3+1=

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

cinta sunbae

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Jumaat, 7 Januari 2011

cinta sunbae 26

Wajah Isya dipandang lama. Jantungnya mula berdegup kencang. Tangan Isya dipegang dengan kejap. Serta-merta, Isya tersentak. Tangannya tidak lagi bergerak seperti tadi. Masing-masing bertentang mata antara satu sama lain.

“ Kau.. “ Hakimi ingin bersuara. Tetapi dia terpaksa berhenti bersuara apabila bunyi loceng rumahnya kedengaran. Hakimi melepaskan tangan Isya. Dia bangun seraya menapak ke hadapan pintu. Isya hanya memerhati Hakimi dari tempat duduknya. Pintu dibuka. Pada saat pintu dibuka, kedengaran bunyi tamparan yang agak kuat.

Isya tersentak. Hakimi apatah lagi. Kini, empat mata memandang ke arah Hana. Dalam masa yang singkat saja, pipi Hakimi menjadi kemerah-merahan.

“ Awak tipu saya, Kim!” Marah Hana. Wajahnya kemerah-merahan menahan marah. Matanya bergerak pada Isya. Hanya dengan sekilas pandang.

“ Apa yang saya tipu awak?” Hakimi memandang tepat pada wajah Hana. Mereka tidak berganjak ke mana-mana. Masih setia berdiri di hadapan pintu.

“ Awak tanya saya apa awak tipu saya? Sepatutnya awak lebih tahu! Saya dah tahu semuanya!” Air mata Hana mula bertakung.

“ Kita bincang kat tempat lain.” Hakimi menarik tangan Hana. Sekali gus menapak keluar dari rumah. Hana tidak membantah. Sekadar mengikut langkah yang diatur oleh bekas teman lelakinya.

Isya diam membisu. Dari tadi, dia hanya memerhatikan tingkah laku mereka berdua. Walaupun dia belum dapat mengetahui perkara sebenar, tetapi dia sudah dapat menganggak apa yang telah diketahui oleh Hana. Dia turut menapak keluar dari rumah. Mencuba untuk mencari kelibat Hakimi dan Hana. Apabila kelibat mereka ketemu, Isya bersembunyi di belakang tembok.

“ Khairul yang beritahu?” Hakimi bertanya.

“ Siapa yang beritahu bukan masalahnya sekarang! Kenapa awak bohong saya? Selama ni awak jujur dengan saya. Tapi kenapa sekarang.. “

“ Saya terpaksa bohong awak. Kalau pihak syarikat dapat tahu saya dah kahwin, kontrak saya akan terbatal serta-merta!” Kata-kata Hana pantas dipotong. Pada masa yang sama, dia cuba untuk menjelaskan hakikat yang sebenar.

“ Maksudnya, awak tak percaya saya kan? Awak takut saya bocorkan rahsia tu?” Hana mengalirkan air mata. Perlahan-lahan air mata mengalir menuruni pipi.

“ Bukan itu maksud saya! Saya.. “ Hakimi terdiam. Kini, dia serba-salah.

“ Baik. Saya dah faham sekarang.” Hana memusingkan tubuhnya membelakangkan Hakimi. Dia cuba untuk melangkah pergi.

“ Hana!” Pantas tangan Hana ditarik.

“ Saya bohong awak bukan sebab saya tak percayakan awak! Saya.. saya tak nak awak tahu saya dah kahwin sebab saya tak nak.. awak tinggalkan saya.” Kata-kata jujur yang lahir dari hati yang tulus diluahkan oleh Hakimi. Dia memang mencintai gadis di hadapannya. Tetapi, ketentuan yang sebenar bukan ditangannya.

“ Awak cintakan dia?” Hana merujuk pada Isya. Air matanya masih lagi mengalir. Kali ini, Hakimi terdiam sebentar.

“ Tak.. “ Air mata Hana dikesat lembut.

“ … saya tak pernah cintakan dia. Insan yang ada dalam hati saya sekarang.. cuma awak.” Kata-kata yang manis didengar.

Hana tersenyum ceria. Tubuh Hakimi dipeluk erat. Hakimi sekadar tersenyum. Senyuman yang kelat dan seolah-olah dipaksa. Entah mengapa, ketika kata-kata itu diucapkan, perasaannya tidak seperti tadi. Kata-kata itu seolah-olah tidak lagi bermakna buat dirinya.

Isya membisu. Apa yang dikatakan Hakimi sebentar tadi, dapat didengarinya dengan jelas. Pelik. Perasaan yang aneh mula menjalar dalam tubuhnya. Tiba-tiba sahaja, dia berubah menjadi kurang bersemangat. Malah, hatinya kini seolah-olah dirobek. Tetapi, dia tidak tahu. Tidak tahu apa yang sedang bermain di fikirannya sekarang.

*****

Isya duduk di atas katil. Menyandarkan tubuh di dinding. Fikirannya bercelaru. Kata-kata Hakimi sentiasa terngiang-ngiang di telinganya. Hatinya mula tidak tenang.

“ Isya, kenapa dengan kau ni? Apa yang tak kena?” Isya menyoal dirinya sendiri. Dia tidak mampu untuk mencari jawapan sendiri. Apatah lagi dengan cara menyoal dirinya sendiri.

Dia bangun dari katil. Kakinya menapak beberapa langkah ke arah meja belajar. Telefon bimbit yang diletak di situ, dicapai. Nombor telefon Khairul didail. Selang beberapa saat dia menunggu, panggilannya berjawab.

“ Khairul. Boleh kita jumpa?” Isya menunggu jawapan.

“ Bila-bila yang awak boleh jumpa saya.. “

“ … hmm..” Isya mengangguk. Sejurus itu, talian dimatikan.

Isya menapak keluar dari bilik setelah selesai mendandan dirinya. Dandanan yang cukup ringkas dan tidak terlalu keterlaluan. Matanya meliar memerhati seluruh rumah. Hakimi tiada di situ. Pastinya lelaki itu masih berada di luar bersama Hana. Cuba untuk mententeramkan wanita itu. Hampir lima belas minit berlalu. Bunyi deruman enjin kereta di luar rumah memaksa Isya untuk menjenguk keluar. Dia tersenyum.

Khairul memberhentikan keretanya di hadapan rumah Hakimi. Dari luar dia dapat melihat kelibat Hana dan Hakimi. Tanpa banyak bicara, Khairul menapak menghampiri mereka berdua. Hana dan Hakimi pula jelas kelihatan kaget. Kedatangan Khairul sedikit tidak disenangi oleh mereka berdua.

“ Aku datang.. bawa Isya keluar.” Khairul menyimpul senyum. Hakimi dipandang tepat dan sesekali Hana dipandang sekilas.

“ Dia tak cakap pun nak keluar dengan kau.” Hakimi menjawab. Hana lebih bertindak mendiamkan diri.

“ Khairul! Jom pergi.” Isya berwajah ceria. Hakimi pantas mengalihkan pandangannya pada Isya.

“ Kau tak cakap pun nak keluar dengan dia.” Hakimi kelihatan tidak berpuas hati.

“ Perlu cakap ke? Kan kita dah janji, tak akan masuk campur urusan masing-masing.” Hanya senafas Isya menjawab.

“ Kau ni.. ! Ok! Kau boleh pergi lepas kau siapkan semua tugas kau!” Hakimi berusaha menghalang.

“ Aku dah siapkan semua. Jadi, aku boleh pergi sekarang.” Riak wajah Isya yang ceria bertukar serius.

“ Jomlah, Khairul.” Isya berlalu dari situ. Hakimi dan Khairul saling bertentang mata beberapa saat sebelum Khairul mengekori Isya dari belakang. Wajah Hakimi tampak merah padam. Hana yang masih setia berdiri di sebelah Hakimi hanya bertindak sebagai pemerhati sedari tadi.

*****

“ Awak nak pergi mana, Isya?” Khairul mula bersuara. Sepanjang perjalanan sedari tadi, mereka hanya berdiam diri. Isya tampak murung.

“ Boleh kita pergi tempat yang tenang?” Isya meminta. Kepalanya dipusing menghadap ke kiri jalan.

Khairul hanya menurut kehendak gadis di sisinya. Sedari tadi dia sudah menyedari perubahan wajah Isya. Namun, dia lebih memilih untuk membiarkan gadis itu melayan perasaan sendiri. Sebab-musabab perubahan wajah Isya, dia tidak tahu. Hal itu masih belum dapat dipastikan. Hampir 30 minit perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri. Sampai saja di destinasi yang dituju, Khairul terus memberhentikan kereta. Mereka melangkah keluar dari kereta. Menghirup udara laut yang menyamankan. Isya melabuhkan punggung di satu kerusi. Khairul masih lagi menurut apa yang dilakukan gadis itu.

“ Saya.. boleh tanya sesuatu?” Isya kembali bersuara. Khairul sekadar mengangguk.

“ Awak dah tahu segala-galanya, kan?” Isya bercakap tetapi tidak memandang Khairul. Matanya lebih terarah pada laut yang luas terbentang di depannya.

“ Ya. Saya dah tahu semuanya. Itu yang awak cakap.. saya akan tahu satu hari nanti kan?” Khairul menghela nafas.

“ Hakimi yang beritahu?” Khairul mengangguk.

“ Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya, saya tak perlu risau rahsia perkara tu daripada awak lagi.” Wajah Isya berubah ceria semula.

“ Awak nak tahu? Saya selalu terlepas kata bila dengan awak. Bila awak dah tahu, saya dah tak perlu risau lagi. Kan?” Isya angkat kening. Serta-merta Khairul ketawa kecil.

“ Awak ni memang.. lain dari orang lain.” Khairul berterus-terang. Kelainan itu yang membuatkan dia semakin mencintai Isya. Gadis itu bangun dari kerusi. Dia berlari anak ke laut yang luas terbentang.

“ Aaaahhhhhh!!!!!!!!!!” Isya menjerit sekuat hati. Sengaja berbuat begitu untuk melepaskan tekanan. Khairul menapak satu demi satu langkah mendekati Isya. Dia berdiri agak jauh di sisi Isya.

“ Aaaahhhhhh!!!!!!!!!!” Khairul turut menjerit. Isya memandang Khairul kemudian ketawa kecil.

“ Encik Khairul!!!!!!!!” Isya menjerit lagi.

“ Apa!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Khairul membalas.

“ Saya!!!!! Betul-betul bahagia!!!!!!” Isya ketawa.

“ Saya pun!!!!! Betul-betul bahagia!!!!!!” Kuat Khairul melaung.

“ Aaaahhhhhh!!!!!!!!!” Kali ini laungan mereka bersatu. Masing-masing ketawa dengan riang. Khairul menapak lagi mendekati Isya.

“ Awak.. nak pergi tengok wayang?” Khairul mengajak.

“ Boleh ke?” Soalan Isya membuatkan Khairul tersenyum lebar. Tangan kanannya diletakkan di atas kepala Isya lalu diserabutkan lagi rambut gadis itu. Isya segera mengelak dari terus diperlakukan sebegitu.

“ Haissh! Apa ni.” Isya merungut. Rambutnya dibetul-betulkan semula. Khairul ketawa lagi.

*****

Isya dan Khairul terpacak sebentar di hadapan panggung wayang. Keriangan mereka sebentar tadi serta-merta hilang. Riak wajah Hakimi dan Hana turut berubah. Isya mengukir senyuman kelat. Hatinya berasa sakit lagi. Sakit yang entah datang daripada mana. Khairul memandang Isya sekilas sebelum mengalihkan pandangan semula pada Hakimi dan Hana.

Hakimi dan Hana menapak menghampiri mereka berdua. Walaupun Hakimi menutup sebahagian wajahnya, tetapi Isya masih lagi dapat mengecam lelaki itu. Apatah lagi bersama dengan Hana.

“ Tengok wayang?” Hakimi bertanya. Keningnya diangkat sebelah lalu dikalihkan pandangannya pada Isya. Khairul dan Isya sekadar mengangguk. Sebaliknya, Hana lebih memilih untuk mendiamkan diri.

“ Kalau macam tu, kita tengok wayang sekali.” Hakimi memberi kata putus. Isya, Khairul dan Hana kelihatan agak terperanjat. Seolah-olahnya mahu membantah.

“ Tak..”

Ok. Kita tengok wayang sekali. Lagi meriah kan?” Belum sempat Isya membantah, Khairul terlebih dahulu memotong.

“ .. aku beli tiket dulu.” Khairul menarik Isya bersamanya.

“ Kenapa awak setuju?” Dalam keadaan membelakangkan Hana dan Hakimi, Isya menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

“ Kenapa awak tak setuju pulak?” Khairul menyoal kembali.

“ Encik Khairul, sekarang dia dengan Hana.”

“ Kenapa dengan Hana? Awak tak selesa dengan Hana?” Isya mengangguk.

“ Kenapa awak tak selesa dengan Hana? Sebab dia dengan Kim?” Khairul menyoal lagi. Kali ini Isya terdiam.

“ … awak cemburu?” Isya tersentak. Dia pantas memandang Khairul dan mereka saling berpandangan.

0 ulasan: