3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Selasa, 8 Mac 2011

cinta sunbae 31

“ Andai awak tahu, perasaan saya pada awak, Isya. Dan andai awak turut ada perasaan yang sama pada saya… hidup saya akan jadi cukup bermakna.” Khairul mengakhiri kata-katanya. Dia tahu Isya berada di luar kesedaran untuk mendengari kata-katanya. Disebabkan itulah da mengungkap ayat-ayat tersebut. Walaupun Isya tidak pernah memberi sebarang komen mengenai perasaannya pada Hakimi, tetapi dia jelas dan tahu perasaan sebenar gadis itu pada Hakimi.

Hampir tiga puluh minit berlalu. Hanya beberapa langkah saja untuk sampai tepat di hadapan muka pintu rumah Hakimi. Setapak demi setapak dia melangkah. Sampai saja di muka pintu, loceng dibunyikan. Selang beberapa minit, pintu rumah dibuka dari dalam. Hakimi tersentak secara tiba-tiba. Isya yang masih lagi tidur dipandang sekilas sebelum pandangannya beralih pada Khairul. Pandangan mereka bertaut. Pandangan yang mempunyai satu makna yang mungkin hanya difahami oleh mereka berdua sahaja.

“ Kenapa dia ada dengan kau?” Riak wajah Hakimi lekas berubah. Secara terang-terangan, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan cemburu yang semakin membuak-buak dengan bijak. Khairul tersenyum sinis.

“ Kau nak aku jelaskan depan pintu ni ke? Nak aku gendong isteri kau lama-lama?” Satu pukulan yang hebat. Hakimi tersentak. Wajahnya kian memerah. Tanpa sepatah kata, dia menginjakkan tubuhnya ke tepi. Sengaja memberi ruang pada Khairul supaya masuk ke dalam rumahnya. Tanpa sepatah kata juga, Khairul melangkah masuk seraya menapak ke bilik Isya. Tubuh gadis itu dibaringkan di atas katil. Hakimi menanti di hadapan pintu bilik. Tidak mungkin sama sekali dia membiarkan Khairul berdua-duaan dengan isterinya sendiri!

Selang beberapa minit kemudian, Khairul menapak keluar dari bilik. Wajahnya kelihatan tenang. Namun sebaliknya yang terjadi pada Hakimi. Riak wajahnya jelas kelihatan risau. Malah kehadiran Khairul di situ membuatkan hatinya kian resah. Perasaan resah yang bercampur cemburu.

“ Aku… aku terserempak dengan dia tadi.” Khairul berbohong.

“ Terserempak? Terserempak sampai dia tertidur?” Sinis Hakimi menutur kata.

“ Ada sesuatu yang aku perlu cakap dengan kau. Tapi aku rasa.. sini tak sesuai. Kita pergi tempat lain.” Hakimi terdiam. Membantah pun tidak.

*****

Padang luas terbentang. Sunyi sepi dan gelap gelita. Angin pula semakin dingin membuai seluruh tubuh. Hakimi dan Khairul masih melangkah di tengah-tengah padang. Sampai saja di satu tempat, Hakimi berhenti melangkah. Matanya tepat memandang ke arah Khairul. Khairul pula kelihatan tenang.

“ Kita cakap saja kat sini. Apa yang kau nak cakap?” Hakimi bersuara. Khairul menundukkan wajah seketika. Selang beberapa saat, dia mengangkat wajah semula. Bibirnya terukir senyuman sinis. Tanpa sepatah kata, tangan kanannya digenggam lalu dilepaskan satu tumbukan kuat pada wajah Hakimi. Serta-merta Hakimi tersungkur. Wajahnya dipegang. Walaupun agak terperanjat, namun dia masih mampu untuk tersenyum.

“ Itu untuk Isya.” Khairul mendekati Hakimi. Baju yang dipakai lelaki itu dicekak pada bahagian leher. Satu lagi tumbukan dilepaskan.

“ Dan itu… habuan kau mainkan perasaan dia.” Suasana kian tegang.

“ Kau pernah cakap, kau tak kisah biarpun apa yang terjadi antara aku dengan dia. So, kenapa kau banyak soal bila aku keluar dengan dia? Makan boleh sebarang makan, tapi cakap jangan sebarang cakap!! Kau dengar baik-baik! Aku… akan rampas Isya dari kau!!” Khairul meninggikan suara.

Hakimi tersenyum sinis. Dia bangun. Bangun bersama semangat yang kentar. Seperti Khairul, kini gilirannya melepaskan tumbukan pada wajah lelaki itu tanpa sepatah kata terlebih dahulu. Tindakan yang langsung tidak diduga itu menyebabkan Khairul terundur ke belakang. Bibirnya dipegang. Darah yang mengalir keluar dikesat kasar. Mata mereka bertaut tajam.

“ Memang! Memang aku pernah cakap aku tak kisah. Tapi, aku takkan berdiam diri bila orang yang nak rampas Isya dari aku adalah kau! Aku… akan lindungi dia sedaya aku. Dan aku.. takkan sekali-kali serahkan dia pada kau!” Jujur Hakimi bersuara. Khairul sedikit tersentak. Ini bermakna, Isya bukan bertepuk sebelah tangan. Marahnya semakin membara. Khairul melangkah ke hadapan.

Tumbukan Hakimi dibalas. Aksi tumbuk-menumbuk mula berlaku. Seorang pun tidak mahu mengalah. Tiga puluh minit kemudian, masing-masing tertiarap lemah di atas rumput. Nafas mereka berombak kencang. Pandangan mata mereka masing-masing memandang ke langit. Hanya sebutir dua bintang saja yang menghias indah.

“ Kau… kau cintakan dia?” Tiba-tiba Khairul bersuara.

“ Bukan urusan kau.” Hakimi menjawab. Pandangan mereka masih lagi pada tempat yang sama.

“ Tapi.. aku cintakan dia.” Hakimi tersentak. Pantas dia memandang Khairul. Wajahnya berubah. Hatinya semakin berdegup kencang.

“ Aku.. betul-betul cintakan dia. Dia.. perempuan pertama yang mampu buat aku menangis, marah, gembira pada masa yang sama. Aku takkan jumpa perempuan macam dia lagi, Kim.” Hakimi hanya berdiam diri. Hatinya bertambah sakit.

“ Tak boleh ke.. kau lepaskan dia daripada kau terus sakiti hati dia?” Hakimi berpaling wajah.

“ Tak… aku tak dapat lepaskan dia.. walaupun aku mati.” Khairul mengalih pandang pada Hakimi.

*****

Pintu bilik Isya dibuka. Hakimi menapak masuk dengan langkah yang perlahan. Isya kelihatan sedang nyenyak tidur. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di birai katil. Tubuh gadis itu diselimuti sehingga ke paras bahu. Wajah Isya ditatap lama. Wajah yang kelihatan tenang disebalik penderitaan yang langsung tidak pernah terjangka dek akal.

“ Minta maaf. Betul-betul… minta maaf. Aku… sakiti hati kau ke selama ni?” Wajah Hakimi berubah. Air matanya mula bertakung. Hanya menunggu masa untuk jatuh.

Wajah ‘isteri’nya dibelai lembut. Bibirnya dirapatkan ke dahi Isya lalu satu kucupan diberikan. Dia melangkah keluar dari bilik ‘isteri’nya lalu melangkah masuk pula ke biliknya sendiri. Pintu bilik ditutup. Tubuhnya disandar pada pintu. Serta-merta dia terduduk di situ. Air matanya mengalir laju. Sukar untuk dibayangkan perasaannya ketika ini. Luka di hatinya semakin lama semakin membesar. Adakah dia benar-benar menyebabkan Isya turut menderita? Andai benar apa yang dikatakan Khairul, haruskah dia melepaskan Isya dari hidupnya?

*****

“ Kita nak pergi mana?” Isya memandang Hakimi. Pandangan Hakimi tidak beralih sebaliknya terus menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya. Berita perpindahan mereka berdua ke sebuah apartment masih belum diketahui Khairul.

“ Rumah baru.” Ringkas Hakimi menjawab. Jiwa dan fikirannya masih terganggu akan peristiwa semalam. Setakat ini, Isya masih belum menyedari luka yang dialami Hakimi.

“ Rumah baru? Tapi… kenapa barang-barang langsung tak ambil?” Isya menyoal.

“ Barang kau, aku dah minta orang tolong hantar kejap lagi.”

“ Bukan… bukan tu. Maksud aku, barang-barang rumah kenapa tak angkut sekali?” Isya kebingungan. Hakimi tersenyum dengan kebodohan ‘isteri’nya.

“ Aku dah beli barang baru. Tak perlu ambil barang-barang rumah lama tu.”

“ Bukan kau yang beli.” Serta-merta Hakimi berkalih pandang pada Isya.

“ Apa?? Ha.. dia ni kan!!” Hakimi bengang.

“ Mmmmm….”

“ Apa? Kau nak cakap apa?” Pantas Hakimi menyoal. Dari bunyi yang dibuat Isya, dia tahu ada sesuatu yang ingin disuarakan gadis itu.

“ Aaa.. Khairul tahu ke kita pindah?” Soalan yang menyakitkan hati bagi Hakimi. Wajahnya segera berubah. Stereng dipulas secara mengejut ke arah kanan. Keretanya diberhentikan di bahu jalan. Isya tersentak.

“ Kau nak dia tahu ke??” Serius Hakimi bersuara. Isya kelihatan serba-salah. Secara terang-terangan dia langsung tidak mengetahui sebab musabab mengapa Hakimi berubah riak wajah.

“ Tak. Bukan itu…” Isya terdiam.

“ Kau keluar.” Sekali lagi Isya tersentak.

“ Huh?” Hakimi dipandang tepat. Seolah-olah dia salah dengar.

Hakimi mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen. Pada kertas tersebut, satu alamat dicatat. Dia melangkah keluar dari kereta dan menapak menghampiri Isya. Pintu kereta dibuka. Tangan gadis itu ditarik supaya keluar dari kereta. Isya hanya mengikut tindakan Hakimi tanpa sepatah kata. Dia masih kebingungan. Tangan kanan Isya dicapai.

“ Ini! Alamat rumah tu. Kau… pergi sendiri cari rumah tu dengan teksi. Aku sibuk.” Tanpa menunggu apa-apa balasan dari Isya, Hakimi masuk semula ke dalam kereta. Keretanya meluncur laju meninggalkan Isya sendirian di bahu jalan.

“ Yaaaaa!!!!!!!!!” Isya melaung sekuat hati. Wajahnya merah padam menahan marah. Dia mengeluh.

“ Aku tak bawa duit. Macam mana nak tahan teksi?” Dia semakin runsing. Jam di tangan sudah menunjuk pada angka lima.

*****

Masa berlalu saat demi saat, minit demi minit dan jam demi jam. Kini, jam sudah menunjuk pada angka sepuluh. Ini bermakna, sudah lima jam Isya ditinggal berseorangan di bahu jalan. Hakimi kelihatan gelisah. Isya masih belum tiba. Panggilan telefon juga tidak berjawab. Disebabkan perasaan cemburu, dia mengambil keputusan meninggalkan Isya sendirian. Jangkaannya Isya tahu bagaimana cara untuk tiba di rumah ini. Namun, jangkaannya sama sekali meleset kerana dia langsung tidak mengetahui kesulitan yang dialami Isya pada saat ini.

Isya mengeluh berat. Dia sendiri tidak tahu dia mana dia berada sekarang. Masalah semakin bertambah. Telefon bimbitnya pula kehabisan bateri. Dia melabuhkan punggung di satu kerusi. Kedua-dua kakinya sudah mula melecet. Air matanya cuba untuk ditahan dari mengalir. Dia benar-benar keletihan. Sudah hampir lima jam dia berjalan. Namun, dia langsung tidak mengetahui selok belok kawasan ini.

Hakimi bermain-main dengan telefon bimbitnya sendiri. Dia kelihatan serba-salah. Setelah beberapa minit berlalu, akhirnya nombor telefon Khairul didail. Mahu tidak mahu, dia terpaksa meminta bantuan dari lelaki itu. Pergerakannya terbatas di tempat awam. Itu masalahnya.

*****

Mata Hakimi meliar mencari susuk tubuh ‘isteri’nya. Dia mula menyesal dengan tindakannya. Hatinya semakin gelisah. Semakin bimbang akan keselamatan gadis itu. Kegelapan malam menyukarkan dirinya untuk menjejaki Isya.

Riak wajah Khairul seperti Hakimi. Dia turut gelisah. Keretanya dipandu perlahan sambil matanya meliar mencari gadis yang istimewa buat dirinya. Riak bimbang jelas terpamer. Sudah hampir setengah jam mereka mencari, namun bayang-bayang Isya masih belum dijumpai.

Isya melangkah laju. Semakin lama semakin laju. Akhirnya dia berlari-lari anak. Dia dapat merasakan ada beberapa orang yang mengikutnya dari belakang. Apabila dia berlari, bunyi tapak kaki ikut kedengaran laju. Isya semakin cemas. Tiba-tiba sahaja, tangannya ditarik kasar dari belakang. Dia tersentak. Jantungnya berdegup kencang. Beberapa orang lelaki tersenyum sinis. Memandangnya dengan pandangannya yang menyeramkan dan mempunyai makna yang tersendiri.

“ Awak semua siapa?” Isya ketakutan. Isya berundur beberapa langkah ke belakang apabila mereka semakin mendekatinya.

“ Kami? Kami oranglah. Kenapa takut?”

“ Apa yang awak semua nak?” Isya menggigil.

“ Tak tahu ke buat-buat tak tahu?” Salah seorang lelaki memegang tangannya. Isya terjerit kecil. Tangannya pantas ditarik dari pegangan lelaki tersebut.

Namun, tindakan yang sama dilakukan sekali lagi. Isya bertindak berani. Tangan yang cuba memegangnya digigit. Akibatnya, lelaki tersebut menjerit kesakitan. Dia berang. Tangannya diangkat dengan tujuan untuk menampar wajah Isya. Isya terduduk. Wajahnya ditutup. Tubuhnya menggigil. Belum sempat lelaki itu bertindak, tubuhnya terlebih dahulu ditendang oleh seseorang. Satu lawan empat. Dalam masa beberapa minit sahaja, kesemuanya tewas. Mahu tidak mahu, mereka melarikan diri dari terus menjadi mangsa tumbuk dan terajang.

Isya didekati. Gadis itu sudah pun menangis teresak-esak. Dia benar-benar diancam ketakutan. Wajahnya kelihatan pucat. Bahu Isya dipegang. Namun, dia langsung tidak menjangka Isya akan meronta-ronta dalam keadaan air mata yang masih menjurai laju.

“ Isya! Saya ni! Saya Khairul!” Khairul berusaha menenangkan gadis itu. Namun, Isya masih lagi meronta.

“ Isya! Tenang Isya! Saya Khairul!” Bahu Isya dipegang kuat. Isya mengangkat wajah. Mata Khairul dipandang tepat. Air matanya semakin laju mengalir.

Tubuh Isya ditarik dalam pelukannya. Cuba untuk menenangkan gadis itu dari perasaan takut. Rambut Isya yang melebihi bahu dibelai lembut. Dia tahu bahawa Isya masih berada dalam ketakutan.

“ Tak apa. Saya ada, Isya.” Lembut Khairul menutur kata.

Di sebalik itu, ada seseorang yang memerhati. Hakimi. Dia hanya memandang ke arah mereka berdua tanpa satu pun tindakan yang dibuat. Hatinya tergores. Waktu terhenti seketika. Mereka tersepit dalam satu situasi yang semakin sukar.

Rabu, 2 Mac 2011

cinta sunbae 30

Isya menapak masuk ke dalam rumah. Hakimi sudah menanti di ruang tamu. Tanpa banyak bicara, Isya melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu. Wajah Hakimi dipandang tepat. Hatinya terasa dirobek lagi. Hakimi mendongak kepala. Pandangan pertamanya tiba-tiba tertacap pada luka di tangan ‘isteri’nya. Kelihatan balutan panjang pada tangan kanan Isya.

“ Apa yang kau nak cakap?” Soalan Isya membuatkan Hakimi sedikit tersentak. Pandangannya segera beralih arah. Dia berdehem kecil berulang-ulang kali.

“ Hari ni hari Isnin kau tahu kan?” Isya mengangguk.

“ Kau dah lupa?” Hakimi tidak berterus-terang sebaliknya cuba untuk menguji tahap ingatan gadis di hadapannya.

“ Aku pilih pindah sekolah.” Isya bangun dari sofa. Hakimi sekali lagi tersentak.

“ Huh???” Dia terkejut. Sangkaannya benar-benar berharap Isya memilih untuk menjadi orang gajinya selama sebulan lagi. Malah, dia tidak pernah menyangka bahawa Isya sanggup berpisah dengan sahabat-sahabat yang rapat dengannya.

“ Kenapa kau nak pindah sekolah? Kau sanggup berpisah dengan kawan-kawan kau?” Dia menyoal lagi.

“ Aku lebih sanggup berpisah dengan diorang daripada jadi orang gaji kau selama tiga bulan. Dua bulan dah terlalu lama.” Isya berterus-terang. Tiada lagi berselindung di sebalik kata-kata.

“ Apa maksudnya tu? Macam ada something di sebaliknya.” Hakimi kurang mengerti. Dua bulan terlalu lama?

“ Kalau tak ada benda apa lagi yang kau nak cakap, aku nak masuk bilik dulu.” Isya bangun dari sofa.

“ Kenapa dengan kau ni? Sikap kau dah berubah sekarang. Apa yang tak kena?” Isya berhenti melangkah. Kepalanya ditoleh ke belakang. Wajah Hakimi dipandang agak lama.

“ Maaf.. “ Hakimi terkedu. Bukan mudah untuk mendengar ucapan maaf daripada gadis ini.

“ … aku letih. Letih dengan semua ni. Tolong.. bagi aku masa untuk aku biasakan diri.”

“ Baiklah! Aku pun tak nak masuk campur masalah kau. Aku nak kau tahu yang esok kita pindah. Semua barang ni akan ada orang yang tolong uruskan. Esok kau tak perlu pergi sekolah sebab esok nama kau akan didaftar kat sekolah baru.”

“ Dan lagi satu… siapa yang… cederakan tangan kau?” Tersekat-sekat Hakimi menutur kata. Dia kelihatan serba-salah.

“ Tak tahu. Orang yang langgar aku tu.. aku tak kenal.” Isya masih berfikir. Wajah lelaki yang melanggarnya cuba untuk diingati, namun usahanya hanya sia-sia.

“ Nak buat police report?” Isya tersentak,

“ Huh? Police report? Tak.. tak perlulah. Bukan serius sangat.” Pantas Isya menolak. Dia bukan seorang insan yang gemar membesar-besarkan cerita. Apatahlagi jika dia berpendapat masalah itu tidak serius.

“ Tak serius?!!” Terbelalak biji mata Hakimi. Pandangannya ditundukkan buat seketika.

“ Separuh mati aku dibuatnya.. itu yang dia kata tak serius?” Dia bermonolog sendiri. Langsung tidak tercapai dek pendengaran ‘isteri’nya.

“ Apa yang kau cakap sorang-sorang? Kalau nak kutuk, kutuk depan-depanlah!” Isya bersuara separuh menyindir.

“ Sudahlah! Pergi masuk bilik. Tadi terhegeh-hegeh sangat nak masuk bilik.” Kata-kata yang menyakitkan hati. Isya mencebik. Mukanya kemerah-merahan menahan marah. Tanpa suara, dia menapak masuk ke dalam bilik.

*****

Isya melabuhkan punggung di birai katil. Emosinya acap kali berubah. Kini dia termenung sendirian. Tangannya yang masih dibalut rapi dipandang lama. Parut pada tangannya mungkin akan kekal bersamanya seumur hidup. Tapi, bukan itu yang dia risaukan. Hubungan antara dirinya dan Hakimi seolah-olah sudah sampai ke kemuncak.

“ Kau memang betul-betul dah gila, Isya!” Dia bermonolog sendiri. Melepaskan geram tanpa pengetahuan sesiapa. Tangan kirinya meraba-raba telefon bimbit yang diletakkan di atas katil. Sebaik sahaja dapat dicapai, telefon bimbitnya pantas dihidupkan. Sepanjang dia berada di hospital, telinganya sunyi dari mendengar bunyi panggilan telefon mahupun bunyi ‘bip’ kesan daripada penerimaan pesanan ringkas.

Tidak sampai beberapa detik telefon bimbitnya dihidupkan, kedengaran bunyi ‘bip’ berulang-ulang kali. Bunyi tersebut kedengaran berterusan dalam tempoh masa yang agak panjang. Isya terpana. Satu demi satu pesanan ringkas yang diterima dibacanya. Jantungnya seolah-olah hampir luruh. Walaupun peristiwa tergempar ini telah terjadi tiga hari yang lalu, tetapi baru hari ini dia mengetahuinya. Malah, Khairul sendiri merahsiakan darinya.

Isya bangun dari katil. Wajahnya jelas kemerah-merahan menahan marah. Bunyi dari telefon bimbit yang masih berterusan dibiarkan begitu sajau. Dia melangkah keluar dari bilik. Langkahnya diatur pantas ke arah Hakimi diruang tamu.

“ Yaaa, Encik Hakimi!!!” Isya menjerit. Serta-merta Hakimi tersentak. Matanya segera beralih pada gadis itu.

“ Asal kau ni?” Isya mengetap bibir. Hakimi dipandang tajam.

“ Kau dah gila ke? Kenapa kau cakap aku ni… orang gaji kau?” Isya melenting.

“ Habis tu kau nak aku cakap apa? Kau nak aku cakap yang kau ni isteri aku? Kejap kejap! Kau jangan cakap yang kau baru tahu pasal sidang media tu.”

“ Memang! Memang aku baru tahu. So what? Kau ingat bila kau cakap yang aku ni orang gaji kau, takkan ada masalah?”

“ Memang tak ada masalah pun. Masalah apa? Kalau orang lain jumpa kau dengan aku, diorang semua akan ingat aku keluar dengan orang gaji aku. Simple right?” Hakimi mengambil mudah. Ambil mudah kerana itu bukan masalahnya.

Simple right??” Isya mengejek. Bibirnya menjuih ke hadapan. Jelas terpamer wajahnya yang seakan-akan meluat benar dengan sikap ‘suami’nya.

“ Encik Hakimi!! Memang kau tak ada masalah. Tapi, aku yang ada masalah nanti! Semua kawan-kawan aku dah tahu pasal benda ni. Apa aku nak jawab? Tambah-tambah kalau diorang dapat tahu kita serumah. Macam mana?” Isya memandang Hakimi. Wajahnya bertukar risau.

“ Manalah aku tahu. Kau fikir sendiri and then kau jawab la sendiri.”

Isya tergelak sinis. Dia benar-benar kecewa. Kecewa dengan sikap Hakimi yang tidak bertanggungjawab atas perbuatan sendiri. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Masalahnya bukan semakin berkurang sebaliknya bertambah satu demi satu. Isya ingin menapak keluar dari rumah. Fikirannya berserabut.

“ Kau nak pergi mana?” Soalan Hakimi membuatkan Isya berhenti melangkah. Kepalanya ditoleh sembilan puluh darjah ke kanan.

“ Bukan urusan kau.”

“ Apa? Bukan urusan aku? Yaa!! Kau ni kan… Ok, fine! Memang bukan urusan aku. Tapi kalau… apa-apa jadi, aku yang kena jawab!” Hakimi bingkas bangun dari sofa. Isya tidak terus melatah. Apa yang diucapkan Hakimi langsung tidak dipandang berat, Dia tetap dengan keputusannya. Tanpa sepatah kata, dia melangkah keluar dari rumah.

“ Yaaaaa!!!” Hakimi menjerit. Tergelak sinis. Hatinya membara. Walaupun di sebalik perasaan marah itu, masih terselit secebis perasaan risau dan sayang.

*****

Enam jam berlalu, namun Isya masih lagi melangkah dan melangkah. Penat. Erti itu masih belum dikenali buat sementara ini. Mungkin kekusutan fikiran lebih menguasainya. Bukan seperti Hakimi. Dia berfikir lebih jauh ke hadapan. Apa yang akan terjadi padanya andai perkahwinan kontrak mereka terbongkar? Sehingga kini, satu demi satu ikatan rahsia mereka semakin terbuka dan semakin longgar.

Pihak media telah pun mengetahui bahawa dia mengenali bintang popular itu. Suatu hari, tidak hairan jika pihak media mendapat tahu bahawa mereka tinggal serumah sehinggalah terurai rahsia bahawa mereka berkahwin atas dasar kontrak. Kalau itu yang terjadi… entahlah! Dia sendiri tidak dapat membayangkan detik-detik itu. Mungkin juga dia bakal melalui saat-saat babak Full House.

Nafasnya dilepas perlahan-lahan. Jiwanya cuba untuk ditenangkan. Dia berusaha meraih semangat yang ada walaupun dia tahu sukar baginya untuk menafikan segala yang terjadi. Kini, dia jelas akan perasaannya sendiri. Memang benar dia menyintai Hakimi. Namun, dia masih belum cukup bersedia untuk membenarkan seorang manusia mengetahui perasaannya yang sebenar terhadap ‘suami’nya sendiri.

Isya melabuhkan punggungnya di satu kerusi. Manusia-manusia yang menghirup udara di situ kian berkurang disebabkan oleh faktor masa yang semakin berganjak. Sejak sejam yang lepas, dia langsung tidak menyedari dia sedang diekori dari belakang. Tanpa sepatah kata, ada seseorang yang melabuhkan punggung di sisinya. Isya agak terperanjat. Namun, topi yang menutupi wajah manusia di sebelahnya agak menyukarkan dirinya untuk mengenali lelaki itu. Isya hanya berdiam diri. Dia menginjakkan dirinya sedikit ke kiri. Cuba untuk menjarakkan dirinya dengan lelaki tersebut.

“ Lama berjalan. Sesat jalan ke?” Teguran lelaki di sebelah membuatkan Isya pantas berkalih arah. Dia masih sukar untuk memandang lelaki itu. Lama-kelamaan sedikit demi sedikit kepalanya didongakkan. Sekali lagi Isya terperanjat. Namun sebaliknya bagi lelaki di sisinya. Dia tersenyum manis.

“ Khairul! Apa awak buat kat sini?” Isya seakan-akan kurang percaya.

“ Awak pula buat apa kat sini?” Soalan dibalas soalan.

“ Saya.. saya just ambil angin je.” Serba-salah Isya dibuatnya.

“ Ambil angin sampai kena naik bas datang sini? Ambil angin ke tu? Atau.. ada masalah?” Khairul serkap jarang. Mungkin, mungkin bukan serkap jarang. Hanya berdasarkan riak wajah gadis itu.

“ Awak ekori saya, kan?” Topik sengaja ditukar.

“ Tak. Saya tak ekori awak. Sejam yang lalu, saya ternampak awak tanpa arah tujuan. So, saya just ikut dari belakang.” Khairul mempamerkan wajah tidak bersalah.

“ Bukan ekori namanya?” Isya angkat kening.

“ Ekori tu macam lebih membawa maksud jahat je. Niat saya baik. Untuk lindungi awak bukan sakiti awak.” Isya tersenyum dengan ungkapan kata-kata yang dilafazkan oleh Khairul. Manusia yang boleh dikatakan seorang kawan buatnya.

“ Cantik ayat awak.” Khairul terdiam. Masing-masing terdiam buat seketika. Ada sesuatu yang bermain di hati dua insan ini. Namun, perasaan yang bermain di hati mereka adalah berbeza.

Khairul menggerakkan anak matanya pada wajah Isya. Wajah itu tampak kusam. Dia kenal wajah itu. Wajah yang menyimpan seribu kali kesusahan. Dia ingin menghulurkan tangan tetapi persoalannya, adakah hulurannya akan bersambut?

“ Ada masalah… kan?” Wajah Isya setia dipandang. Isya sekadar tersenyum manis. Hatinya masih belum terbuka untuk berkongsi masalah bersama lelaki ini.

“ Ni.” Khairul menunjuk pada bahu kirinya.

“ Saya bagi pinjam. Tapi untuk masa-masa tertentu saja. Bayarannya… untuk awak, free of charge.” Khairul mengukir senyum. Dia memahami gadis ini. Benar-benar memahami.

“ Dah boleh guna sekarang?”

Sure.” Pantas Khairul mengangguk.

“ Saya pinjam kejap saja.” Isya melentokkan kepalanya di bahu Khairul. Matanya dipejam. Dari celahan mata, air matanya mengalir. Khairul tidak bersuara walaupun sepatah.

Tiga puluh minit berlalu. Isya terlelap di bahu Khairul bersama linangan air mata. Sedar tidak sedar, jam sudah pun menunjuk pada angka sepuluh tiga puluh minit malam. Untuk mengejutkan gadis itu, dia tidak sampai hati. Akhirnya, Khairul bernekad untuk mengendong Isya pulang. Walaupun jarak untuk sampai ke rumah Isya agak jauh, namun hanya itu saja cara untuk tidak mengejutkan gadis itu dari tidur. Dalam kegelapan malam, dia melangkah bersama Isya yang sedang nyenyak tidur di belakangnya.

“ Andai awak tahu, perasaan saya pada awak, Isya. Dan andai awak turut ada perasaan yang sama pada saya… hidup saya akan jadi cukup bermakna.” Khairul mengakhiri kata-katanya. Dia tahu Isya berada di luar kesedaran untuk mendengari kata-katanya. Disebabkan itulah da mengungkap ayat-ayat tersebut. Walaupun Isya tidak pernah memberi sebarang komen mengenai perasaannya pada Hakimi, tetapi dia jelas dan tahu perasaan sebenar gadis itu pada Hakimi.

Hampir tiga puluh minit berlalu. Hanya beberapa langkah saja untuk sampai tepat di hadapan muka pintu rumah Hakimi. Setapak demi setapak dia melangkah. Sampai saja di muka pintu, loceng dibunyikan. Selang beberapa minit, pintu rumah dibuka dari dalam. Hakimi tersentak secara tiba-tiba. Isya yang masih lagi tidur dipandang sekilas sebelum pandangannya beralih pada Khairul. Pandangan mereka bertaut. Pandangan yang mempunyai satu makna yang mungkin hanya difahami oleh mereka berdua sahaja.

cinta sunbae 29

Jantungnya berdegup kencang. Kepalanya pantas ditoleh ke belakang. Dia terpana. Orang ramai sudah mula mengelilingi tempat dimana Isya sedang terbaring. Hakimi mengatur langkah setapak demi setapak. Semakin lama semakin laju dan akhirnya dia berlari. Tubuh Khairul ditolak kasar ke tepi. Darah yang mengalir membasahi seluruh tangan Isya membuatkan dia semakin terkejut. Kot hitamnya pantas dibuka. Belahan pada tangan ‘isterinya’ diikat dengan kejap supaya darah tidak mengalir keluar.

“ Isya! Isya!!” Tubuh Isya digoncang lembut.

“ Isya, bangun! Bangunlah! Kau kenapa??” Air matanya bertakung.

Tubuh Isya didukung. Wajahnya berubah cemas. Jelas menggambarkan ketakutan yang semakin menghimpit diri. Dia berlari-lari anak. Insan lain langsung tidak dipedulikan. Hanya Isya. Hanya Isya yang menjadi tumpuannya. Hidup mati gadis itu berkait rapat dengannya. Khairul terkaku di situ dalam keadaan terduduk. Dia benar-benar terkelu tanpa kata. Hana semakin membara dengan tindakannya sendiri. Tidak disangka tindakannya merapatkan lagi hubungan antara mereka berdua.

*****

Isya dibawa masuk ke ruang ICU beberapa jam yang lalu. Kini, gadis itu sedang terlantar lemah di bilik ruangan VIP. Hakimi menjadi tidak keruan. Dia benar-benar risau. Risau sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap ‘isteri’nya. Isya masih tidak sedarkan diri. Berdasarkan kata-kata seorang doktor, Isya dicederakan dengan torehan di bahagian tangan kanan.

Air mata seorang lelaki jatuh menuruni pipi. Kali pertama dia menitiskan air mata kerana seorang perempuan. Tangan Isya dipegang dengan erat. Sekiranya dia ada di sisi gadis ini, pasti semuanya tidak akan berlaku. Wajah Isya dipandang lama. Dipandang bersama linangan air mata yang semakin hangat membasahi pipi.

Khairul dan Hana menapak menghampiri Hakimi. Apabila kewujudan mereka berdua disedari, Hakimi pantas mengesat air matanya. Tangan Isya dilepaskan dan dia bangun dari melabuhkan punggung di sisi katil.

“ Kau baliklah. Biar aku yang jaga dia.” Khairul bersuara. Matanya tepat memandang Hakimi.

“ Tak. Biar aku yang jaga dia. Dia… “

“ Macam mana kau nak jaga dia kalau diri kau pun tak terjaga? Pihak media dah tunggu kau kat luar. Kalau kau masih berdegil, diorang takkan teragak-agak pecah masuk ke sini. Bukan kau saja yang akan dapat susah. Kau yang akan menyusahkan Isya.” Kata-kata Hakimi pantas dipotong. Dia bersuara berdasarkan hakikat yang patut diterima. Bukan berdasarkan pandangan hati semata-mata.

Hakimi terdiam. Memang benar apa yang dikatakan Khairul. Dia akan menyusahkan Isya. Selagi mana Isya berada di sisinya, selagi itu hidup gadis ini tidak akan tenang. Malah, pergerakannya turut terbatas.

“ Mari pergi.” Hana memaut tangan Hakimi. Berusaha memujuk lelaki itu supaya pergi dari situ. Hakimi berbelah bahagi. Isya yang masih terlantar di atas katil dipandang sekilas. Namun, akhirnya dia melangkah pergi. Menapak keluar dari situ secara terpaksa. Dia masih lagi belum mengenali apa itu pengorbanan demi cinta.

“ Kita ikut jalan lain. Jalan utama dah disekat pihak media.” Hana memberitahu. Hakimi lebih bertindak mendiamkan diri.

*****

Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Seluruh tubuhnya masih terasa lemah. Kepalanya juga masih terasa memberat. Matanya meliar memandang sekeliling. Memori ingatannya cuba diraih. Dia ingat segala-galanya. Apa yang telah berlaku pada dirinya, semuanya jelas dalam ingatannya. Tangan kirinya yang terasa dipegang erat oleh seseorang memaksa dia mengalihkan kepalanya. Isya memandang lama pada tubuh seseorang yang telah melelapkan mata di sisinya. Keadaan lelaki itu yang menyembamkan muka di katil menyukarkan dirinya untuk mengetahui identiti insan tersebut.

“ Khairul.” Sepatah Isya berusaha. Dia berjaya mengenali lelaki itu berdasarkan tangan. Tiada sebentuk cincin yang menghiasi jari lelaki itu. Kepalanya ditoleh ke arah lain. Tangan kirinya tidak ditarik dari pegangan Khairul. Secara jujurnya, dia mula mengenali apa itu kecewa. Pada sangkaannya, Hakimi yang berada di sisinya pada saat ini. Namun, sangkaannya meleset sama sekali. Jelas kekecewaan yang terpamer di wajahnya kala ini.

*****

Hakimi termenung sendirian. Kata-kata Isya masih terngiang-ngiang di telinga. Benarkah dirinya langsung tidak bermakna buat gadis itu. Dan benarkah saat perpisahan mereka yang dinanti? Betul! Dia pernah mengucapkan kata yang sama di hadapan Hana satu ketika dahulu. Kini, kata-kata yang sama didengarinya. Hatta, kata-kata itu menusuk ke kalbu hingga melukakan setiap genap hatinya. Dia terkedu sendiri. Lagi satu masalah yang muncul dalam hidupnya. Pasti esok, Malaysia digemparkan dengan beritanya bersama Isya. Malah, pasti juga dia akan dimarahi pengurusnya sendiri. Hatta, pengurusnya sendiri tidak pernah mengetahui mengenai perkahwinannya.

Keluhan berat dilepaskan. Dia masih memikirkan kerjayanya. Kerjaya yang terbina selama ini tidak mungkin dimusnahkan begitu saja. Mungkin baginya cinta adalah perkara kedua. Dan mungkin juga dia masih belum mengenali apa itu pengorbanan demi cinta. Tidak kenal maka tidak cinta. Lelaki tanpa pengorbanan demi cinta adalah tidak bernilai untuk sesiapa saja. Cinta memerlukan pengorbanan. Pengorbanan itu yang menjadikan sebuah cinta benar-benar suci.

*****

Tubuhnya dihempas kasar ke atas katil. Rancangannya gagal sama sekali. Tetapi ini baru satu permulaan. Bukan penghujung tetapi permulaan cerita. Satu hari, pasti Isya akan hancur di tangannya. Tidak kira sesiapa pun yang cuba mendekati Hakimi, pasti insan tersebut akan musnah di tangannya. Bibirnya diketap tanda geram. Buat sementara ini, dia tidak boleh merancang apa-apa tindakan sehinggalah pada ketika kedudukannya benar-benar tergugat.

Tindakannya untuk menghancurkan Isya berubah sama sekali. Tindakannya lebih memihak kepada gadis itu. Bukan menjarakkan hubungannya dengan Hakimi sebaliknya merapatkan. Hatinya semakin geram. Geram dengan tindakannya sendiri. Sekiranya kali ini dia masih tersilap langkah, dia sendiri yang akan binasa.

*****

Tiga hari berlalu. Hakimi tidak pernah datang menjenguk. Malah ini adalah hari terakhir dia berada di hospital. Pagi tadi seluruh Malaysia digemparkan dengan sidang akhbar yang diadakan. Secara terang-terangan, wajahnya terpapar di dada akhbar dan juga media. Lebih mengejutkan, Hakimi membuat kenyataan bahawa Isya adalah orang gajinya. Seperti apa yang dikatakan pada Hana, itu jugalah yang diberitahu pada pihak media. Isya geram. Seluruh hospital dapat mengecamnya. Malah, pelbagai soalan yang diajukan oleh mereka.

“ Mari pergi.” Teguran Khairul mengejutkan lamunannya. Dia segera beralih pandang pada lelaki itu.

“ Balik rumah?” Isya bertanya walaupun dia sendiri mengetahui arah tujuan mereka yang sebenar. Khairul sekadar mengangguk.

“ Boleh tak.. kalau saya tak nak balik rumah? Saya tak bersedia lagi nak hadapi semua ni.” Isya kelihatan murung. Hidupnya semakin tertekan. Tertekan kerana perasaan yang dirahsiakan selama ini.

“ Baiklah kalau macam tu. Kita pergi tempat lain.” Khairul memutuskan. Dia mengetahui perasaan Isya kala ini. Malah hatinya juga sakit dengan situasi sebegini. Bukan mereka berdua sahaja yang merana malah dirinya juga terikat sama.

*****

Aiman gelisah. Isya dihubungi namun panggilan tidak berjawab. Sejak adik perempuannya berkahwin, hubungan mereka renggang sama sekali. Fikirannya bertambah runsing apabila dia digemparkan dengan sidang media pagi tadi. Bukan dirinya saja malah seluruh ahli keluarganya. Walaupun mereka tahu sebab musabab pengumuman Isya sebagai orang gaji Hakimi, tetapi perasaan mereka tetap tidak tenang.

Aiman mengeluh. Riak wajahnya jelas kelihatan risau. Dia yakin, pasti Isya sedang berhadapan dengan situasi yang sukar sekarang. Tubuhnya disandar pada dinding. Cincin di tangannya dipandang lama. Isya adalah satu-satu adiknya. Tanpa Isya, dia tidak mungkin dapat hidup dengan sempurna. Malah dia menyayangi Isya lebih daripada nyawanya sendiri.

“ Apa yang aku patut buat?” Dia mengumam sendiri.

Berkahwin dengan artis bukan perkara yang patut dibanggakan sebaliknya itu mendatangkan penderitaan. Apatahlagi, Isya bersikap lurus. Dia langsung tidak mendalami hidup sebagai seorang artis. Tetapi kini dia perlu berdepan dengan hakikat itu. Hidupnya tidak lagi seperti dahulu yang boleh bergerak bebas. Walaupun rahsia besar mereka terjaga sehingga sekarang, tetapi saat itu pasti akan menjelma jua.

*****

“ Awak.. dah jatuh cinta dengan Hakimi, bukan?” Khairul berterus-terang menyoal.

Isya tidak terus gelabah. Khairul dipandang sekilas sebelum pandangan beralih semula ke hadapan. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Hakikat sebenar memang susah untuk disembunyikan. Apatahlagi apabila bersama lelaki ini.

“ Hakikat sebenar memang susah nak dirahsiakan, bukan macam tu?”

“ Memang betul. Saya.. dah jatuh cinta. Cinta kali kedua. Tapi.. “ Isya berhenti sekejap. Nafasnya ditarik lagi.

“ … saya tak nak teruskan cinta ni, Khairul. Cinta ini susah untuk saya capai. Makin saya cuba untuk capai, saya makin menderita.” Dia cuba menahan tangis.

“ Saya nak akhiri semua ni secepat mungkin, Khairul. Hati saya makin sakit.” Air matanya mengalir jua. Khairul tidak mampu bertindak. Hatinya turut terluka dengan pengakuan gadis ini.

Dia hanya mampu untuk memandang. Isya masih belum mengenali dirinya. Dia menanti hari demi hari supaya Isya datang ke sisinya. Tetapi, itu tidak terjadi. Sebaliknya hari demi hari, dia yang mencuba untuk mendekati gadis ini. Andai dia yang dijodohkan dengan Isya, adakah gadis ini akan memandangnya? Andai dia yang terlebih dahulu mengenali Isya, adakah dia yang akan dicintai gadis ini?

Dia tidak mampu mengungkapkan kata cinta. Kerna dia tahu, luka bakal menanti. Baginya, adalah lebih baik sekiranya Isya tidak pernah mengetahui perasaannya yang sebenar.

*****

Hakimi kelihatan gelisah. Jam di tangannya sering dipandang. Jarum jam sudah menunjuk pada angka tiga. Namun, Isya masih belum pulang. Dia tahu bahawa Isya sudah dibenarkan pulang pada hari ini. Malah dia juga tahu bahawa Khairul yang menjemput gadis itu. Nombor telefon Isya didail berulang-ulang kali namun panggilannya tidak berjawab. Egonya diketepikan buat masa ini. Nombor telefon Khairul pula yang didail. Beberapa saat kemudian, panggilannya berjawab.

“ Kau ada mana?” Pantas Hakimi menyoal. Dia berdiam sebentar demi untuk memberi ruang pada Khairul supaya bercakap.

“ Bagi telefon kat Isya.” Telefon bertukar tangan.

“ Yaa!! Kau buat apa kat situ? Dah tak ingat rumah? Balik cepat! Ada sesuatu yang aku nak cakap.” Talian dimatikan tanpa sempat untuk Isya menjawab. Keluhan lemah dilepaskan.

“ Nak balik?” Khairul menyoal. Isya sekadar mengangguk lemah. Walau sejauh mana dia cuba untuk berlari, dia tetap berada di tempat sama. Kenyataan itu tidak akan berubah sehinggalah tiba masanya nanti.

*****

Isya menapak masuk ke dalam rumah. Hakimi sudah menanti di ruang tamu. Tanpa banyak bicara, Isya melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu. Wajah Hakimi dipandang tepat. Hatinya terasa dirobek lagi. Hakimi mendongak kepala. Pandangan pertamanya tiba-tiba tertacap pada luka di tangan ‘isteri’nya. Kelihatan balutan panjang pada tangan kanan Isya.

“ Apa yang kau nak cakap?” Soalan Isya membuatkan Hakimi sedikit tersentak. Pandangannya segera beralih arah. Dia berdehem kecil berulang-ulang kali.

“ Hari ni hari Isnin kau tahu kan?” Isya mengangguk.

“ Kau dah lupa?” Hakimi tidak berterus-terang sebaliknya cuba untuk menguji tahap ingatan gadis di hadapannya.

“ Aku pilih pindah sekolah.” Isya bangun dari sofa. Hakimi sekali lagi tersentak.

“ Huh???”

cinta sunbae 28

Isya menapak keluar dari bilik. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Sesekali kedengaran bunyi batuk dari tuan empunya badan. Langkahnya diteruskan sehingga ke dapur. Di situ segala pekerjaannya diselesaikan dengan sepenuh tenaga dikerah. Nafasnya berombak lemah. Batuknya kedengaran lagi.

“ Jangan pura-pura batuklah! Muslihat kau tu dah lapuk.” Kedengaran suara Hakimi dari ruang tamu. Isya tidak bersuara sebaliknya terus mendiamkan diri. Tiada upaya lagi untuk melawan kata-kata lelaki itu buat masa ini.

Hampir dua jam dia mengemas dan membersih segala kekotoran rumah. Jam pun sudah menunjuk pada angka 12 tengah hari. Hakimi sudah tidak kelihatan di ruang tamu. Di dalam bilik juga tidak ada. Dengan peluang yang ada, Isya melangkah masuk ke dalam biliknya semula. Membaringkan diri di atas katil dengan tujuan untuk merehatkan kepalanya yang kian mencucuk.

Selepas lima jam berlalu, akhirnya Isya membuka kelopak mata. Kepalanya masih terasa memberat. Masih terasa ada sesuatu yang menyucuk-nyucuk. Dengan tenaga yang ada, sedaya-upaya dia cuba untuk bangun dari katil. Jam di skrin telefon bimbitnya dipandang sekilas. Sudah mencecah lima petang. Pada masa yang sama, telefon bimbitnya berbunyi. Isya sedikit tersentak.

“ Khairul.” Nama yang terpamer di skrin telefon membolehkan dia mengenalpasti siapa di talian.

“ Awak ok ke? Suara awak lain.” Khairul menyuarakan kebimbangannya.

“ Hmm.. saya ok. Ada apa, Khairul?”

“ Awak dah lupa ke pasal hari ni?”

“ Hari ni? Pasal apa ye?” Ingatannya ternyata kurang memberangsangkan apabila tubuh badannya lemah.

“ Parti. Ingat?”

“ Ahh! Saya dah ingat. Dah sampai masanya ke?” Isya menyandarkan tubuhnya di dinding.

“ Belum lagi. Saya ambil awak pukul 6. Boleh?”

“ Boleh tu memang boleh. Tapi Khairul… saya tak ada baju yang sesuai untuk pergi majlis tu.” Soal kesihatannya langsung tidak diceritakan.

“ Itu awak tak perlu bimbang. Awak just tunggu saya.” Isya mengangguk lalu talian ditamatkan. Nafasnya dilepas perlahan-lahan. Sesekali batuknya turut kedengaran. Seluruh wajahnya kelihatan pucat.

*****

Isya tersentak. Bunyi ketukan pintu berulang-ulang kali memaksa dirinya untuk bangun dari pembaringan di atas sofa. Dia cuba untuk bangun dan melangkah dengan sempurna. Namun langkahnya kelihatan sumbang. Sesekali gerak langkah kakinya tercicir ke kiri dan ke kanan sehinggalah dia berjaya membuka pintu. Kepalanya dipicit-picit dengan perlahan. Apabila Khairul mula memandangnya, dia pantas menurunkan tangan. Bibirnya dipaksa untuk mengukir senyum.

“ Awak ready? Jom pergi.”

“ Pergi mana?” Isya kurang mengerti.

“ Pergi ke tempat untuk awak buat persiapan ke majlis tu.” Khairul bermain teka-teki.

“ Huh?” Isya masih lagi kurang memahami.

“ Awak akan tahu juga nanti.” Khairul tersenyum tetapi riak mukanya segera berubah apabila dia mula menyedari sesuatu yang tidak kena pada gadis di hadapannya.

“ Awak tak apa-apa ke? Saya tengok awak macam.. “

“ Tak. Saya ok. Saya betul-betul ok.” Belum sempat Khairul menghabiskan kata-katanya, Isya terlebih dahulu memotong. Sebolehnya dia tidak mahu kesihatan tubuh badannya mematikan niat sekali gus mengecewakan lelaki itu.

“ Betul… tak apa-apa?” Khairul kurang yakin. Dirinya kini mula dicengkam perasaan risau.

Isya pantas mengangguk. Berusaha sedaya mungkin untuk menyakinkan pengarah rancangan realiti itu daripada terus meragui dirinya. Dia menapak keluar dari rumah diikuti dengan Khairul yang berjalan beriringan bersamanya.

*****

Kedua-dua tangannya digenggam erat. Perasaan gentar mula menyelinap masuk dan menjalar ke seluruh urat-urat badannya. Ini kali pertama dia berpakaian sesempurna ini. Bergaun putih sehingga ke paras tumit kaki. Gaun putih yang menghiasi tubuhnya kini diperkemaskan lagi dengan sarung tangan yang direka senipis yang mungkin bersama corak-corak yang membuatkan pemakainya kelihatan bertambah menarik. Tidak ubah seperti bidadari yang menghiasi impian-impian semua lelaki di dunia ini. Rambutnya yang lurus di perindahkan lagi dengan wangi-wangian dan hiasan di atas kepala. Wajahnya dihias tidak terlalu tebal dan juga tidak terlalu kelihatan sederhana.

Isya kelihatan kurang selesa. Sesekali matanya memandang pada jam di dashboard. Khairul yang sekian lama menyedari perubahan tingkah laku gadis itu hanya tersenyum manis. Kali pertama dia memandang Isya dalam keadaan sebegitu, lidahnya terkelu. Matanya hanya tertacap pada gadis itu. Tidak lagi pada wanita lain. Dia yakin, setibanya mereka di parti itu nanti sudah pasti Isya yang bakal menjadi tumpuan utama.

“ Mari masuk. Dah sampai masanya.” Tiba-tiba Khairul bersuara. Isya kelihatan semakin cemas. Tangannya mula menggigil. Khairul melangkah keluar dari kereta seraya berjalan hingga tiba betul-betul di hadapan Isya. Pintu kereta dibuka. Isya memandang Khairul. Pandangannya saja sudah cukup untuk mencairkan sesiapa sahaja. Khairul tersenyum.

“ Jangan risau. Saya akan sentiasa dengan awak.” Tangan kanannya dihulur pada Isya. Lambat-lambat gadis itu menyambutnya.

“ Tangan awak panas.” Khairul segera beralih pandang.

“ Khairul, saya ok. Apapun yang terjadi, kita teruskan sampai majlis ni tamat. Huh?” Isya meminta walaupun dia sendiri lebih mengetahui kemampuan dirinya sendiri. Khairul mengangguk lemah. Bibirnya terpaksa diukir dengan senyuman. Jantungnya berdegup kencang menandakan ada sesuatu yang membuatkan dia berasa kurang enak.

Mereka berdua melangkah masuk bersama. Pada saat mereka berdua menapak masuk, masa seolah-olah berhenti seketika. Insan pertama yang mula menyedari kehadiran Isya adalah Hakimi. Dia tidak pernah menyangka gadis itu akan menghadirkan diri ke majlis ini apatah lagi bersama Khairul. Dia terpana seketika. Bukan dia seorang tetapi semua insan yang berada di dalam majlis tersebut tertumpu pada Isya. Kecantikannya sukar untuk digambar.

Suasana majlis kembali seperti sedia kala. Perubahan wajah Hana jelas ketara. Sakit hatinya semakin bertambah. Hatta, kali ini juga tumpuan Hakimi lebih kepada gadis itu berbanding dirinya. Pandangan Isya dan Hakimi bertaut. Begitu juga pandangan Hakimi dan Khairul. Hana memandang kedua-duanya. Moodnya serta-merta hilang. Perasaan marah lebih menguasai diri. Khairul memegang erat tangan Isya. Ditariknya gadis itu mengikut langkahnya menghampiri Hakimi dan Hana.

“ Dah lama sampai?” Khairul bersuara. Kali ini dia lebih berfikiran terbuka kerana situasi lebih memihak padanya.

“ Kenapa kau bawa dia sekali?” Hakimi tidak menjawab sebaliknya mengutarakan soalan yang lain.

“ Dia bukan milik siapa-siapa dalam parti ni kan? Lagipun kau dah ada teman. Jadi apa salahnya aku jadikan dia teman aku?” Khairul mengangkat kening. Dia tidak tewas dengan perasaan cemburu. Tidak mudah melatah dengan perasaan yang semakin tidak menentu.

Hakimi dan Khairul saling bertentang mata. Ada makna yang tersirat di sebalik pandangan mereka berdua. Hakimi menapak selangkah ke hadapan. Tangan kiri Isya dipegang. Hana yang masih berdiri di belakang Hakimi terkontang-kanting seorang diri. Dia benar-benar diabaikan sejak kemunculan Isya.

“ Ikut aku.” Hakimi menapak apabila dia meletakkan harapan bahawa Isya akan mengikuti kata-katanya. Namun sebaliknya yang terjadi. Isya masih kekal di situ. Tidak bergerak walau selangkah. Kini, dia seolah-olah tersepit antara dua orang lelaki. Bergerak ke kiri tidak, bergerak ke kanan juga tidak.

“ Lepaskan dia.” Tegas Hakimi memberi arahan. Renungan tajam tepat ditujukan pada Khairul.

“ Kau yang patut lepaskan dia. Dia pasangan aku sekarang. Lebih baik kau jangan abaikan pasangan kau.” Khairul mengikut rentak percakapan Hakimi.

“ Dia bukan jenis yang mudah kecil hati. Dan dia juga..” Hakimi terhenti melafazkan kata-kata secara tiba-tiba. Pada saat itu, Isya menarik tangannya dari pegangan Hakimi. Lelaki itu benar-benar tersentak. Kini, situasi lebih difokuskan pada mereka berdua.

Pada ketika Isya menarik tangannya dari pegangan Hakimi, masa seolah-olah berlalu dengan lambat. Hakimi dan Isya saling berpandangan antara satu sama lain. Pada masa yang sama, kedua-duanya terluka. Terluka dengan perbuatan sendiri.

“ Macam mana kau tahu dia tak pernah kecil hati? Kau… tak pernah tanya perasaan dia, betul kan?” Isya bersuara. Tiga pasang mata tepat memandang ke arahnya.

“ Mari pergi.” Khairul menarik Isya mengikut langkahnya. Tanpa bantahan, Isya sekadar mengikut dari belakang. Wajahnya jelas tampak kesedihan yang terpamer. Di tambah lagi dengan wajahnya yang semakin pucat.

Hakimi memerhati dari belakang. ‘ Jangan pergi.. Tolong jangan pergi.. Balik pada aku.. ‘ Hatinya berkata-kata. Separuh merayu. Isya memandang ke belakang sekilas. Kata hati Hakimi seolah-olah dapat didengari.

‘ Aku akan terus melangkah, Hakimi.. Melangkah dan melangkah sampai aku jumpa hati aku yang sebenar..’ Isya bermonolog di dalam hati. Dia semakin parah. Semakin parah dalam situasi cinta. Penemuan antara dia dan Hakimi bukan membuatkan hidupnya semakin baik sebaliknya menambahkan derita yang sedia ada.

*****

Isya keseorangan. Termenung sendirian di hadapan kolam renang. Masing-masing bersama teman masing-masing. Kali ini dia sengaja memberi peluang pada Khairul untuk berbincang mengenai urusan kerja. Malah dia merelakan diri untuk berseorangan di situ. Peluang ini dicapai oleh Hana. Ini turut memberi peluang pada wanita itu untuk bertindak. Dia tidak boleh berdiam diri dan hanya menunggu detik demi detik ketibaan masa Hakimi dirampas darinya. Ada sesuatu yang dirancangnya.

Hana memanggil seorang lelaki. Lelaki yang agak kurang dikenalinya. Namun mereka pernah mencapai kerjasama dalam satu pakatan peribadi. Sesuatu dibisikkan pada lelaki itu sambil memandang ke arah Isya yang masih keseorangan. Lelaki tersebut kelihatan terangguk-angguk. Pisau lipat yang terselit di celahan seluarnya dikeluarkan dengan berhati-hati tanpa pengetahuan orang lain selain Hana. Apabila lelaki tersebut mula ingin bergerak, Hana segera berlalu dari situ. Dari satu arah, dia memerhati tindak tanduk orang yang menerima arahannya.

Isya menapak selangkah demi selangkah tanpa arah tujuan. Tidak kelihatan ramai manusia di situ. Hanya beberapa orang yang boleh dikira menggunakan jari. Ketika dia melangkah setapak ke hadapan, tubuhnya dilanggar seseorang. Akibat dari pelanggaran tersebut, tubuhnya terdorong ke kiri. Dahinya tiba-tiba berkerut. Insan yang melanggarnya sudah pun menghilangkan diri.

Rasa kesakitan yang semakin menyengat di tangan kanannya memaksa dirinya untuk memandang tangannya sendiri. Isya terkejut. Sekelip mata saja, darah pekat mengalir keluar dari kesan torehan yang terdapat pada tangannya. Wajahnya semakin pucat. Pada masa ini juga, Hakimi menghampirinya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menyembunyikan tangan kanannya ke belakang.

“ Kenapa kau datang? Kau..! Kau tahu kan aku ada sini?” Hakimi segera menyoal. Perubahan riak wajah Isya langsung tidak disedari.

“ Kau nak tanya tu saja ke? Kat rumah pun kita boleh cakap.” Isya cuba mengelak daripada disedari lelaki itu.

“ Aku tak nak tahu kat rumah. Aku nak tahu sekarang. Kenapa kau datang? Kau sengaja nak rosakkan majlis ni? Nak media tahu pasal semuanya?” Bertalu-talu Hakimi mengemukakan soalan.

“ Baik! Kalau kau nak tahu sekarang, aku jawab. Tapi lepas tu, jangan dekat dengan aku lagi.” Hakimi dipandang tepat.

“ Kalau aku tahu kau ada sini, aku pasti akan tolak jemputan Khairul. Kau jangan risau! Aku takkan biarkan media tahu semua ni. Sebab aku tak dapat untung apa-apa.”

“ Jadi, kau datang sebab Khairul yang jemput kau? Kenapa? Kau dah jatuh cinta dengan dia?” Soalan yang benar-benar menyakitkan hati.

“ Itu bukan urusan kau. Kenapa kau nak masuk campur urusan peribadi aku?”

“ Aku tak ingin nak masuk campur urusan kau. Aku cuma tak nak kau diperbodohkan. Kau tak tahu menilai orang yang baik atau tak.” Hakimi menjawab.

“ Aku tahu! Kau tak perlu risau pasal aku. Kau.. bukan siapa-siapa bagi aku. Jadi.. pergilah. Tempoh kita akan berakhir juga nanti. Masa tu yang aku tunggu.” Hakimi tersentak. Kata-kata yang amat melukakan hati. Tapi itu bukan kata yang ikhlas dari hati.

“ Baik! Masa yang kau tunggu-tunggu, kan? Bila masa tu dah sampai, aku pasti.. aku pasti akan lenyap dari hidup kau. Kita ikut haluan masing-masing!” Hakimi membelakangkan tubuhnya. Isya turut bertindak demikian. Masing-masing membawa haluan yang berbeza. Masa berlalu begitu perlahan. Gelagat mereka berdua diperhati Khairul dari tadi. Apabila mereka mula berpisah, Khairul menapak menghampiri Isya dengan mengambil jalan yang bertentangan dengan Hakimi.

Air matanya mengalir perlahan menuruni pipi. Seluruh penglihatannya kabur. Tangan kanannya dipegang erat. Darah pekat menitis ke lantai setitik demi setitik. Dalam sekelip mata saja, Isya sudah rebah ke lantai. Gaun putih yang menghiasi tubuhnya dibasahi darah. Khairul menjerit sebaik sahaja tubuh gadis itu rebah ke lantai. Dia berlari pantas sebaliknya Hakimi tersentak. Semua mata memandang ke arah tubuh yang terbaring lemah di tepi kolam renang.

Jantungnya berdegup kencang. Kepalanya pantas ditoleh ke belakang. Dia terpana. Orang ramai sudah mula mengelilingi tempat dimana Isya sedang terbaring. Hakimi mengatur langkah setapak demi setapak. Semakin lama semakin laju dan akhirnya dia berlari. Tubuh Khairul ditolak kasar ke tepi. Darah yang mengalir membasahi seluruh tangan Isya membuatkan dia semakin terkejut. Kot hitamnya pantas dibuka. Belahan pada tangan ‘isterinya’ diikat dengan kejap supaya darah tidak mengalir keluar.

“ Isya! Isya!!” Tubuh Isya digoncang lembut.

“ Isya, bangun! Bangunlah! Kau kenapa??” Air matanya bertakung.

Tubuh Isya didukung. Wajahnya berubah cemas. Jelas menggambarkan ketakutan yang semakin menghimpit diri. Dia berlari-lari anak. Insan lain langsung tidak dipedulikan. Hanya Isya. Hanya Isya yang menjadi tumpuannya. Hidup mati gadis itu berkait rapat dengannya. Khairul terkaku di situ dalam keadaan terduduk. Dia benar-benar terkelu tanpa kata. Hana semakin membara dengan tindakannya sendiri. Tidak disangka tindakannya merapatkan lagi hubungan antara mereka berdua.

Jumaat, 7 Januari 2011

cinta sunbae 27

“ Kenapa awak setuju?” Dalam keadaan membelakangkan Hana dan Hakimi, Isya menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

“ Kenapa awak tak setuju pulak?” Khairul menyoal kembali.

“ Encik Khairul, sekarang dia dengan Hana.”

“ Kenapa dengan Hana? Awak tak selesa dengan Hana?” Isya mengangguk.

“ Kenapa awak tak selesa dengan Hana? Sebab dia dengan Kim?” Khairul menyoal lagi. Kali ini Isya terdiam.

“ … awak cemburu?” Isya tersentak. Dia pantas memandang Khairul dan mereka saling berpandangan.

“ Awak dah mula suka dia?” Bertalu-talu Khairul mengunjurkan soalan.

“ Sekarang ni bukan masa untuk cakap pasal tu.” Isya cuba untuk mengelakkan diri daripada disoal lagi. Entah mengapa lidahnya terasa kelu apabila dianjurkan dengan soalan tersebut.

“ Baik. Sekarang ni, kita beli tiket dulu. Ok?” Isya mengangguk. Dia berjalan bersama Khairul sambil diperhati oleh Hakimi dan Hana.

Khairul mula dicengkam perasaan risau. Bimbang sekiranya Isya benar-benar sudah mula menyukai Hakimi. Tanpa pengetahuan Isya, hatinya berkata-kata.

Bukan awak saja. Saya pun. Saya.. tak selesa bila awak ada dengan Hakimi.

*****

“ Dah beli?” Apabila Khairul dan Isya kelihatan mendekati mereka berdua, Hakimi segera menyoal. Khairul menghulurkan empat keping tiket padanya. Tiket-tiket tersebut disambut lalu dipisahkan kepada dua. Dua keping tiket yang telah dipisahkan dihulurkan pada Khairul.

“ Kau masuklah dulu dengan Hana. Aku dengan Isya ada hal sikit. Kejap lagi kitorang masuk.” ujar Hakimi.

“ Huh?” Isya kelihatan agak tersentak. Dia langsung tidak mengetahui apa-apa tentang apa yang dikatakan oleh lelaki itu.

Riak wajah Hana dan Khairul jelas menunjukkan riak kurang senang dengan tindakan Hakimi. Hana dan Khairul saling berpandangan antara satu sama lain.

“ Awak nak pergi mana? Biar saya yang temankan.” Hana mengesyorkan dirinya sendiri. Dia benar-benar risau. Risau sekiranya keakraban Hakimi dan Isya akan menyebabkan Hakimi beralih arah dari terus memandangnya.

“ Tak. Tak apa… “ Hakimi pantas menolak.

“ … korang masuklah dulu, ok!” Pandangannya teralih pada Khairul.

“ Jom pergi.” Hakimi menarik tangan ‘isteri’nya. Dengan riak wajah terpaksa, Isya mengikuti langkah Hakimi. Dia sempat memandang Khairul sekilas.

Setelah bayangan Khairul dan Hana hilang dari pandangan, Isya segera menarik tangannya dari pegangan Hakimi. Serta-merta, Hakimi berhenti melangkah. Isya memandang lelaki itu dengan pandangan tajam.

“ Boleh aku pergi sekarang?” Isya meminta izin dengan nada suara yang agak tegas.

“ Belum tiba masanya lagi. 10 minit kemudian.” Selamba Hakimi menjawab. Wajahnya ditundukkan sedikit supaya tidak diketahui oleh orang lain.

“ Ahh.. memang!! Apa masalah kau?” Isya mula bengang.

“ Kau.. orang gaji aku kan? So, sebagai orang gaji, teman aku kat sini. Aku tak boleh masuk awal-awal.”

“ Kenapa? Kau takut orang lain cam kau, macam tu?” Hakimi mengangkat kening tanda mengiakan tekaan Isya.

“ Dah tahu, asal nak jugak datang sini? Menyusahkan orang je!” Isya merungut.

“ Yaa!! Kau ni kan! Boleh tak jangan bising?! Asal aku cakap, ada saja yang kau nak melawan!” Hakimi geram.

“ Memang la aku kena melawan.. sebab apa yang kau cakap semuanya menyakitkan hati.”

“ Kau..!! Ahh! Dia ni memang.. Kau sepatutnya berbangga. Bangga sebab dapat tinggal serumah dengan artis yang cukup terkenal di mata dunia. Faham?” Penuh berkeyakinan Hakimi menuturkan kata-kata itu. Isya pula tersenyum sinis.

“ Apa? Bangga? Kenapa aku kena bangga? Nak tahu, aku lebih suka tinggal dengan orang terencat akal daripada tinggal dengan kau. Nak tahu kenapa? Sebab orang terencat akal sepuluh kali ganda lebih baik, lebih positif dari kau!” Isya terus berlalu dari situ.

“ Yaa!! Kau nak pergi mana?” Hakimi meninggikan suaranya sedikit.

“ Dah 10 minit!!” Hakimi pantas mengekori Isya dari belakang apabila mendapat balasan jawapan dari gadis itu.

*****

Hakimi melabuhkan punggung di sisi Hana. Atau boleh dikatakan juga di sisi Isya. Khairul pantas memandang Isya. Bibirnya terukir dengan senyuman manis walaupun dalam hati dia masih lagi tidak tenang. Satu kotak besar bertih jagung dihulurkan pada Isya. Gadis itu tersenyum manis. Segala gerak-geri Isya dan Khairul diperhati dengan sebelah mata. Hana yang berada di sisi Hakimi seolah-olah diabai kewujudannya.

Dua puluh minit berlalu. Semua mata menumpukan perhatian pada filem yang sedang ditayangkan. Hakimi menyeluk tangannya ke dalam kotak yang mengandungi bertih jagung yang sedang dipegang oleh Isya. Walaupun Hana turut mempunyai bertih jagung yang sama, tetapi dia sengaja berbuat sebegitu.

Isya terpaksa bersabar. Setiap kali bertih jagung tersebut ingin dihulurkan pada Khairul, Hakimi pasti akan merampas terlebih dahulu. Namun selepas hampir lima kali dia diperlakukan sebegitu, Isya mula hilang sabar. Kotak bertih jagung tersebut diletakkan di hadapan Khairul dengan serta-merta. Sejurus itu, dia mengalih pandang pada Hakimi dengan pandangan yang tajam.

“ Apa?” Hakimi bersuara dengan nada suara yang perlahan. Walaupun dia mengetahui punca gadis di sisinya marah, namun dia masih lagi ingin bertanya.

“ Kau ni kenapa?” Isya benar-benar geram. Wajahnya mula kelihatan kemerah-merahan.

“ Kenapa apa?” Sekali lagi Hakimi cuba untuk menyakitkan hati gadis itu. Isya merengus. Dia tidak menjawab sebaliknya memilih untuk mendiamkan diri.

Tiga puluh minit berlalu. Hakimi mengalihkan pandangan pada Isya. Gadis itu yang diam dari tadi membuatkan dia berasa sedikit pelik. Pada saat Hakimi memandang Isya, gadis itu sudah pun melelapkan mata dalam kesejukan. Hakimi mendekatkan tangannya pada kepala Isya. Dia cuba untuk menarik kepala gadis itu agar rebah di bahunya. Namun tindakannya terhalang apabila Khairul terlebih dahulu merebahkan Isya di bahunya.

Hakimi tersentak. Pantas dia mengalihkan kepala ke hadapan. Perasaan cemburu mula menyelubungi hati. Dia berasa kurang senang malah detik demi detik dia mula merasakan kesakitan di hati. Kesakitan yang seolah-olah dirobek. Masa seolah-olah berlalu dengan lambat. Apatahlagi apabila dia terpaksa melihat Isya tidur di pangkuan lelaki lain.

*****

Hakimi menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya. Hatinya semakin tidak tenang apabila pada saat ini Khairul bersama Isya lagi. Kalau bukan disebabkan kereta yang dipandunya sekarang adalah milik Hana, sudah pasti dia akan meminta Khairul menghantar Hana pulang. Namun dia tidak punya peluang lain.

Hakimi memberhentikan kereta di hadapan rumahnya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Sedari tadi juga, Hana turut mendiamkan diri. Perubahan Hakimi membuatkan jiwanya tidak tenteram. Selama ini, Hakimi tidak pernah sebegini. Apatah lagi apabila dengannya. Wajah Hana dipandang. Ada sesuatu yang dihulurkan pada gadis itu.

“ Apa ni?”

“ Jemputan ke parti. Shooting saya baru habis minggu lepas. Sempena untuk sambutan tu. Awak nak kan jadi pasangan saya untuk ke majlis tu?” Hana tersenyum. Pantas dia mengangguk laju.

*****

“ Huh? Parti?” Isya tercengang. Khairul mengangguk bersama senyuman.

“ Parti tu sempena untuk raikan drama yang baru habis shooting.” Khairul memberi penjelasan.

“ Awak jemput saya ke?” Khairul mengangguk lagi.

“ Boleh temankan saya?”

“ Tapi.. saya tak pernah pergi parti macam ni.” Isya sedikit risau.

“ Saya akan sentiasa ada dengan awak sepanjang parti tu. Awak tak perlu risau. Percayakan saya, ok?” Isya berdiam diri sebentar. Selang beberapa saat barulah dia mengangguk tanda setuju.

*****

Hakimi melabuhkan punggung di sofa. Hanya termenung. Sesekali dia memandang ke arah jam yang setia tergantung di dinding. Jam sudah pun menunjukkan sepuluh malam. Namun, Isya masih lagi belum menampakkan dirinya. Keluhan berat dilepaskan. Ada sesuatu yang membuatkan jiwanya tidak tenang. Sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.

“ Kim. Kau jangan cakap yang kau dah jatuh cinta dengan dia!” Hakimi bermonolog sendirian. Kepalanya pantas digeleng berulang-ulang kali.

“ Tak boleh, Kim! Kau tak boleh jatuh cinta dengan dia!” Dia bangun dari sofa. Belum sempat dia bergerak, kedengaran seseorang membuka pintu rumah. Seketika kemudian kelihatan Isya melangkah masuk. Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain.

Tanpa sepatah kata, Hakimi menapak selangkah demi selangkah menuju ke biliknya. Isya masih lagi kukuh berdiri di hadapan pintu. Tanpa sebarang reaksi, dia juga mengikut tindakan Hakimi. Melangkah masuk ke dalam bilik tanpa bertegur sapa. Isya berdiri di hadapan pintu bilik. Tubuhnya disandarkan di situ.

Hakimi berdiri di hadapan pintu bilik. Tubuhnya turut disandarkan di situ. Kala ini, masing-masing memikirkan perkara yang sama. Malah, mereka sendiri melakukan tindakan yang sama. Hakimi mengeluarkan sekeping kad jemputan ke parti. Agak lama dia memandang pada kad jemputan tersebut. Tetapi akhirnya dia mengeluh. Ada tanda keberatan pada wajahnya.

Isya memegang erat kad jemputan yang diberi oleh Khairul. Ada sesuatu yang difikirkannya. Malah, riak wajahnya tidak ubah seperti Hakimi sekarang. Kini, situasi menunjuk antara mereka berdua. Masing-masing melepaskan keluhan berat. Rasa cinta yang mula berputik di hati dilawan dengan ego yang semakin membesar. Masing-masing tidak mengakui perasaan mereka sendiri.

“ Isya. Apa dah jadi dengan kau sekarang?” Isya bermonolog sendiri.

“ Kau jangan cakap yang kau dah jatuh cinta dengan dia, Isya. Tak boleh. Tak boleh cintakan dia… “

“ … dia… dia bukan untuk kau.” Perlahan Isya bersuara. Nada suaranya kedengaran lemah. Dia terduduk di hadapan pintu. Air mata tiba-tiba mengalir laju menuruni pipi. Entah mengapa dia mula dapat merasai luka yang semakin parah di hati.

Kata-kata yang diucap oleh Hakimi pada Hana pagi tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Semakin lama, dia semakin takut. Semakin takut untuk mendekati lelaki itu. Semakin takut untuk mencintai.

cinta sunbae 26

Wajah Isya dipandang lama. Jantungnya mula berdegup kencang. Tangan Isya dipegang dengan kejap. Serta-merta, Isya tersentak. Tangannya tidak lagi bergerak seperti tadi. Masing-masing bertentang mata antara satu sama lain.

“ Kau.. “ Hakimi ingin bersuara. Tetapi dia terpaksa berhenti bersuara apabila bunyi loceng rumahnya kedengaran. Hakimi melepaskan tangan Isya. Dia bangun seraya menapak ke hadapan pintu. Isya hanya memerhati Hakimi dari tempat duduknya. Pintu dibuka. Pada saat pintu dibuka, kedengaran bunyi tamparan yang agak kuat.

Isya tersentak. Hakimi apatah lagi. Kini, empat mata memandang ke arah Hana. Dalam masa yang singkat saja, pipi Hakimi menjadi kemerah-merahan.

“ Awak tipu saya, Kim!” Marah Hana. Wajahnya kemerah-merahan menahan marah. Matanya bergerak pada Isya. Hanya dengan sekilas pandang.

“ Apa yang saya tipu awak?” Hakimi memandang tepat pada wajah Hana. Mereka tidak berganjak ke mana-mana. Masih setia berdiri di hadapan pintu.

“ Awak tanya saya apa awak tipu saya? Sepatutnya awak lebih tahu! Saya dah tahu semuanya!” Air mata Hana mula bertakung.

“ Kita bincang kat tempat lain.” Hakimi menarik tangan Hana. Sekali gus menapak keluar dari rumah. Hana tidak membantah. Sekadar mengikut langkah yang diatur oleh bekas teman lelakinya.

Isya diam membisu. Dari tadi, dia hanya memerhatikan tingkah laku mereka berdua. Walaupun dia belum dapat mengetahui perkara sebenar, tetapi dia sudah dapat menganggak apa yang telah diketahui oleh Hana. Dia turut menapak keluar dari rumah. Mencuba untuk mencari kelibat Hakimi dan Hana. Apabila kelibat mereka ketemu, Isya bersembunyi di belakang tembok.

“ Khairul yang beritahu?” Hakimi bertanya.

“ Siapa yang beritahu bukan masalahnya sekarang! Kenapa awak bohong saya? Selama ni awak jujur dengan saya. Tapi kenapa sekarang.. “

“ Saya terpaksa bohong awak. Kalau pihak syarikat dapat tahu saya dah kahwin, kontrak saya akan terbatal serta-merta!” Kata-kata Hana pantas dipotong. Pada masa yang sama, dia cuba untuk menjelaskan hakikat yang sebenar.

“ Maksudnya, awak tak percaya saya kan? Awak takut saya bocorkan rahsia tu?” Hana mengalirkan air mata. Perlahan-lahan air mata mengalir menuruni pipi.

“ Bukan itu maksud saya! Saya.. “ Hakimi terdiam. Kini, dia serba-salah.

“ Baik. Saya dah faham sekarang.” Hana memusingkan tubuhnya membelakangkan Hakimi. Dia cuba untuk melangkah pergi.

“ Hana!” Pantas tangan Hana ditarik.

“ Saya bohong awak bukan sebab saya tak percayakan awak! Saya.. saya tak nak awak tahu saya dah kahwin sebab saya tak nak.. awak tinggalkan saya.” Kata-kata jujur yang lahir dari hati yang tulus diluahkan oleh Hakimi. Dia memang mencintai gadis di hadapannya. Tetapi, ketentuan yang sebenar bukan ditangannya.

“ Awak cintakan dia?” Hana merujuk pada Isya. Air matanya masih lagi mengalir. Kali ini, Hakimi terdiam sebentar.

“ Tak.. “ Air mata Hana dikesat lembut.

“ … saya tak pernah cintakan dia. Insan yang ada dalam hati saya sekarang.. cuma awak.” Kata-kata yang manis didengar.

Hana tersenyum ceria. Tubuh Hakimi dipeluk erat. Hakimi sekadar tersenyum. Senyuman yang kelat dan seolah-olah dipaksa. Entah mengapa, ketika kata-kata itu diucapkan, perasaannya tidak seperti tadi. Kata-kata itu seolah-olah tidak lagi bermakna buat dirinya.

Isya membisu. Apa yang dikatakan Hakimi sebentar tadi, dapat didengarinya dengan jelas. Pelik. Perasaan yang aneh mula menjalar dalam tubuhnya. Tiba-tiba sahaja, dia berubah menjadi kurang bersemangat. Malah, hatinya kini seolah-olah dirobek. Tetapi, dia tidak tahu. Tidak tahu apa yang sedang bermain di fikirannya sekarang.

*****

Isya duduk di atas katil. Menyandarkan tubuh di dinding. Fikirannya bercelaru. Kata-kata Hakimi sentiasa terngiang-ngiang di telinganya. Hatinya mula tidak tenang.

“ Isya, kenapa dengan kau ni? Apa yang tak kena?” Isya menyoal dirinya sendiri. Dia tidak mampu untuk mencari jawapan sendiri. Apatah lagi dengan cara menyoal dirinya sendiri.

Dia bangun dari katil. Kakinya menapak beberapa langkah ke arah meja belajar. Telefon bimbit yang diletak di situ, dicapai. Nombor telefon Khairul didail. Selang beberapa saat dia menunggu, panggilannya berjawab.

“ Khairul. Boleh kita jumpa?” Isya menunggu jawapan.

“ Bila-bila yang awak boleh jumpa saya.. “

“ … hmm..” Isya mengangguk. Sejurus itu, talian dimatikan.

Isya menapak keluar dari bilik setelah selesai mendandan dirinya. Dandanan yang cukup ringkas dan tidak terlalu keterlaluan. Matanya meliar memerhati seluruh rumah. Hakimi tiada di situ. Pastinya lelaki itu masih berada di luar bersama Hana. Cuba untuk mententeramkan wanita itu. Hampir lima belas minit berlalu. Bunyi deruman enjin kereta di luar rumah memaksa Isya untuk menjenguk keluar. Dia tersenyum.

Khairul memberhentikan keretanya di hadapan rumah Hakimi. Dari luar dia dapat melihat kelibat Hana dan Hakimi. Tanpa banyak bicara, Khairul menapak menghampiri mereka berdua. Hana dan Hakimi pula jelas kelihatan kaget. Kedatangan Khairul sedikit tidak disenangi oleh mereka berdua.

“ Aku datang.. bawa Isya keluar.” Khairul menyimpul senyum. Hakimi dipandang tepat dan sesekali Hana dipandang sekilas.

“ Dia tak cakap pun nak keluar dengan kau.” Hakimi menjawab. Hana lebih bertindak mendiamkan diri.

“ Khairul! Jom pergi.” Isya berwajah ceria. Hakimi pantas mengalihkan pandangannya pada Isya.

“ Kau tak cakap pun nak keluar dengan dia.” Hakimi kelihatan tidak berpuas hati.

“ Perlu cakap ke? Kan kita dah janji, tak akan masuk campur urusan masing-masing.” Hanya senafas Isya menjawab.

“ Kau ni.. ! Ok! Kau boleh pergi lepas kau siapkan semua tugas kau!” Hakimi berusaha menghalang.

“ Aku dah siapkan semua. Jadi, aku boleh pergi sekarang.” Riak wajah Isya yang ceria bertukar serius.

“ Jomlah, Khairul.” Isya berlalu dari situ. Hakimi dan Khairul saling bertentang mata beberapa saat sebelum Khairul mengekori Isya dari belakang. Wajah Hakimi tampak merah padam. Hana yang masih setia berdiri di sebelah Hakimi hanya bertindak sebagai pemerhati sedari tadi.

*****

“ Awak nak pergi mana, Isya?” Khairul mula bersuara. Sepanjang perjalanan sedari tadi, mereka hanya berdiam diri. Isya tampak murung.

“ Boleh kita pergi tempat yang tenang?” Isya meminta. Kepalanya dipusing menghadap ke kiri jalan.

Khairul hanya menurut kehendak gadis di sisinya. Sedari tadi dia sudah menyedari perubahan wajah Isya. Namun, dia lebih memilih untuk membiarkan gadis itu melayan perasaan sendiri. Sebab-musabab perubahan wajah Isya, dia tidak tahu. Hal itu masih belum dapat dipastikan. Hampir 30 minit perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri. Sampai saja di destinasi yang dituju, Khairul terus memberhentikan kereta. Mereka melangkah keluar dari kereta. Menghirup udara laut yang menyamankan. Isya melabuhkan punggung di satu kerusi. Khairul masih lagi menurut apa yang dilakukan gadis itu.

“ Saya.. boleh tanya sesuatu?” Isya kembali bersuara. Khairul sekadar mengangguk.

“ Awak dah tahu segala-galanya, kan?” Isya bercakap tetapi tidak memandang Khairul. Matanya lebih terarah pada laut yang luas terbentang di depannya.

“ Ya. Saya dah tahu semuanya. Itu yang awak cakap.. saya akan tahu satu hari nanti kan?” Khairul menghela nafas.

“ Hakimi yang beritahu?” Khairul mengangguk.

“ Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya, saya tak perlu risau rahsia perkara tu daripada awak lagi.” Wajah Isya berubah ceria semula.

“ Awak nak tahu? Saya selalu terlepas kata bila dengan awak. Bila awak dah tahu, saya dah tak perlu risau lagi. Kan?” Isya angkat kening. Serta-merta Khairul ketawa kecil.

“ Awak ni memang.. lain dari orang lain.” Khairul berterus-terang. Kelainan itu yang membuatkan dia semakin mencintai Isya. Gadis itu bangun dari kerusi. Dia berlari anak ke laut yang luas terbentang.

“ Aaaahhhhhh!!!!!!!!!!” Isya menjerit sekuat hati. Sengaja berbuat begitu untuk melepaskan tekanan. Khairul menapak satu demi satu langkah mendekati Isya. Dia berdiri agak jauh di sisi Isya.

“ Aaaahhhhhh!!!!!!!!!!” Khairul turut menjerit. Isya memandang Khairul kemudian ketawa kecil.

“ Encik Khairul!!!!!!!!” Isya menjerit lagi.

“ Apa!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Khairul membalas.

“ Saya!!!!! Betul-betul bahagia!!!!!!” Isya ketawa.

“ Saya pun!!!!! Betul-betul bahagia!!!!!!” Kuat Khairul melaung.

“ Aaaahhhhhh!!!!!!!!!” Kali ini laungan mereka bersatu. Masing-masing ketawa dengan riang. Khairul menapak lagi mendekati Isya.

“ Awak.. nak pergi tengok wayang?” Khairul mengajak.

“ Boleh ke?” Soalan Isya membuatkan Khairul tersenyum lebar. Tangan kanannya diletakkan di atas kepala Isya lalu diserabutkan lagi rambut gadis itu. Isya segera mengelak dari terus diperlakukan sebegitu.

“ Haissh! Apa ni.” Isya merungut. Rambutnya dibetul-betulkan semula. Khairul ketawa lagi.

*****

Isya dan Khairul terpacak sebentar di hadapan panggung wayang. Keriangan mereka sebentar tadi serta-merta hilang. Riak wajah Hakimi dan Hana turut berubah. Isya mengukir senyuman kelat. Hatinya berasa sakit lagi. Sakit yang entah datang daripada mana. Khairul memandang Isya sekilas sebelum mengalihkan pandangan semula pada Hakimi dan Hana.

Hakimi dan Hana menapak menghampiri mereka berdua. Walaupun Hakimi menutup sebahagian wajahnya, tetapi Isya masih lagi dapat mengecam lelaki itu. Apatah lagi bersama dengan Hana.

“ Tengok wayang?” Hakimi bertanya. Keningnya diangkat sebelah lalu dikalihkan pandangannya pada Isya. Khairul dan Isya sekadar mengangguk. Sebaliknya, Hana lebih memilih untuk mendiamkan diri.

“ Kalau macam tu, kita tengok wayang sekali.” Hakimi memberi kata putus. Isya, Khairul dan Hana kelihatan agak terperanjat. Seolah-olahnya mahu membantah.

“ Tak..”

Ok. Kita tengok wayang sekali. Lagi meriah kan?” Belum sempat Isya membantah, Khairul terlebih dahulu memotong.

“ .. aku beli tiket dulu.” Khairul menarik Isya bersamanya.

“ Kenapa awak setuju?” Dalam keadaan membelakangkan Hana dan Hakimi, Isya menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

“ Kenapa awak tak setuju pulak?” Khairul menyoal kembali.

“ Encik Khairul, sekarang dia dengan Hana.”

“ Kenapa dengan Hana? Awak tak selesa dengan Hana?” Isya mengangguk.

“ Kenapa awak tak selesa dengan Hana? Sebab dia dengan Kim?” Khairul menyoal lagi. Kali ini Isya terdiam.

“ … awak cemburu?” Isya tersentak. Dia pantas memandang Khairul dan mereka saling berpandangan.

Rabu, 29 Disember 2010

All About 3+1=


Naila, Nabil, Shazia, Shah, Faiqa dan Faruq berasal dari keluarga yang berada. Sejak kecil, Naila, Nabil, Faruq dan Shah bersahabat baik. Mereka diibaratkan seperti air yang dicincang tak akan putus. Walaupun mereka saling bersahabat, tetapi Nabil dan Naila sering bertengkar. Hubungan mereka semakin renggang apabila Naila mula mengenali Nazim.Nazim seorang pesakit barah otak. Naila pula seorang pesakit asma. Mereka mula mengenali antara satu sama lain apabila berlaku salah faham antara mereka berdua. Hari-hari mendatang, memori antara mereka adalah sebuah pertengkaran. Namun, pertengkaran itu yang membuatkan mereka saling mengenali hati budi masing-masing. Mereka mula menyedari bahawa mereka saling mencintai. Namun, masa tidak mengizinkan apabila Nazim disahkan menghidap barah otak pada tahap kritikal.

Untuk kebaikan Naila, Nazim mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir. Namun, cara yang digunakan telah membuatkan Naila membencinya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir. Nabil sudah lama mencintai Naila. Namun dia terpaksa menarik diri apabila cinta Naila terhadap Nazim begitu kukuh.

Setahun berlalu, Naila masih belum dapat melupakan Nazim sepenuhnya. Begitu banyak memori yang tersemat dalam fikirannya. Nabil semakin kecewa. Pemergian Naila ke luar negara tidak dipedulikan. Apabila beberapa tahun berlalu, Naila digelar sebagai seorang doktor. Di hospital, Naila dan Nabil bertemu kembali..