3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Jumaat, 18 Disember 2009

3+1=29

Naila melangkah naik ke bilik Shazia dengan diekori Nazim dari belakang. Pintu bilik Shazia diketuk berulang-ulang kali disertai panggilan nama Shazia. Namun tiada sebarang suara yang kedengaran dari dalam bilik.

“ Bagi saya kunci tu.” Nazim menyuakan tangannya untuk meminta kunci yang ada pada tangan Naila. Kunci pendua bilik Shazia dihulurkan pada Nazim. Kunci yang berada di tangannya kini dimasukkan ke dalam ruang yang tersedia sekali gus memulas tombol pintu. Pintu bilik Shazia ditolak masuk ke dalam.

Kini dua pasang mata tertacap pada sekujur tubuh yang masih terbaring di kamar. Nazim melangkah masuk ke bilik Shazia dengan diekori Naila dari belakang. Naila melabuhkan punggung di birai katil sebaliknya Nazim hanya berdiri di sisi Naila.

“ Shazia.” Naila memanggil lembut.

“ Shazia.” Disebabkan masih tiada reaksi yang ditunjukkan dari Shazia, nama Shazia dipanggil berulang-ulang kali. Namun masih seperti tadi, Shazia tidak menunjukkan sebarang reaksi mahupun tindak balas.

“ Kenapa dengan dia ni? Shaz!” Tubuh Shazia digoncang agak kuat. Tiada sebarang tenaga dari tubuh Shazia malah tubuhnya seratus peratus terkulai lemah. Naila mula kelihatan cemas. Wajahnya mula berubah. Nazim merapatkan tangannya di dahi Shazia. Seketika kemudian, pandangannya beralih pada Naila.

“ Demam dia dah melarat teruk.” Nazim bersuara. Walaupun dia juga agak risau dengan keadaan Shazia, tetapi dia harus bertindak tenang. Satu-satunya cara hanya menghantar Shazia ke hospital.

“ Naila. Bagi tahu Bibik. Kita hantar Shazia ke hospital.” Nazim melangkah mendekati Shazia. Tubuh Shazia didukung.

“ Tapi Shaz…”

“ Awak masih nak fikirkan semua tu? Kesihatan Shazia lebih penting! Dia takkan sembuh kalau tak dapatkan rawatan!” Nazim pantas memotong kata-kata Naila. Dia tahu apa yang mahu diperkatakan Naila sebentar tadi. Naila terdiam.

“ Awak tunggu apa lagi? Bagi tahu Bibik cepat!” Suaranya ditinggikan sedikit. Naila sedikit tersentak. Tanpa membuang masa, Naila melangkah laju menuruni anak tangga ke ruang dapur.

*****

Wajah Shazia dipandang sayu. Tangan kiri Shazia digenggam erat. Air mata Naila mula mengalir perlahan menuruni pipi. Nazim hanya bertindak sebagai permerhati.

Shah berlari masuk ke perkarangan hospital. Hatinya mula berasa cemas. Matanya meliar mencari nombor bilik yang diberitahu Naila melalui telefon sebentar tadi.

“ Naila!” Jantungnya semakin kencang berdegup akibat dari kepenatannya berlari. Wajah Naila dipandang sekilas sebelum pandangannya beralih pada sekujur tubuh yang kelihatan tidak bermaya di sisi Naila.

“ Shah!” Naila pantas bangun. Kakinya segera melangkah laju ke arah Shah. Seperti tadi, Nazim hanya bertindak sebagai pemerhati.

“ Shazia macam mana? Apa kata doktor?”

“ Badan dia panas sangat, Shah. Dia kena tahan kat sini seminggu lagi. Aku…aku dah tak tahu nak buat apa lagi.” Naila merintih. Air matanya semakin laju mengalir.

“ Nai. Kau kena kuat. Kau tak boleh jatuh disebabkan ketiadaan Faiqa.” Rambut Naila dibelai lembut. Dia faham betapa tertekannya keadaan Naila sekarang ini. Apatah lagi apabila Shazia seolah-olah sudah berputus asa disebabkan pemergian Faiqa. Shah melangkah menghampiri katil Shazia. Punggungnya dilabuhkan di sisi Shazia. Wajah Shazia ditatap sekilas sebelum pandangannya beralih pada Naila.

“ Nai.” Shah memanggil perlahan. Naila mengangkat kepala.

“ Aku dah call Nabil. Dia dalam perjalanan datang sini.” Naila hanya mengangguk mendengar apa yang dikatakan Shah. Tangisannya sedaya upaya ditahan dari terus-terusan mengalir.

“ Shah. Aku…aku nak beli air kejap.” Naila cuba berbohong. Tetapi kata-kata Naila langsung tidak menimbulkan rasa sangsi di hati Shah. Shah hanya sekadar mengangguk.

“ Kau nak pesan apa-apa tak?” Naila menyoal. Sekali lagi Shah hanya menggeleng. Naila melangkah meninggalkan wad yang diduduki Shazia. Disebabkan Shazia merupakan anak kepada pemilik hospital itu, jadi bilik khas diberikan untuk keselesaan Shazia walaupun Shazia hanya memerlukan masa beberapa hari saja untuk berehat.

Naila melabuhkan punggung di kerusi. Perkarangan hospital yang kelihatan agak samar-samar menjadi tempat untuk dia melepaskan kesedihan. Malam yang semakin gelap menyukarkan orang lain untuk mengetahui dia masih mengalirkan air mata sekarang ini.

“ Faiqa. Kau tahu tak apa yang dah jadi sejak kau pergi Fai? Semuanya dah tak macam dulu. Dah tak ada keceriaan dalam persahabatan kita Fai.” Naila merintih sendiri. Semakin laju air matanya mengalir. Dadanya dipegang erat. Semakin lama, dadanya terasa semakin sesak menahan kesakitan yang berpunca dari hati.

“ Tak guna biar air mata mengalir macam tu saja.” Munculnya suara dari sisinya membuatkan Naila tersentak. Nazim yang sudah pun melabuhkan punggung di sisinya dipandang walaupun linangan air mata masih lagi tidak berhenti mengalir. Kata-kata Nazim langsung tidak dibalas.

“ Semua ni takkan berubah kalau awak tak leraikan.” Sekali lagi Nazim bersuara.

“ Kenapa mesti saya?? Kenapa saya yang perlu leraikan semua ni??”

“ Sebab awak saja yang boleh diharapkan sekarang. Awak saja yang masih kuat hadapi semua ni.” Nazim membalas.

“ Tak! Siapa kata saya masih kuat hadapi semua ni? Saya dah tak ada kemampuan untuk berdiri depan Shazia lagi. Saya dah tak mampu berdepan dengan Faruq. Cuma bayangan Faiqa yang akan muncul bila saya pandang diorang.” Air mata Naila semakin laju mengalir. Benar. Dia tidak sekuat yang disangka. Semuanya hanya kepura-puraan demi memberi semangat pada sahabat baiknya sendiri. Tapi tiada siapa yang tahu bagaimana dia perlu menghadapi semua ini.

“ Saya betul-betul dah tak tahu nak buat apa lagi. Macam mana saya nak kembalikan semangat Shazia? Sedangkan saya sendiri dah tewas dalam situasi ni. Saya…saya tak sanggup tengok Shazia macam tu!” Naila merintih. Tangannya dirapatkan ke dada. Semakin lama semakin laju air mata yang bercucuran keluar. Nazim hanya terdiam. Wajah gadis yang masih dalam tangisan dipandang terus-terusan.

Kini baru dia tahu. Gadis ini menanggung beban yang lebih berat berbanding Shazia mahupun Faruq. Malah Naila saja yang masih mampu untuk mengharungi semua ini. Walaupun secara peribadinya, gadis ini yang paling lemah untuk melalui segalanya. ‘Maafkan saya, Naila. Pada mulanya saya pun menyangka awak seorang yang tabah. Tapi tak sangka, tanggapan saya meleset sama sekali. Sebaliknya awak hanya berpura-pura tabah di hadapan mereka semua.’

Nazim merapatkan tubuhnya di sisi Naila. Kepala Naila ditarik ke bahunya. Disebabkan kerisauan dan tekanan yang dialami, Naila hanya mampu mengalirkan air mata tanpa henti.

“ Maaf. Saya cuma dapat pinjamkan bahu saya pada awak. Saya sendiri tak mampu nak bantu awak.” Nazim bersuara walaupun dia tahu situasi Naila sekarang akan membuatkan gadis itu membisu seribu kata. Entah kenapa, tangisan Naila serta-merta membuatkan hatinya turut berasa sakit. Air mata yang mengalir dari pipi Naila seakan-akan memusnahkan segala pertengkarannya dengan Naila dahulu.

Naila hanya mampu untuk menangis tanpa henti. Walaupun dia sedar siapakah yang berada di sisinya sekarang. Siapakah lelaki yang sedang meminjamkan bahu untuk dia melepaskan segala tekanan. Dia tahu lelaki yang dianggap musuh inilah yang bertindak sebagai ubat penenang jiwa buatnya sekarang.

Kakinya serta-merta terkaku. Matanya langsung tidak diarahkan ke arah lain. Hanya satu arah saja yang dipandang. Tangisan Naila yang memperlihatkan tekanan yang dialami mula membuatkan dia semakin terkaku. Situasi yang berada di hadapannya sekarang mula menimbulkan pelbagai persoalan. Mengapa Nazim yang berada di sisi Naila sekarang? Dan kenapa dia seolah-olah bertindak untuk menenangkan hati Naila? Bukankah mereka tidak pernah bersependapat? Bukankah mereka sentiasa bertikam lidah dan tidak menyukai antara satu sama lain?

Nabil melangkah pergi. Walaupun pelbagai persoalan di fikirannya sekarang, namun persoalan itu hanya dibiarkan saja tidak berjawab. Terasa sesuatu yang lain di hatinya. Namun dia sendiri tidak tahu apakah itu. Apa yang dia tahu, perasaan itu kurang menyenangkan. Seolah-olah dia seperti bakal kehilangan sesuatu yang amat bernilai baginya. Tapi apakah itu?

*****

Nabil melangkah masuk ke wad Shazia. Fikirannya masih tidak dapat ditenangkan. Bayangan Naila bersama Nazim sentiasa muncul di fikiran. Entah mengapa. Dia sendiri tidak tahu.

“ Bil.” Shah memanggil. Namun panggilan langsung tidak disahut. Nabil seolah-olah sedang berfikir. Panggilannya langsung tidak sedari. Shah mengangkat punggung dari kerusi yang berada di sebelah katil Shazia. Bahu Nabil ditepuk perlahan.

“ Nabil!” Lamunannya serta-merta berkecai. Wajah Shah menjadi pengganti di layar matanya sekarang.

“ Apa?” Nabil menyoal. Riak wajahnya serta-merta diubah supaya situasinya kini tidak dipandang pelik pada Shah.

“ Apa kena dengan kau ni Bil? Semacam je aku tengok.” Nabil hanya tersenyum. Kepalanya sengaja digaru walaupun langsung tidak terasa gatal.

“ Dah jumpa Naila?”

“ Ha? Naila? Erm, tak jumpa pun.” Pantas kepalanya digeleng laju. Pembohongannya langsung tidak diketahui Shah.

“ Mana pulak dia pergi? Tadi kata cuma nak beli air. Buat air ke beli air ni?”

“ Kau cari Naila kenapa?” Nabil menyoal.

“ Aku nak minta dia tolong jaga Shaz. Parents aku tak tahu yang aku datang sini.” Nabil terdiam seketika sebelum dia kembali memandang Shah.

“ Biar aku jaga Shaz hari ni.” Nabil bersuara. Bahu Shah ditepuk perlahan. Serta-merta Shah memandang wajah lelaki itu.

“ Betul ke? Tak apa ke ni? Tak susahkan kau?”

“ Kau ni macam dah lama tak rasa penumbuk aku kan. Kau ingat Shaz kawan kau sorang ke?” Serius Nabil menuturkan kata-kata. Shah tersenyum kerna dia tahu apa yang dimaksudkan Nabil sebentar tadi.

“ Thanks bro. Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, jangan lupa call aku.” Bahu Nabil ditepuk perlahan. Nabil sekadar mengangguk. Shah segera melangkah meninggalkan bilik wad yang diduduki Shazia. Wajah Shazia sempat dipandang sebelum dia melangkah pergi. ‘ Kau mesti sembuh secepat mungkin Shaz.’

Nabil melangkah menghampiri katil Shazia. Punggungnya dilabuhkan di sisi Shazia. Wajah Shazia dipandang seketika sebelum tangannya diletakkan di dahi Shazia. Kehangatan dahi Shazia kuat terasa. Seolah-olah keadaan Shazia sebelum dihantar ke hospital tidak menunjukkan sebarang perubahan. Tangannya dialihkan semula dari dahi Shazia. Sekali lagi wajah Shazia dipandang.

“ Adakah kita ditakdirkan berenam? Tak. Mungkin bertujuh sekarang. Walaupun hanya seorang dari kita yang terpisah, persahabatan dah kucar kacir. Apa yang patut aku buat?” Nabil menyoal Shazia walaupun dia tahu dia seolah-olah bercakap seorang diri.

Naila melangkah masuk ke bilik wad. Ketenangan kini berjaya diraih dan dia tahu orang yang patut diucap terima kasih adalah Nazim. Wajahnya kembali tenang. Manakala Nazim hanya mengekori dari belakang. Kewujudan Nabil di sisi Shazia sedikit sebanyak memeranjatkan Naila.

“ Nabil.” Nabil segera mengalih pandangan ke arah Naila. Wajah Naila dipandang sekali sebelum pandangannya dikalih pada Nazim.

“ Dah lama sampai?”

“ Baru saja.” Nabil menjawab. Kepalanya kembali dipalingkan dari terus memandang Naila. Naila melangkah mendekati Nabil. Beg galasnya yang diletak di atas meja kecil di sebelah katil Shazia dicapai.

“ Bil.” Nabil mengangkat kepala.

“ Aku balik dulu. Lagipun Nazim kata dia nak jaga Shaz hari ni.” Wajah Nazim dipandang sebelum pandangannya beralih pada Nabil semula.

“ Kau balik dengan apa?”

“ Aku hantar dia balik.” Nazim pantas memintas. Pada masa yang sama, pandangan Nabil segera beralih pada Nazim.

“ Kau naik apa datang sini?” Nabil menyoal. Dia tahu, soalan yang diajukannya pasti kurang disenangi Nazim.

“ Motor.”

“ Kalau macam tu, biar aku hantar Naila.” Nabil segera bangun.

“ Aku yang bawa dia datang sini. Jadi sepatutnya aku kena bawa dia balik juga.” Nazim membantah. Naila hanya bertindak sebagai pemerhati. Perbahasan di antara Nazim dan Nabil langsung tidak menimbulkan sebarang syak wasangka di hatinya.

“ Naila tak biasa naik motor dengan orang lain.” Serius Nabil menjawab. Pandangan mata Nazim dan Nabil mula bersatu.

“ Saya balik dengan Nabil lah. Lagipun awak perlu jaga Shazia kan?” Kata putus dari Naila membuatkan masing-masing terdiam. Nazim sekadar mengangguk. Naila melangkah menghampiri Shazia.

“ Shaz. Aku balik dulu. Aku harap kau sedar secepat mungkin.” Rambut Shazia diusap lembut. Hatinya kembali sebak. Dengan pantas, Naila melangkah keluar dari bilik wad. Nabil turut melangkah keluar. Lirikan matanya sempat bertaut pada Nazim.

*****

Motorsikal milik Nabil ditunggang laju. Walaupun begitu, tidak timbul pula rasa ketakutan di hati Naila. Pinggang Nabil dipeluk erat. Tiupan angin yang agak kuat membuatkan rambutnya turut dibuai. Naila menyandar wajahnya pada belakang badan Nabil. Cahaya-cahaya gemerlapan yang indah terpasang hanya dipandang tanpa minat. Air matanya mula mengalir apabila bayangan Shazia dan Faiqa mula datang silih berganti.

Kelajuan motorsikalnya semakin ditingkatkan. Walaupun tangisan Naila langsung tidak kedengaran, tetapi dia tahu Naila sedang mengalirkan air mata kini. Bukan sehari dua dia mengenali Naila. Tetapi sudah berbelas tahun dia digelar sahabat pada Naila. Segala tindak tanduk, perasaan serta masalah yang dihadapi Naila pasti dia tahu. Tetapi sebaliknya bagi Naila. Perasaan, masalah dan tindak tanduknya langsung tidak dapat dihidu Naila. Mungkin kerana sifatnya sukar difahami.

Nabil memberhentikan motorsikalnya tepat di hadapan rumah Naila. Helmetnya dibuka. Tetapi Naila langsung tidak bergerak apatah lagi melangkah turun dari motorsikalnya. Pinggangnya masih lagi dipeluk erat. Kepala Naila masih lagi disandarkan di belakang tubuhnya. Hanya yang berbeza, suara tangisan Naila sudah mula dapat didengari. Nabil hanya berdiam diri. Mungkin segala masalah Naila masih belum dapat berakhir. Hanya masa. Masa saja dapat mengakhiri segala-galanya.

Nabil hanya membisu seribu kata. Biarlah Naila menangis sepuas-puasnya. Sekurang-kurangnya perasaannya lebih berasa tenang apabila kesedihannya dapat diluahkan. Walaupun dia sendiri tidak tahu betapa sedih dan beratnya tekanan yang terpaksa ditanggung Naila, tapi dia tahu Naila lebih mementingkan sahabat-sahabatnya dari diri sendiri.

Hampir 20 minit mereka berada di hadapan rumah. Semakin lama tangisan Naila kedengaran semakin mengendur. Dan akhirnya tiada lagi kedengaran tangisan Naila. Namun pinggang Nabil masih lagi dipeluknya walaupun pegangannya sudah pun terurai. Kepalanya masih lagi disandar pada belakang Nabil walaupun dia kini sudah pun terlena. Nabil memusingkan sedikit kepalanya ke belakang. Seperti tadi, tiada kedengaran apa-apa suara dari Naila.

“ Nai.” Nabil memanggil. Timbul perasaan hairan di hatinya. Kenapa tiba-tiba Naila membisu? Nabil terdiam sejenak. Kepalanya kembali dipusing memandang ke hadapan.

“ Entah-entah dia…” Sepantas kata-kata ditutur, sepantas itu juga kepalanya dipusing ke belakang buat kali kedua.

“ Haishh! Tidur ke dia ni? Naila!” Tiada jawapan. Nabil bangun dan pada masa yang sama bahu Naila dipegang supaya tubuh gadis itu tidak tersungkur ke hadapan. Topi kaledar yang masih berada di kepala Naila dibuka. Wajah Naila dipandang. Memang benar tekaannya. Gadis di hadapannya kini dimana-mana saja pun dia boleh melelapkan mata. Nabil membongkokkan tubuhnya seraya tubuh Naila diangkat ke belakangnya. Kakinya segera melangkah masuk ke perkarangan rumah Naila.

Khai kelihatan terkejut. Naila yang masih berada di gendongan Nabil dipandang sekilas sebelum pandangannya beralih pada Nabil. Wajah Naila yang agak lesu membuatkan dia yakin bahawa pasti Naila menangisi pemergian Faiqa lagi.

“ Kenapa dengan Naila?” Khai pantas menyoal. Wajah Nabil dipandang tepat.

“ Dia tertidur, Abang Khai. Dia…” Kata-kata Nabil terhenti.

“ Tak apa lah. Kamu bawa hantar dia masuk bilik dulu.” Khai segera membalas. Dia tahu apa yang mahu diperkatakan Nabil sebentar tadi. Disebabkan dia terlalu mengenali Nabil malah dia tahu Nabil juga merupakan sahabat baik Naila, seluruh kepercayaan untuk menjaga Naila semasa bersamanya diserahkan sepenuhnya.

Nabil mengangguk. Tanpa membalas kata-kata Khai, dia segera melangkah menuju ke bilik Naila. Pintu bilik Naila dibuka dan pada masa yang sama lampu bilik turut dibuka. Tubuh Naila dibaringkan perlahan di atas katil. Selimut yang terlipat kemas dikembangkan supaya mampu untuk menutup seluruh tubuh Naila. Tubuh Naila diselimuti sehingga ke paras bahu. Wajah Naila dipandang lama.

“ Bodoh. Kenapa nak susahkan diri sendiri untuk lihat kebahagiaan orang lain?” Rambut Naila diusap lembut.

“ Sedangkan kebahagiaan sendiri masih belum tercapai. Naila, jangan susahkan diri sendiri lagi. Bukan kau yang perlu buat semua ni. Kenapa kau nak berpura-pura tabah sedangkan kau sendiri tahu yang diri kau tak setabah orang lain?”

“ Kenapa ketabahan kau musnah bila kau berhadapan dengan….” Kata-kata Nabil terhenti. Matanya dipejamkan seketika dan pada masa yang sama dia mengeluh. Wajah Naila dipandang.

“ Maafkan aku Naila. Maafkan aku.” Kata-kata terakhir yang diucapkan Nabil sebelum dia melangkah keluar dari bilik Naila. Lampu bilik Naila ditutup sekali gus pintu bilik turut ditutup rapat.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

smbg cepat..tak sabar2...

Tanpa Nama berkata...

cpat2 smbg...

Tanpa Nama berkata...

nak naila ngan nabil...
ta sabo nak bce slnjutnye....

Nur Mazliana berkata...

nx nabil nan naila bkn naila nan nazim