang dirasakan lelaki itu. Dia sendiri tahu, lelaki di hadapannya kini mempunyai niat yang suci untuk memiliki Naila. Walaupun Naila masih belum mengetahui hal ini, baginya lebih baik jika lelaki ini yang meluahkan segala-galanya.

“ Pergilah.” Shazia bersuara. Nazim tersentak. Wajah Shazia dipandang.

“ Pergi mana?” Nabil menyoal. Dia sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan gadis ini.

“ Pergi mana lagi. Pergi kejar Naila lah.”

“ Nabil dah ada.” Nazim cuba untuk melangkah masuk. Namun langkahannya dihalang.

“ Kau nak berputus asa macam tu saja? Kau suka kalau orang yang bersama Naila nanti bukan kau, tapi Nabil?”

“ Kalau Nabil yang dia pilih, apa yang aku boleh buat?”

“ Kenapa dengan kau ni, Zim? Mudah benar kau mengalah. Kalau kau tak bertindak, kau takkan boleh dapatkan dia. Dia perlukan kau sekarang. Kau lebih memahami dia. Pergilah.” Wajah Shazia dipandang. Shazia mengangguk bersama senyuman. Tanpa berlengah, Nazim melangkah laju.

“ Aku masih tak dapat terima hakikat ni, Bil. Dalam sekelip mata saja, aku hilang segala-galanya. Aku pasti akan akui dia. Tapi bukan sekarang. Bukan sekarang, Bil.” Air mata semakin laju mengalir. Tubuh Naila ditarik dalam pelukan.

“ Maafkan aku. Kau tak hilang segala-galanya, Nai. Aku. Aku masih ada bersama kau. Walau apapun yang terjadi, aku tetap bersama kau.” Naila hanya mengalirkan air mata. Tiada sepatah kata yang lahir dari bibir.

Nazim terpaku. Matanya hanya tertacap pada satu arah. Hatinya semakin sakit. Mengapa di saat kesedihan, lelaki itu yang bersama Naila? Benarkah apa yang dikatakan Shazia? Nabil turut menyukai Naila? ‘Kalau kau tak bertindak, kau takkan boleh dapatkan dia. Dia perlukan kau sekarang. Kau lebih memahami dia.’ Kata-kata Shazia berkumandang di telinga. Dia melangkah laju menghampiri mereka berdua. Tangan Naila ditarik dari pelukan Nabil. Masing-masing tersentak.

“ Aku nak cakap sesuatu dengan dia.” Nazim bersuara. Tangan Naila ditarik. Namun langkahannya terhenti apabila, tangan kanan Naila terasa seperti ditarik seseorang. Masa seolah-olah lambat berlalu dan berhenti buat seketika. Nazim dan Nabil saling bertentang mata. Naila hanya berdiri kaku di tengah. Kedua-dua tangannya sudah pun dipegang erat dua orang lelaki. Suasana kelihatan tegang.

“ Lepaskan dia. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk kau berbincang dengan dia.” Nabil bersuara tegas. Sebaliknya Nazim hanya tersenyum kecil.

“ Bukan masa yang sesuai juga untuk kau paksa dia berdepan dengan Cikgu Yahya.” Nazim membalas. Naila memandang Nabil.

“ Bil, tak apa. Lepaskan aku.” Riak wajah Nabil serta-merta berubah. Wajah Naila dipandang. Hatinya terasa berat. Tangan Naila dilepaskan perlahan-lahan. Pada saat ini, masa seolah-olah begitu sukar untuk bergerak. Naila melangkah pergi. Begitu juga Nazim. Nabil hanya mampu untuk berdiri kaku. Hatinya seolah-olah ditusuk. Pemergian Naila hanya dipandang lemah. Dia seolah-olah dipinggir jauh. Dipinggir jauh dari terus berada di hati gadis itu. Adakah ini bermakna bukan dia yang dipilih Naila?

2 ulasan:

penulis berkata...

assalamualaikum.
new n3[just comment]

keSENGALan teserlah.. berkata...

heh..jgnla begitu..
hurrmm..tape2..nabil,kasi nazim chance dulu..
lgipon dye sktkan..
huhu..
*jahatnye aku*
haha..smbung2..